Rabu, 24 September 2008

Karangan (Rencana)

Sebuah karangan ialah sebuah wacana (unit pemikiran) besar yang di dalamnya mengandungi unit-unit pemikiran lebih kecil (perenggan dan ayat). Dengan kata lain, karangan ditunjangi oleh perenggan-perenggan sementara perenggan pula ditunjangi oleh ayat-ayat. Oleh itu, karangan yang baik mesti ditunjangi oleh ayat dan perenggan yang baik.

Nota: Sebuah rencana tidak menyatakan semua perkara mengenai sesuatu isu/topik tetapi
hanya menjelaskan satu atau dua perkara penting mengenai isu/topik tersebut.

1) Ciri-ciri Ayat yang Baik

a) Tidak terlalu panjang

Sesuatu ayat hendaklah boleh habis dibaca dalam satu nafas sahaja.

Untuk mengelakkan ayat menjadi terlalu panjang, elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang berikut:

- memasukkan terlalu banyak keterangan dalam satu ayat.
- menggabungkan terlalu banyak ayat dalam pembentukan sesuatu ayat majmuk.

Nota: Konsepnya adalah jika terdapat dua ayat yang tidak sama panjang tetapi kedua-
duanya menyampaikan maksud yang sama, penggunaan ayat yang lebih pendek
hendaklah diutamakan.

b) Tidak mengulang perkataan yang sama

Gunakan perkataan/frasa yang pelbagai. Caranya adalah dengan menggunakan kata ganti nama, sinonim dan rujukan sepunya.

Sinonim bagi “faktor” – punca, sebab
Rujukan bagi Sukan Olimpik – temasya sukan itu, temasya sukan terbesar dunia itu,
temasya sukan empat tahun sekali itu, temasya sukan
bertaraf amatur itu, temasya sukan yang bermula di Athen

*Antara sebab yang menyebabkan ….
*Perasmian bangunan itu dirasmikan ….

c) Struktur yang sempurna

Sesuatu ayat mesti mengandungi dua konstituen utama iaitu subjek (topik/judul cerita) dan predikat (cerita mengenai topik) tersebut.

*Sanggup berkorban apa sahaja demi menjaga keutuhan negara. – predikat sahaja
Betul – Rakyat negara ini sanggup berkorban apa sahaja demi ……
*Nasionalisme sebagai perasaan mencintai negara dan bangsa sendiri. – subjek sahaja
Betul – Nasionalisme ditakrifkan sebagai perasaan mencintai negara dan …..
*Pengajaran bahasa ialah kepakaran yang khas dan perlu diberi latihan yang mendalam lagi sistematik. – hubungan subjek dan predikat yang tidak logik
Betul – Pengajaran bahasa ialah kepakaran yang khas dan pengajar perlu diberi latihan ..
*Hasil perbincangan itu memutuskan bahawa ibu bapa harus memainkan peranan lebih penting dalam pendidikan anak-anak. – subjek tidak tepat
Betul – Perbincangan itu memutuskan bahawa ibu bapa ….
*Bercakap tentang kebudayaan, kata kebudayaan itu perlu kita takrifkan terlebih dahulu. - Klausa tiada kata hubung.
Betul – Apabila kita bercakap tentang kebudayaan, kata kebudayaan itu perlu kita ….
*Akibat kurangnya pengetahuan agama, banyak belia tersesat jalan. - Klausa tiada kata hubung
Betul – Sebagai akibat kurangnya pengetahuan agama, banyak belia tersesat jalan.
*Hasil kajian para sarjana, banyak masalah sosial dapat diselesaikan. - Klausa tiada kata hubung
Betul – Sebagai hasil kajian para sarjana, banyak masalah sosial dapat diselesaikan.
*Antara masalah sosial remaja yang perlu diatasi adalah lari dari rumah, penagihan dadah dan melepak. – jenis frasa tidak sejajar
Betul - Antara masalah sosial remaja yang perlu diatasi adalah lari dari rumah, menagih dadah dan melepak.

2) Ciri-ciri Perenggan yang Baik

a) Tidak terlalu panjang

Perenggan berfungsi untuk memberikan kesempatan kepada pembaca untuk “berehat sejenak” dan memikirkan semula perkara yang dibacanya. Perenggan yang terlalu panjang cenderung akan kehilangan fokus dan menyebabkannya sukar difahami. Untuk mengelakkan pembinaan perenggan yang terlalu panjang, perkara yang berikut harus diberikan perhatian.

- Jangan memasukkan lebih daripada satu isi dalam satu perenggan (tetapi satu isi boleh
dihuraikan lebih daripada satu perenggan).

b) Menggunakan ayat yang pelbagai jenis dan gaya

Walaupun bahasa Melayu hanya ada empat pola ayat dasar, ayat-ayat yang dapat diterbitkan (ayat terbitan) daripada ayat dasar ini tidak terhad jumlahnya dan banyak jenisnya. Gunakanlah ayat-ayat yang pelbagai jenis ini untuk membina perenggan anda.

c) Struktur yang sempurna

Sesuatu perenggan mesti mengandungi satu atau dua ayat judul dan ayat-ayat lain untuk mengembangkan judul tersebut. Pengembangan mungkin terdiri daripada kenyataan sokongan, data, analogi, cerita, petikan/peribahasa, hujah dan contoh. Dalam hal ini, perenggan boleh dibahagikan kepada tiga jenis.


- Perenggan deduktif

Binaan perenggan jenis ini biasanya bermula dengan ayat penyata sebagai ayat judul. Ayat judul ini diikuti oleh ayat-ayat yang merupakan pengembangan bagi ayat judul tersebut.

Ayat judul
Pengembangan isi

Ayat judul - Tidak dapat dinafikan bahawa kelestarian sesuatu bahasa juga ditentukan oleh faktor sosial dan faktor ekonomi yang membenarkan penuturnya menikmati pelbagai peluang dalam masyarakat.

Pengembangan isi - Ada bahasa yang pupus secara berperingkat kerana kehilangan nilai ekonomi dan atau kerana tidak ada lagi permintaan untuk menggunakannya. Bahasa SMS, dalam bentuk akronim, emotikon dan symbol mendapat permintaan yang tinggi walaupun ia bukan bahasa yang dikongsi bersama oleh setiap anggota sesebuah masyarakat untuk tujuan komunikasi harian. SMS ialah satu ‘bahasa’ yang tersendiri dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi. Perkataan pendek dan ringkas dalam SMS kini dikongsi bersama oleh ramai pengguna walaupun belum ada suatu kamus yang khusus berkenan SMS yang boleh dijadikan rujukan.


- Perenggan Induktif

Binaan perenggan jenis ini bertentangan dengan binaan perenggan deduktif. Ia bermula dengan ayat-ayat yang merupakan pengembangan isi dan ditutup oleh ayat judul.

Pengembangan isi
Ayat judul

Pengembangan isi - Apabila diperhatikan, tarikh dan isi kandungan batu-batu bersurat tersebut dapat dikaitkan dengan zaman kerajaan Sriwijaya. Tarikh 683,684 dan 686 yang tercatat pada batu-batu tersebut amat penting kerana ia merupakan tarikh zaman mula naiknya kerajaan Sriwijaya, sebuah kerajaan tempatan yang kemudiannya berkembang luas mempengaruhi hampir seluruh Kepulauan Melayu. Keempat-empat batu bersurat itu dijumpai di pusat kerajaan Sriwijaya dan isinya jelas menunjukkan bahawa tulisan itu dibuat atas perintah raja.

Ayat judul - Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa perantaraan kerajaan tersebut, yakni sebagai bahasa rasmi sebuah kerajaan yang luas pengaruh dan jajahan takluknya.


- Perenggan deduktif-induktif

Binaan perenggan jenis ini boleh bermula dengan ayat soal atau ayat penyata yang menimbulkan persoalan, keraguan dan kebimbangan sebagai ayat judul. Ia disusuli oleh ayat-ayat untuk mengembangkan ayat judul tersebut. Binaan perenggan ditutup oleh ayat penyata/jawapan/penegasan terhadap persoalan dan keraguan yang ditimbulkan oleh ayat judul.

Ayat judul (persoalan/keraguan)
Pengembangan isi
Ayat judul (jawapan/penegasan)

Ayat judul (menimbulkan pertanyaan) - Pasti ada sesuatu yang tidak kena dalam usaha kita menjadikan Malaysia negara yang maju dan mendahului dunia dalam pelbagai bidang.

Pengembangan isi - Memang tidak boleh kita sangkal, banyak kemajuan yang telah kita capai sejak 1957, tetapi tentu lebih banyak yang boleh kita capai dengan usaha dan kemahuan yang kuat. Kelemahan kita yang utama ialah inisiatif pembudayaan ilmu, iaitu usaha yang berterusan untuk menjadikan ilmu pengetahuan cirri budaya yang sebati dengan masyarakat majmuk di negara ini. Masyarakat berbudaya keilmuan akan menjadi pemimpin dan ikutan dunia. Tidak wajar kita menyalahkan anak-anak remaja di sekolah yang leka dengan program-program hiburan jika budaya ilmu tidak dibentukkan dan dibajai di sekolah. Kajian yang pernah dijalankan oleh Institut Integriti Nasional mengenai gejala rasuah dan korupsi dalam kalangan remaja mendapati sepertiga daripada sample kajiannya menyatakan kesediaan untuk menerima rasuah. Kenapakah hal ini berlaku? Sebabnya, ilmu pengetahuan kini menjadi komoditi yang tidak ubah seperti barang dagangan.

Ayat judul/penegasan - Hal ini bererti bahawa proses pembelajaran di institusi pengajian pada semua peringkat hanya memenuhi keperluan kebendaan semata-mata.

3) Penghujahan dalam Karangan

Salah satu aspek penting yang dapat menentukan keberkesanan sesebuah karangan ialah penghujahan. Penghujahan ialah unsur pengembangan isi yang sangat penting sehingga dapat dikatakan bahawa tanpa unsur ini pengembangan isi tidak akan sempurna. Aspek ini juga dapat menentukan sama ada sesebuah karangan itu dapat menarik minat pembaca. Cara penghujahan yang baik dapat menguja pembaca untuk meneruskan pembacaan, sebaliknya cara penghujahan yang lemah dapat membantutkan minat mereka.

Barang kali tidak terlalu sukar untuk mencari isi dan menyusun isi tersebut mengikut turutan keutamaan dan/atau lojik (organisasi karangan). Walau bagaimanapun isi yang banyak dan tersusun tidak akan berguna jika ia tidak dapat dikembangkan dengan baik. Kebanyakan kelemahan karangan bukan kerana kekurangan isi dan kecelaruan organisasi, tetapi kerana isi tidak dapat dikembangkan dengan baik, khususnya dari aspek penghujahan.

Terdapat beberapa kelemahan utama dari aspek penghujahan isi yang perlu dilelakkan untuk menghasilkan sebuah karangan yang berkesan.

a) Hujah Palsu

Hujah palsu ialah hujah yang mengemukakan alasan yang tidak relevan tetapi kelihatan benar dan dapat menyelewengkan kebenaran. Ringkasnya hujah palsu ialah hujah yang dapat membenarkan kepalsuan / memalsukan kebenaran. Sebagai contoh perhatikan hujah yang berikut:

“Masalah pengangguran negara ini tidak serius kerana masalah
pengangguran negara lain seperti Bangladesh adalah lebih serius.”

Membuat perbandingan dengan pihak/negara lain bukanlah cara yang tepat untuk mengukur keseriusan sesuatu masalah. Kita seharusnya mempunyai kayu ukur sendiri untuk melakukannya. Dalam masalah pengangguran, kayu ukur yang biasa digunakan ialah peratusan tenaga kerja yang tidak bekerja kerana kekurangan peluang pekerjaan. Kalau kita menetapkan 5% sebagai tahap maksimum kadar pengangguran yang dapat diterima, maka masalah pengangguran dianggap serius jika kadar pengangguran semasa melebihi kadar yang ditetapkan itu. Ringkasnya, masalah serius yang dihadapi tidak akan menjadi tidak serius hanya kerana ada pihak/negara lain yang menghadapi masalah tersebut pada tahap yang lebih serius.

Selain itu, beberapa hal lain seperti kualiti penganggur juga perlu diambil kira. Kalau sebahagian besar penganggur terdiri daripada pemegang ijazah, maka tidak dapatlah dikatakan bahawa masalah pengangguran di negara ini tidak serius.

Untuk menyatakan bahawa masalah pengangguran di negara ini tidak atau kurang serius, penghujahan yang sepatutnya dikemukakan adalah seperti yang berikut:

“Masalah pengangguran yang dihadapi oleh negara ini tidak
serius kerana ia masih berada di bawah tahap yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun perlu juga diakui bahawa sesuatu harus
dilakukan kerana kadar pengangguran dalam kalangan graduan
semakin meningkat tahun demi tahun.”

Penghujahan ini dapat menunjukkan kematangan dan penguasaan pengarang terhadap isu yang dibincangkan. Ia menunjukkan bahawa pengarang mengetahui cara pengukuran tahap pengangguran. Selain itu ia juga menunjukkan bahawa pengarang mengetahui bahawa pengangguran dalam kelas menengah/elit masyarakat merupakan masalah yang tidak boleh diabaikan.

Renungkan kecacatan/kepalsuan hujah ini.

“Tidak semestinya orang (Melayu/Malaysia) yang berbahasa Inggeris
tidak mempunyai semangat kebangsaan. Sebaliknya, tidak semestinya
orang yang berbahasa Melayu mempunyai semangat kebangsaan.”

b) Hujah Cetek/Dangkal

Hujah cetek ialah hujah yang mengemukakan alasan remeh-temeh dan mengetepikan alasan yang penting/kukuh. Sebagai contoh perhatikan hujah yang berikut:

“Kita mesti menjaga kebersihan negara kita supaya
dipandang tinggi oleh negara-negara barat.”

‘Dipandang tinggi oleh negara-negara barat’ bukanlah alasan yang penting/ kukuh untuk kita menjaga kebersihan. Ada banyak alasan lain yang patut kita jadikan pendorong untuk menjaga kebersihan. Antaranya adalah alasan kesihatan iaitu kebersihan dapat menjamin kesihatan dan keceriaan hidup. Contoh penghujahan yang lebih baik adalah seperti yang berikut:

“Kita mesti menjaga kebersihan negara kita kerana ia
merupakan unsur yang sangat penting yang dapat
menjamin kesihatan dan keceriaan hidup kita.”

c) Hujah Melompat/Melampau

Hujah melompat ialah hujah yang terus menuju kepada kesimpulan dengan mengetepikan urutan hujah yang membawa kepada kesimpulan tersebut. Sebagai contoh perhatikan hujah yang berikut:

“Kita mesti menjaga kebersihan negara kita untuk
mencapai matlamat Wawasan 2020.”

Barang kali sukar untuk kita membayangkan hubungan antara menjaga kebersihan negara dengan pencapaian matlamat Wawasan 2020. Hal ini disebabkan terdapat urutan hujah yang telah diabaikan. Urutan hujah tersebut ialah negara yang bersih dapat menjamin kesihatan rakyat. Selanjutnya rakyat yang sihat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan keadaan ini akan memberikan sumbangan kepada peningkatan produktiviti negara. Faktor peningkatan produktiviti inilah yang dapat membantu ke arah pencapaian matlamat Wawasan 2020.

Hujah seperti ini juga dikatakan hujah melampau kerana adalah sangat keterlaluan untuk menyatakan bahawa matlamat menjadi negara maju dapat dicapai dengan hanya menjaga kebersihan. Penjagaan kebersihan hanyalah salah satu prasyarat (daripada berpuluh-puluh prasyarat) untuk menjadi negara maju. Walau bagaimanapun penghujahan ini tidak membayangkan adanya prasyarat-prasyarat lain tersebut. Adalah lebih baik jika penghujahan seperti yang berikut dikemukakan:

“Kita mesti menjaga kebersihan negara ini kerana penjagaan
kebersihan merupakan salah satu prasyarat untuk menjadi
negara maju dan seterusnya mencapai matlamat Wawasan 2020.”


d) Hujah Songsang

Hujah songsang berlaku disebabkan kegagalan membezakan ‘sebab’ dengan ‘akibat’ sesuatu masalah/fenomena. Dengan kata lain ‘sebab’ telah disalahkenalpasti sebagai ‘akibat’ sementara ‘akibat’ disalahkenalpasti sebagai ‘sebab’. Sebagai contoh antara ‘ponteng sekolah’ dengan ‘kurang minat belajar’, yang manakah ‘sebab’ dan yang mana pula ‘akibat’.

Hujah yang lazim dikemukakan ialah “pelajar ponteng sekolah kerana kurang minat belajar”. Dengan kata lain, ‘kurang minat belajar’ menjdi sebab pelajar ‘ponteng sekolah’ (akibat). Hujah ini tidak salah tetapi perlu juga diambil perhatian bahawa perkara sebaliknya boleh juga berlaku, iaitu pelajar hilang minat belajar (asalnya minat belajar) setelah terjebak dalam kegiatan ponteng sekolah. Dalam situasi ini ‘ponteng sekolah’ menjadi ‘sebab’ manakala ‘tidak minat belajar’ (akibat).

Kebolehan mengenalpasti ‘sebab’ dan ‘akibat’ sesuatu masalah penting dalam penyelesaian masalah berkenaan. Kebanyakan masalah yang tidak dapat diatasi berpunca daripada kegagalan mengenalpasti ‘sebab’ dan ‘akibat’ masalah berkenaan.

Isnin, 22 September 2008

Ayat (Sintaks)

Sintaksis – kajian berkenaan binaan/struktur ayat.


Definisi

Ayat ialah struktur (susunan perkataan) yang mengandungi topik cerita (subjek) dan cerita mengenai topik tersebut (predikat), serta mempunyai makna yang lengkap dan logik.


Unsur/Komponen Ayat

Sesuatu ayat mesti mengandungi subjek dan predikat. Dalam struktur dasarnya, ayat terbentuk daripada susunan subjek diikuti oleh predikat.

Ayat → subjek + predikat

Contoh: Siti + membaca buku di dalam biliknya.
Siti - subjek.
Membaca buku di dalam biliknya - predikat.

Selain subjek dan predikat, sesuatu ayat mungkin juga mengandungi objek, pelengkap dan keterangan/penerang. Objek ialah unsur yang hadir selepas frasa kerja transitif. Oleh itu, objek ialah sebahagian daripada predikat.

Contoh: Ali + memukul ular itu.
Ali - subjek
Memukul ular itu - predikat
Memukul - frasa kerja transitif
Ular itu - objek

Pelengkap pula ialah unsur yang hadir selepas sesetengah frasa kerja tak transitif. Oleh itu, pelengkap juga ialah sebahagian daripada predikat.

Contoh: Siti + pergi ke sekolah.
Siti - subjek
Pergi ke sekolah – predikat
Pergi - frasa kerja tak transitif
Ke sekolah - pelengkap

Keterangan boleh hadir dalam pelbagai posisi ayat tetapi ia boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu keterangan subjek dan katerangan predikat. Keterangan subjek hadir sebelum/selepas subjek dan membentuk sebahagian daripada subjek.

Contoh: Seorang pelajar + dipilih untuk menyertai program itu.
Seorang pelajar - subjek
Seorang - keterangan (bilangan)

Contoh: Pelajar itu + dipilih untuk menyertai program tersebut.
Pelajar itu - subjek
Itu - keterangan (ketentuan)

Contoh: Dua orang pelajar USM + dipilih untuk menyertai program itu.
Dua orang pelajar USM - subjek
Dua orang - keterangan (bilangan dan penjodoh bilangan)
USM - keterangan (pemilik)

Keterangan predikat dapat dibahagikan kepada beberapa subkategori. Antaranya adalah keterangan frasa kerja (adverba), keterangan FN objek dan keterangan pelengkap.

(1) a. Siti menelaah bersungguh-sungguh pelajarannya..
b. Siti membaca novel kegemarannya.
c. Dia menjadi pensyarah universiti.

Dalam (1a), frasa “bersungguh-sungguh” ialah keterangan bagi frasa kerja “menelaah”. Dalam (1b), frasa “kegemarannya” ialah keterangan bagi FN objek “novel”. Dalam (1c), frasa “universiti” ialah keterangan frasa nama pelengkap “pensyarah”. Ayat asalnya adalah seperti yang berikut:

(1) a’. Siti menelaah pelajarannya..
b’. Siti membaca novel.
c’. Dia menjadi pensyarah.

Jenis-jenis Ayat

Pada umumnya terdapat dua jenis ayat sahaja iaitu ayat dasar dan ayat terbitan.

Ayat Dasar

Ayat yang belum melalui proses transformasi, iaitu penyisipan/penambahan, pengguguran atau pergerakan unsur (perkataan/frasa/klausa). Ia ialah ayat asal yang daripadanya diterbitkan ayat jenis lain (ayat terbitan).

Ada empat pola ayat dasar (berdasarkan susunan subjek + predikat).

a) FN + FN
Siti + guru.

b) FN + FAdjektif
Siti + pandai.

c) FN + FSN (sendi nama)
Siti + di dalam bilik.

d) FN + FKerja
Siti + tidur.


Ayat Terbitan

Ayat terbitan diterbitkan daripada ayat dasar melalui mana-mana proses transformasi. Dari segi bilangan klausa yang terdapat di dalamnya, ayat terbitan dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu ayat tunggal dan ayat majmuk. Dari segi tujuan pula, ayat terbitan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya adalah penyata, ayat soal, ayat perintah dan ayat seru.

a) Ayat Tunggal

Ayat yang mengandungi satu klausa/ayat sahaja.

Contoh: Siti guru sekolah rendah.
Siti tidur di dalam biliknya.

b) Ayat Majmuk

Ayat yang mengandungi dua atau lebih klausa di dalamnya. Berdasarkan status klausa
yang menganggotainya, ayat majmuk dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu
gabungan, pancangan dan campuran.

a) Ayat majmuk gabungan

Ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat/klausa yang sama taraf (tiada
ayat/klausa induk). Sebagai contoh, enam ayat yang berikut boleh digabungkan
menjadi satu ayat majmuk.

1. Dia pandai menyanyi.
2. Dia pandai berlakon.
3. Dia pandai menggubah lagu.
4. Dia pandai mengarah filem.
5. Dia pandai menulis skrip.
6. Dia pandai berlawak.

Ayat majmuk: Dia pandai menyanyi, berlakon, menggubah lagu, mengarah filem,
menulis skrip dan berlawak.

b) Ayat majmuk pancangan

Ayat yang mengandungi dua ayat yang tidak sama taraf (satu ayat induk dan satu
lagi ayat kecil / klausa).

Nota: Ayat induk ialah ayat yang wujud secara bebas (tidak bergantung pada kewujudan
ayat lain) sementara ayat kecil ialah ayat yang wujud secara terikat (kewujudannya
bergantung pada kewujudan ayat induk).

Dari segi jenis kata hubung yang berfungsi menghubungkan klausa induk dengan
klausa kecil di dalamnya, ayat majmuk pancangan dapat dibahagikan kepada dua
jenis, iaitu komplemen dan relatif.

i) Ayat majmuk pancangan komplemen (”bahawa”, ”supaya”/”agar”)

Dia menegaskan bahawa kejayaannya dicapai melalui usaha dan pengorbanan.

Ayat induk : Dia menegaskan ”sesuatu”.
Ayat kecil : bahawa kejayaannya dicapai melalui usaha dan pengorbanan.

Perhatikan: Kewujudan ayat kecil ”bahawa kejayaannya dicapai melalui usaha
dan pengorbanan” adalah terikat dengan kewujudan ayat induk ”dia
menegaskan sesuatu”.


ii) Ayat majmuk pancangan relatif (”yang”)

Orang yang meminjam buku itu (ialah) Ali.

Ayat induk : Orang meminjam buku itu.
Ayat kecil : Orang itu (ialah) Ali.


c) Ayat Majmuk Campuran

Ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat pelbagai jenis.

Contoh: Ali membaca buku tetapi kawan-kawannya yang keletihan telah tidur
nyenyak di dalam bilik masing-masing.

Ali membaca buku. – ayat dasar.
Kawan-kawannya yang keletihan .... – ayat majmuk pancangan relatif.


Proses Penerbitan Ayat

Terdapat tiga proses penerbitan ayat, iaitu penambahan/penyisipan, pengguguran dan penyusunan semula/pemindahan unsur. Dalam bahagian ini akan dibincangkan proses yang dapat menerbitkan ayat yang posisi pangkalnya tidak diisi oleh frasa nama. Dengan kata lain, ayat yang tidak bermula dengan frasa nama. Hal ini perlu dijelaskan kerana ada orang berpandangan bahawa sesetengah jenis perkataan/frasa, misalnya kata tunjuk dan frasa sendi nama, tidak boleh mengisi posisi ini.

Nota: Istilah yang biasa digunakan untuk proses penerbitan ayat ialah proses sintaksis
atau transformasi.


a) Ayat bermula dengan FK, FA dan FSN

Proses transformasi yang dapat menjana ayat seperti ini ialah penyusunan semula urutan subjek dan predikat. Dalam proses ini, seluruh predikat atau sebahagian unsurnya akan dipindahkan ke pangkal ayat, lalu mengubah pola ayat menjadi predikat + subjek atau predikat (sebahagian) + subjek + predikat (sebahagian). Oleh sebab predikat ayat mungkin terdiri daripada frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) atau frasa sendi nama (FSN), ayat yang terjana akan bermula dengan jenis frasa ini.

(2) a. Berdamai juga mereka akhirnya.
b. Sungguh indah pemandangan di pantai ini.
c. Di sinilah rumah saya.

Ayat (2a) bermula dengan FK ”berdamai”, ayat (2b) bermula dengan FA ”sungguh indah” dan ayat (2c) bermula dengan FSN ”disinilah”. Ayat (2a) diterbitkan melalui pemindahan sebahagian unsur predikat ”berdamai juga akhirnya” manakala ayat (2b) dan (2c) diterbitkan melalui pemindahan seluruh predikat. Ayat asalnya adalah seperti yang berikut:

(2) a’. Mereka berdamai juga akhirnya.
b’. Pemandangan di pantai ini sungguh indah.
c’. Rumah saya di sinilah.

Nota: Oleh sebab ayat yang melalui proses transformasi penyusunan semula ini
berstruktur terbalik, iaitu predikat + subjek, ia juga dikenali sebagai ayat songsang.
Proses yang menerbitkannya dikenali juga sebagai penyongsangan ayat.

b) Ayat bermula dengan kata kerja, kata adjektif, kata tunjuk dan kata hubung

Proses transformasi yang dapat menjana ayat seperti ini ialah pengguguran perkataan. Dalam proses ini, perkataan yang menjadi inti bagi FN yang berfungsi sebagai subjek sesuatu ayat digugurkan, meninggalkan unsur keterangan bagi FN berkenaan untuk mengisi posisi subjek ayat. Oleh sebab keterangan bagi sesuatu FN boleh terdiri daripada KK, KA, kata tunjuk atau kata hubung, ayat yang terjana akan bermula dengan jenis perkataan ini.

(3) a. Membaca meluaskan pengetahuan.
b. Putih melambangkan kesucian dan keikhlasan.
c. Itu menara Kuala Lumpur.
d. Yang tinggi itu menara Kuala Lumpur.

Semua ayat (3a-d) telah melalui pengguguran kata nama yang menjadi inti FN subjek. Dalam ayat (3a), KN yang digugurkan ialah ”hobi” (daripada FN ”hobi membaca”). Dalam ayat (3b) KN yang digugurkan ialah ”warna” (daripada FN ”warna putih”).

Dalam ayat (3c), KN yang digugurkan ialah ”bangunan” (daripada FN ”bangunan itu”). Perlu dijelaskan bahawa FN bentuk ini hanya boleh melalui pengguguran KN inti jika predikat ayat ialah FN (”menara Kuala Lumpur” ialah FN). Jika tidak, ayat (4a’) dan (4b’) yang dijana tidak gramatis.

(4) a. Bangunan itu sangat cantik.
a’. *Itu sangat cantik.
b. Bangunan itu di Kuala Lumpur.
b’. *Itu di Kuala lumpur.

Pengguguran KN ”bangunan” daripada FN ”bangunan itu” menyebabkan ayat yang dijana tidak gramatis kerana predikat ayat berkenaan ialah FA ”sangat cantik (4a) dan FSN ”di Kuala Lumpur” (4b).

Dalam ayat (3d) KN yang digugurkan ialah ”bangunan” (daripada FN ”bangunan yang tinggi itu”). Perlu dijelaskan bahawa FN bentuk ini hanya boleh melalui pengguguran KN inti jika predikat ayat ialah FN (”menara Kuala Lumpur” ialah FN). Jika tidak, ayat (5a’) dan (5b’) yang dijana tidak gramatis.

(5) a. Bangunan yang tinggi itu sangat cantik.
a’. *Yang tinggi itu sangat cantik.
b. Bangunan yang tinggi itu di Kuala Lumpur.
b’. *Yang tinggi itu di Kuala lumpur.

Pengguguran KN ”bangunan” daripada FN ”bangunan yang tinggi itu” menyebabkan ayat yang dijana tidak gramatis kerana predikat ayat berkenaan ialah FA ”sangat cantik (5a) dan FSN ”di Kuala Lumpur” (5b).

Ayat asal bagi (3a-d) adalah seperti yang berikut:

(3) a’. Hobi membaca meluaskan pengetahuan.
b’. Warna putih melambangkan kesucian dan keikhlasan.
c’. Bangunan itu menara Kuala Lumpur.
d’. Bangunan yang tinggi itu menara Kuala Lumpur.

Selasa, 2 September 2008

Makna Imbuhan Akhiran pada KKT

Terdapat dua imbuhan akhiran dalam pembentukan sesuatu KKT, iaitu +i dan +kan. Imbuhan akhiran ini mendokong maksud tertentu. Makna ini bergantung pada jenis sesuatu KKT (sama asal atau terbitan). Bagi KKT terbitan, makna ini juga bergantung pada jenis kata dasar (sama ada kata nama (KN), kata adjektif (KA) atau kata kerja tak transitif (KKTT)) yang daripadanya KKT berkenaan diterbitkan. Nota ini akan menghuraikan makna yang didokong oleh kedua-dua imbuhan ini bagi setiap kategori KKT.

Nota: Satu lagi imbuhan akhiran dalam pembentukan sesuatu KKT, iaitu +per, adalah
sama dengan +kan.


Makna imbuhan akhiran +i pada KKT asal

Menunjukkan perbuatan dilakukan berulang-ulang / bersungguh-sungguh.

Contoh : Ali memukuli ular itu.
Maksud : Ali memukul ular itu berkali-kali/bersungguh-sungguh.


Makna imbuhan akhiran +kan pada KKT asal

a) Makna ”benefaktif”, iaitu objek tepat ayat mendapat faedah daripada perbuatan.

Contoh : Siti membacakan adiknya buku cerita.
Maksud : Objek tepat ayat, iaitu ”adiknya”, mendapat faedah daripada perbuatan
”membacakan”.

b) Objek ayat ialah alat untuk melakukan perbuatan

Contoh : Siti menguiskan ranting kayu ke pasir pantai.
Maksud : Objek ayat, iaitu ”ranting kayu”, ialah alat untuk melakukan perbuatan
”menguiskan”.


Makna imbuhan akhiran +i pada KKT yang diterbitkan daripada KN

a) Meletakkan / membubuh

Contoh : Siti menggarami ikan.
Maksud : Siti meletakkan garam pada ikan.

b) Menjadi

Contoh : Parameswara merajai Melaka.
Maksud : Parameswara menjadi raja Melaka.

c) Memberi

Contoh : Siti menghadiahi ibunya seutas kalung emas.
Maksud : Siti memberi ibunya hadiah seutas kalung emas.


Makna imbuhan akhiran +kan pada KKT yang diterbitkan daripada KN

a) Makna ”kausatif” atau menjadikan

Contoh : Rakyat Melaka merajakan Parameswara.

Maksud : Rakyat Melaka menjadikan Parameswara raja.

b) Memasukkan

Contoh : Pak Wan menyekolahkan anak-anaknya.
Maksud : Pak Wan memasukkan anak-anaknya ke sekolah.


Makna imbuhan akhiran +i pada KKT yang diterbitkan daripada KA

a) Subjek ayat ialah ”pemangkin”, iaitu dengan sifat tertentu (termasuk warna) yang ada
padanya, ia boleh mengenakan sifat tersebut pada pihak lain (objek ayat).

Contoh : Salji memutihi puncak gunung Fuji.
Maksud : Subjek ayat, iaitu ”salji”, ialah pemangkin yang mempunyai sifat (warna)
putih dan ia mengenakan warna itu pada objek ayat, iaitu ”puncak
gunung Fuji”.


Makna imbuhan akhiran +kan pada KKT yang diterbitkan daripada KA

a) Subjek ayat ialah ”agen”, iaitu perbuatan/tindakannya menyebabkan objek ayat
berubah dari segi sifat.

Contoh : Ali memutihkan kasutnya dengan kapur.
Maksud : Subjek ayat, iaitu ”Ali”, ialah agen yang memutihkan kasut.

Nota: Perbezaan ”agen” dengan ”pemangkin” ialah ia (agen) tidak mempunyai sifat
tertentu yang kerana sifatnya itu, sifat objek ayat berubah.


Makna imbuhan akhiran +i pada KKT yang diterbitkan daripada KKTT

a) Subjek ayat yang melakukan perbuatan berkenaan.

Contoh : Ali memasuki kotak itu.
Maksud : Subjek ayat, iaitu ”Ali, yang ”masuk” ke dalam kotak.

Contoh : Dia memperisteri Siti.
Maksud : Subjek ayat, iaitu ”dia”, yang ”beristeri”. Oleh itu, ”dia” mesti lelaki.


Makna imbuhan akhiran pada KKT yang diterbitkan daripada KKTT

a) Objek tepat ayat yang melakukan perbuatan berkenaan.

Contoh : Ali memasukkan buku-buku ke dalam kotak.
Maksud : Objek ayat, iaitu ”buku-buku”, yang ”masuk” ke dalam kotak.

Contoh : Pak Wan memperisterikan anaknya dengan Siti.
Maksud : Objek ayat, iaitu ”anaknya”, yang ”beristeri”. Oleh itu, ”anaknya” mesti
lelaki.

Isnin, 21 Julai 2008

Frasa Nama

1.1 Pengenalan

Frasa nama (FN) adalah antara empat kategori frasa yang terdapat dalam bahasa Malaysia. Ia mempunyai fungsi yang banyak dalam pembinaan frasa dan ayat. Oleh sebab itu pemahaman mengenai frasa ini penting bagi seseorang pengguna bahasa untuk menjana frasa dan ayat yang gramatis.

1.2. Definisi

FN ialah panggilan yang digunakan untuk manusia, haiwan, benda dan unsur abstrak, baik dalam bilangan tunggal atau jamak, jantan atau betina. Ia mungkin terdiri daripada satu patah perkataan sahaja ataupun sederetan perkataan.

1.3 Ciri-ciri

FN boleh dikenal pasti melalui ciri khususnya iaitu ia boleh didahului oleh kata bilangan dan penjodoh bilangan. Contoh FN yang didahului oleh kata bilangan dan penjodoh bilangan ialah (1) yang berikut.

(1) a. Seorang pelajar.
b. Tiga ekor kucing.
c. Sepuluh buah rumah.

Dalam (1), FN “pelajar” (1a), “kucing” (1b) dan “rumah” (1c) masing-masing didahului oleh kata bilangan “se”, “tiga” dan “sepuluh”, dan penjodoh bilangan “orang”, “ekor” dan “buah”.

Ciri lain FN ialah ia boleh diikuti oleh kata tunjuk. Contoh FN yang diikuti oleh kata tunjuk ialah (2) yang berikut.

(2) a. Pelajar itu.
b. Tiga ekor kucing ini.
c. Sepuluh buah rumah itu.

Dalam (2), FN “pelajar” (2a), “tiga ekor kucing” (2b) dan “sepuluh buah rumah” (2c) masing-masing diikuti oleh kata tunjuk “itu” dan “ini”.

Mengenai kehadiran kata bilangan, penjodoh bilangan dan kata tunjuk ini, tiga perkara perlu diberi perhatian. Pertama, kata bilangan “se” (satu) mesti disertai oleh penjodoh bilangan (3a-c) tetapi tidak demikian halnya dengan kata bilangan lain (4a-c).

(3) a. Seorang pelajar.
a’. *Satu pelajar.
b. Seekor kucing.
b’. *Satu kucing.
c. Sebuah rumah.
c’. *Satu rumah.


(4) a. Dua orang pelajar.
a’. Dua pelajar.
b. Tiga ekor kucing.
b’. Tiga kucing.
c. Sepuluh buah rumah.
c’. Sepuluh rumah.

Kejanggalan (3a’-c’) menunjukkan bahawa penjodoh bilangan mesti hadir bersama kata bilangan “se” (satu) dalam pembentukan FN. Sebaliknya kejituan (4a’-c’) menunjukkan bahawa kehadiran penjodoh bilangan hanya bersifat opsyenal bagi kata bilangan selain “se” (satu)..

Kedua, FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan “se” (satu) dan penjodoh bilangan tidak boleh lagi menerima kehadiran kata tunjuk (5a-c) tetapi tidak demikian halnya dengan FN yang menerima kata bilangan lain (6a-c).

(5) a. *Seorang pelajar itu.
b. *Seekor kucing ini.
c. *Sebuah rumah itu.


(6) a. Dua orang pelajar itu.
b. Tiga ekor kucing ini.
c. Sepuluh buah rumah itu.

Kejanggalan (5a-c) menunjukkan bahawa kata tunjuk tidak boleh hadir pada FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan “se” (satu) dan penjodoh bilangan. Sebaliknya kejituan (6a-c) menunjukkan bahawa kata tunjuk boleh hadir pada FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan selain “se” (satu) dan penjodoh bilangan.

Ketiga, FN yang dihitung dalam bentuk kumpulan (7a), timbangan (7b), ukuran (7c) dan sukatan (7d) tidak boleh menerima kehadiran penjodoh bilangan.

(7) a. Sekumpulan pelajar.
a’. *Sekumpulan orang pelajar.
b. Sekilo daging lembu.
b’. *Sekilo ketul daging lembu.
c. Sepuluh meter kain.
c’. *Sepuluh meter helai kain.
d. Segantang beras.
d’. *Segantang biji beras.

1.4 Fungsi dalam Ayat

FN mempunyai pelbagai fungsi dalam binaan ayat. Tiga fungsi utamanya adalah sebagai subjek, predikat dan objek kata kerja transitif. Fungsinya yang lain adalah sebagai pelengkap kata kerja tak transitif dan unsur keterangan.

1.4.1 Sebagai Subjek

(8) Siti pergi ke sekolah.

“Siti” dalam (8) ialah FN yang berfungsi sebagai subjek ayat. (9a-e) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai subjek ayat.

(9) a. Abangnya juruterbang.
b. Osman penyanyi terkenal.
c. Pukulannya sungguh kuat.
d. Kami pelajar tingkatan enam.
e. Ini kawasan bangunan Parlimen.

Nota: Subjek ayat MESTI terdiri daripada FN.

1.4.2 Sebagai Predikat.

(10) Siti pelajar USM.

“Pelajar USM” dalam (10) ialah FN yang berfungsi sebagai predikat ayat. (11a-c) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai predikat ayat.

(11) a. Beliau Pengarah Pendidikan Negeri.
b. Ahmad guru.
c. Budak itu murid saya.

1.4.3 Sebagai Objek Kata Kerja Transitif

(12) Siti memandu kereta.

“Kereta” dalam (12) ialah objek kata kerja transitif “memandu”.

Nota: Objek kata kerja tak transitif MESTI terdiri daripada FN atau klausa. (13) ialah contoh objek kata kerja transitif (berhuruf tebal) yang terdiri daripada klausa.

(13) Dia menegaskan bahawa masalah ini mesti diselesaikan dengan segera.


1.4.4 Sebagai Pelengkap Kata Kerja Tak Transitif

(14) Siti menjadi pensyarah USM sejak 10 tahun lalu.

“Pensyarah USM” dalam (14) ialah pelengkap kata kerja tak transitif “menjadi”. (15) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai pelengkap kata kerja tak transitif.

(15) Hang tuah bersenjatakan keris Taming Sari.

Nota: Hanya sebilangan kecil pelengkap kata kerja tak transitif yang terdiri daripada FN.
Pelengkap berbeza daripada objek kata kerja transitif kerana ia tidak boleh melalui
proses pemasifan.

1.4.4 Sebagai Unsur Keterangan

(16) Mereka bermain bola di padang.

“Bola” dalam (12) ialah keterangan bagi kata kerja “bermain”. Sebagai unsur keterangan, Kehadiran FN adalah tidak wajib. Dengan kata lain, tanpa kehadiran “bola”, ayat (16) tetap gramatis.

(16’) Mereka bermain di padang.

(17a-c) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai keterangan ayat.

(17) a. Kanak-kanak itu berbaju Melayu.
b. Kegemarannya bermain bola.
c. Mereka belajar bahasa Jepun.


1.5 Perkara-perkara Penting mengenai FN

FN yang berfungsi sebagai predikat ayat tidak boleh menerima kehadiran kata bilangan dan penjodoh bilangan.

(18) a. *Beliau seorang Pengarah Pendidikan Negeri.
b. *Ahmad seorang guru.
c. *Budak itu seorang murid saya.

Sebaliknya FN yang berfungsi sebagai predikat ayat mempunyai ciri FK, iaitu ia boleh menerima kehadiran kala. Contohnya ialah (19a-c) yang berikut:

(19) a. Kamu akan dewasa suatu hari nanti.
b. Siti sudah remaja.
c. Mereka masih suami isteri.

Satu lagi perkara penting yang perlu diketahui mengenai FN yang berfungsi sebagai predikat ayat adalah berkenaan penggunaan kata pemeri “ialah”. Dalam ayat yang predikatnya ialah FN (berhuruf tebal), “ialah” boleh disisipkan antara subjek dengan predikat. Contohnya ialah (20a-c) yang berikut:

(20) a. Beliau ialah pelajar universiti.
b. Kucing ialah haiwan kesayangan.
c. Itu ialah rumah tradisional Melayu.

Dalam (20), “pelajar universiti”, “haiwan kesayangan” dan “rumah tradisional Melayu” ialah FN yang masing-masing berfungsi sebagai predikat ayat (20a), (20b) dan (20c). Oleh sebab itu, kata pemeri “ialah” boleh hadir di hadapan FN ini. Sebaliknya satu lagi kata pemeri, iaitu “adalah”, tidak boleh hadir dalam ayat sebegini (berpredikat FN).

(20) a’. *Beliau adalah pelajar universiti.
b’. *Kucing adalah haiwan kesayangan.
c’. *Itu adalah rumah tradisional Melayu.

Perkara seterusnya adalah mengenai penggunaan kata relatif “yang” dalam pembentukan sesuatu FN. Ada kalanya kehadiran kata relatif itu adalah wajib untuk membentukkan FN (berhuruf tebal) yang gramatis. Contohnya (21a-b) yang berikut:

(21) a. Ikan mengandungi protein yang banyak.
b. Orang yang suka membaca luas pengetahuan.

Dalam (21), kehadiran “yang” dalam pembentukan FN “protein yang banyak” dan “orang yang suka membaca” adalah wajib. Tanpa kehadirannya, FN yang dibentukkan, iaitu “protein banyak” (21a’) dan “orang suka membaca” (21b’), adalah tidak gramatis. Sebagai akibatnya ayat yang dijana (21a’-b’) juga tidak gramatis.

(21) a’. *Ikan mengandungi protein banyak.
b’. *Orang suka membaca luas pengetahuan.

Ada kalanya pula kehadiran “yang” boleh menghilangkan kejanggalan dalam pembentukan FN (berhuruf tebal). Contohnya ialah (22a-b) yang berikut:

(22) a. ?Rumah sangat besar itu tidak berpenghuni.
b. Rumah yang sangat besar itu tidak berpenghuni.

Dalam (22), ayat (22a) agak janggal tanpa kehadiran “yang”. Kehadiran “yang” dalam ayat (22b) dapat menghilangkan kejanggalan ini.

Ada kalanya pula penggunaan “yang” tidak mempunyai kesan dari segi kegramatisan FN yang dibentukkan. Oleh itu FN (berhuruf tebal) dan seterusnya ayat yang dijana tetap gramatis sama ada dengan atau tanpa kehadiran “yang”. Contohnya ialah (23a-b) yang berikut:

(23) a. Rumah besar itu tidak berpenghuni.
b. Rumah yang besar itu tidak berpenghuni.

Kedua-dua FN iaitu “rumah besar itu” dan “rumah yang besar itu” adalah gramatis. Sebagai hasilnya kedua-dua ayat (23a-b) yang dijana juga gramatis.

Walau bagaimanapun ada kalanya penggunaan “yang” akan menyebabkan FN (berhuruf tebal) yang dibentukkan tidak gramatis. Contohnya ialah (24a-b) yang berikut:

(24) a. Budaya suka membaca mesti dipupuk dalam masyarakat.
b. *Budaya yang suka membaca mesti dipupuk dalam masyarakat.

Dalam ayat (24a), FN “budaya suka membaca” adalah gramatis, lalu menghasilkan ayat yang gramatis juga. Sebaliknya ayat (24b) tidak gramatis kerana FN “budaya yang suka membaca” tidak gramatis.

Ahad, 6 Julai 2008

LKM 400
Bahasa Malaysia IV

Senarai Rujukan

A) Buku

1. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga
Nik Safiah Karim dll.
Dewan Bahasa dan Pustaka (2008).

2. Asas Kemahiran Berbahasa Malaysia
J. Nulawadin Mustafagani
Fajar Bakti (1992)

3. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia
Awang Sariyan
DBP (2000)

4. Bahasa Pintas dan Ulasan Karangan Bahasa Malaysia
Marshudi Harun dll.

B) Majalah

5. Pelita Bahasa (majalah)
DBP

6. Dewan Bahasa (majalah)
DBP


C) Laman sesawang

7. Dewan Bahasa dan Pustaka.

8. http//:www.kitaberbahasa.blogspot.com

Rabu, 25 Jun 2008

Kesalahan Ejaan

1.1 Pengenalan

Antara kesalahan ejaan yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa Malaysia adalah penggunaan huruf kecil dan huruf besar untuk mengeja nama am dan nama khas, pengejaan kata nama majmuk, kata ganda, kata ambilan dan morfem prakata.


1.2 Huruf Kecil dan Huruf Besar

Pada umumnya, perkataan dibahagikan kepada dua kategori iaitu nama am dan nama khas. Pentingnya pembahagian ini adalah untuk penulisan, khususnya ejaan. Nama am dieja dengan huruf kecil sementara nama khas dieja dengan huruf besar (huruf pertama). Rumus ini kelihatan mudah tetapi ia sebenarnya memerlukan pengetahuan yang agak mendalam juga. “Bumi“, misalnya, boleh jadi nama am (“b“ ditulis sebagai huruf kecil) dan boleh jadi juga nama khas (“b“ ditulis sebagai huruf besar).

Memang benar, sebagai salah sebuah planet yang mengelilingi matahari, “bumi“ ialah nama khas. Oleh itu, ia perlu dieja dengan huruf besar seperti dalam ayat (1) yang berikut:

(1) Salah sebuah planet dalam sistem suria ialah Bumi.

Bagaimanapun perkataan “bumi” tidak semestinya merujuk nama salah sebuah planet dalam sistem suria. Perkataan itu juga digunakan untuk maksud “tanah”. Oleh itu, dalam peribahasa (2) yang berikut, perkataan “bumi” ialah nama am dan hendaklah dieja dengan huruf kecil.

(2) Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Istilah saintifik ialah nama am. Oleh itu, ia hendaklah dieja dengan huruf kecil. Bagaimanapun, bagi istilah saintifik yang mengandungi nama khas, misalnya nama negara, nama khas tersebut hendaklah dieja dengan huruf besar. Misalnya, istilah saintifik bagi pokok getah mengandungi nama negara “Brazil“. Oleh itu, perkataan “Brasilia“ dalam istilah tersebut hendaklah dieja dengan huruf besar.

Tajuk karya seperti novel, cerpen, filem, lagu, rencana, laporan dan kertas kerja ialah nama khas. Oleh itu, ia perlu dieja dengan huruf besar. Caranya ialah huruf pertama semua perkataan (kecuali kata sendi nama) ditulis dengan huruf besar.

(3) a. Ranjau Sepanjang Jalan (tajuk novel)
b. Panglima Bujang Lapuk (tajuk filem)
c. Lagu Tiga Kupang (tajuk lagu)
d. Laporan Kemalangan Jalan Raya di Malaysia bagi Tahun 2000 (tajuk laporan)


1.3 Warganegara Bukan Warga Negara

Kata nama majmuk ialah gabungan yang mengandungi lebih daripada satu patah perkataan. Pada dasarnya, kata nama majmuk dieja secara berasingan (tidak bersambung atau dipisahkan oleh tanda sempang(-)).

(4) a. Ibu bapa
b. Rumah tangga
c. Alat tulis
d. Kereta api
e. Saudara mara

Bagaimanapun, terdapat kekecualian bagi rumus ini. Dengan kata lain, terdapat sebilangan kecil kata nama majmuk yang dieja secara bersambung (sebagai satu perkataan). Kumpulan kata nama majmuk itu dieja sedemikian kerana bentuk ejaan itu dianggap telah mantap. Untuk mengelakkan kesalahan, pengguna perlu menghafal senarai 14 kata nama majmuk yang dieja secara bersambung. Senarainya adalah seperti (5) yang berikut:

(5) a. Antarabangsa
b. Bumiputera
c. Jawatankuasa
d. Kakitangan
e. Kerjasama
f. Matahari
g. Olahraga
h. Pesuruhjaya
i. Setiausaha
j. Sukarela
k. Suruhanjaya
l. Tandatangan
m. Tanggungjawab
n. Warganegara


1.4 Gunung-ganang Bukan Gunung Ganang

Kata ganda ialah perkataan yang disebut/ditulis secara pengulangan. Terdapat tiga kategori kata ganda, iaitu kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata ganda berirama. Kata ganda penuh ialah perkataan yang diulang sepenuhnya. Kata ganda separa ialah perkataan yang diulang sebahagiannya sahaja. Kata ganda berirama pula ialah perkataan yang diulang untuk menerbitkan irama. Cara menulis kata ganda penuh dan kata ganda berirama adalah dengan menggunakan tanda sempang antara dua perkataan yang diulang. Senarai (6a-e) ialah contoh kata ganda penuh manakala senarai (7a-e) ialah kata ganda berirama.

(6) a. Kanak-kanak
b. Kura-kura
c. Rama-rama
d. Labi-labih
e. Labah-labah

(7) a. Gunung-ganang
b. Kuih-muih
c. Warna-warni
d. Mandi-manda
e. Bukit-bukau

Kata ganda separa (8a-e) dieja sebagai satu perkataan.

(8) a. Rerama
b. Jejari
c. Tetupai
d. Tetikus
e. Lelangit


1.5 Pro Kena Dekat, Anti Jangan Jauh

Terdapat sebilangan morfem yang digabungkan dengan perkataan dan mengisi posisi di hadapan perkataan berkenaan. Sebagai morfem, ia mengandungi maksud tertentu yang digabungkan dengan perkataan tersebut. Oleh sebab posisinya di hadapan perkataan, ia dinamai morfem prakata. Contoh morfem jenis ini ialah pra, pasca, pro, anti, tata, juru, eka dan dwi. Cara mengeja perkataan yang digabungkan dengan morfem ini adalah dengan menulisnya sebagai satu perkataan (tanpa senggang atau tanda sempang).

(9) a. Antioksidan
b. Prokerajaan
c. Prasejarah
d. Pascamerdeka
e. Jurutera
f. Ekabahasa
g. Tatasusila

Isnin, 12 Mei 2008

Terbilang tapi Jangan Terbuang

Mohd Rashid Darham

Daripada 6,809 bahasa yang disenaraikan dalam pangkalan data Ethnologue: Languages of the World, 330 daripadanya masing-masing mempunyai lebih sejuta penutur manakala 450 yang lain mempunyai bilangan penutur yang sangat sedikit dan disenaraikan sebagai bahasa yang hampir pupus. Pangkalan data itu juga menunjukkan sesuatu yang membimbangkan iaitu saiz median bahasa di dunia ialah 6,000 penutur. Dengan kata lain, separuh daripada bahasa di dunia mempunyai 6,000 penutur atau lebih sementara separuh lagi mempunyai 6,000 penutur atau kurang.

Apakah signikannya angka-angka ini? Angka-angka ini menunjukkan bahawa sebahagian besar bahasa di dunia menduduki zon tidak selamat. Tegasnya ia menghadapi bahaya kepupusan kerana kekurangan penutur. Jika diambil angka median 6,000 penutur sebagai sempadan zon bahaya, maka separuh atau kira-kira 3,400 bahasa di dunia menghadapi ancaman kepupusan. Jika angka ini dinaikkan, jumlah bahasa yang menghadapi ancaman kepupusan akan bertambah.
Di manakah kedudukan bahasa Melayu? Dengan anggaran 300 juta penutur yang bertaburan terutamanya di kepulauan Asia Tenggara, Semenanjung Tanah Melayu dan Segenting Kra, bahasa Melayu masih jauh daripada zon bahaya. Malah bahasa Melayu dapat diletakkan di dalam zon selesa di dalam kelas elit 10 bahasa terbesar di dunia.

Walaupun berada di dalam zon selesa, tidak bermakna kedudukan bahasa Melayu tidak menghadapi sebarang ancaman dan cabaran. Berada di dalam zon selesa malah lebih merbahaya kerana penghuninya cenderung untuk bersikap alpa dan tidak menyedari ancaman yang datang. Biasanya kesedaran hanya timbul apabila “nasi telah menjadi bubur.”

Sebelum bahasa Melayu menjadi bubur, elok rasanya ditinjau ancaman dan cabaran yang dapat menggugat kedudukan selesa bahasa Melayu, atau malah mengancam kemandiriannya.

Jumlah penutur yang besar bukanlah satu-satunya jaminan bahawa sesuatu bahasa itu tidak diancam kepupusan. Sejarah telah membukti bahawa bahasa yang besar dan gah sekalipun dapat dimangsai kepupusan. Contoh paling klasik ialah bahasa Sanskrit dan Latin yang telah pupus walaupun pernah menjadi bahasa tamadun dunia.

Ahli-ahli bahasa telah mengenalpasti beberapa faktor yang menyebabkan kepupusan sesuatu bahasa. Sebahagian daripada faktor tersebut dapat menyebabkan kepupusan bahasa secara mendadak sementara sebahagian yang lain menyebabkan kepupusan bahasa secara perlahan-lahan.

Faktor-faktor yang dapat menyebabkan kepupusan bahasa secara mendadak ialah bencana alam seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, kemarau, wabak, taufan dan banjir besar, dan angkara manusia seperti peperangan dan pembunuhan beramai-ramai. Contohnya ialah bahasa Paulohi di Maluku yang pupus sebagai akibat gempa bumi besar dan taufan tsunami yang mengorbankan hampir kesemua penuturnya.

Walaupun kedudukan penutur bahasa Melayu, terutama di Malaysia, dapat dikatakan jauh daripada ancaman bencana alam yang dapat melenyapkan penutur-penuturnya, bahasa itu tetap menghadapi ancaman kepupusan secara mendadak sebagai akibat angkara manusia. Perlumbaan senjata yang semakin sengit telah mengilhamkan penciptaan senjata pemusnah besar-besaran yang dapat melenyapkan sasaran beribu-ribu kilometer persegi luasnya. Ertinya senjata-senjata ini mampu memusnahkan rantau yang dihuni oleh penutur bahasa Melayu. Dengan kecenderungan kuasa besar dunia sekarang untuk berperang, hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku.

Selain itu, bahasa Melayu juga menghadapi ancaman kepupusan secara perlahan-lahan. Punca utamanya ialah sikap penutur-penuturnya sendiri. Di Malaysia, bahasa Melayu dianggap kurang mempunyai nilai ekonomi berbanding bahasa Inggeris. Contohnya, graduan yang gagal mendapat pekerjaan, terutama di sektor swasta yang menyediakan sebahagian besar peluang pekerjaan, dikatakan berpunca daripada kegagalan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Berasaskan pandangan ini (yang dapat dipersoal kebenarannya), masyarakat mula memberikan penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dan mula meminggirkan bahasa Melayu. Sesetengah ibu bapa memutuskan untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dengan anak-anak di rumah kerana mereka tidak mahu anak-anak menderita sebagai akibat tidak menguasai bahasa Inggeris seperti yang telah dialami oleh mereka. Sebagai akibatnya, lahirlah generasi yang kurang berkemahiran menggunakan bahasa Melayu terutama dalam situasi ‘formal’ seperti untuk mengemukakan idea atau pandangan. Ahli-ahli bahasa memberikan amaran bahawa jika keadaan ini berterusan, kepupusan bahasa dapat berlaku apabila penutur bahasa tersebut lenyap generasi demi generasi.

Mungkin ada orang bertanya apa perlunya kita memelihara bahasa Melayu daripada kepupusan? Jika kita bimbang dengan ancaman kepupusan orang utan, kita seharusnya dapat menjawab soalan ini. Bagi orang Melayu terutamanya, apakah yang lebih dekat dan sebati dengan budaya, cara hidup, minda dan jiwa raga mereka? Tentulah bahasa Melayu, bukannya orang utan. Jawapan ini seharusnya menjadikan kita lebih prihatin terhadap masa depan bahasa Melayu

Menghindar penyakit lebih baik daripada merawatnya. Walaupun bahasa Melayu belum diancam kepupusan, usaha perlu dibuat bermula daripada peringkat awal untuk menghindar ‘penyakit’ tersebut daripada menjangkiti bahasa Melayu. Ahli-ahli bahasa berpendapat bahawa tahap paling sesuai untuk pembelajaran sesuatu bahasa ialah pada usia kanak-kanak. Dengan itu, peranan ibu bapa merupakan faktor paling penting dalam usaha memelihara sesuatu bahasa daripada kepupusan. Dalam hal ini ibu bapa, terutama yang bahasa ibunda mereka bahasa Melayu, seharusnya menggunakan bahasa berkenaan dengan anak-anak mereka di rumah.

Selain di rumah, kanak-kanak banyak menghabiskan masa di sekolah, terutama di sekolah rendah. Oleh sebab itu, peranan guru-guru di sekolah rendah juga sangat penting dalam usaha memelihara bahasa Melayu daripada kepupusan.

Bahasa Hebrew yang dituturkan oleh orang Yahudi merupakan contoh terbaik kejayaan sistem pendidikan dalam menyelamatkan bahasa yang hampir pupus. Hari ini hampir setiap orang di Israel menggunakan bahasa tersebut dalam perbualan mereka, baik sebagai bahasa pertama atau kedua.

Media massa juga memainkan peranan penting dalam pemeliharaan sesuatu bahasa. Di Malaysia, jumlah media massa yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dapatlah dikatakan agak banyak. Walaupun memuaskan dari segi kuantiti, kualiti bahasa yang digunakan oleh media massa di negara ini, termasuk media massa arus perdana, tidak begitu memuaskan. Dengan kata lain, banyak media di negara ini menggunakan bahasa Melayu yang tidak standard atau piawai.

Bahasa Melayu masih terlalu muda dan belum sampai ke kemuncak perkembangannya. Nasib bahasa Melayu, sama ada akan terus mekar atau layu sebelum mula berkembang, terletak pada tangan penutur-penuturnya. Kealpaan untuk menyirami dan menjaga bahasa yang masih muda ini akan menyebabkannya layu sebelum berkembang. Kesungguhan untuk memelihara dan mengetengahkannya (bukan meminggirkannya) akan memastikan bahasa ini dapat tersebut berkembang sehingga mencapai kemuncaknya.

Rabu, 7 Mei 2008

Lebih Baku Lebih Tahu

Mohd Rashid Darham

Bahasa Melayu (BM) baku menyusahkan. Inilah tanggapan yang sering diluahkan dalam bentuk keluhan oleh para pelajar termasuk mahasiswa di institusi pengajian tinggi. Sekali imbas, tanggapan ini memang betul kerana BM baku mempunyai rumus-rumus yang piawai yang perlu dipatuhi untuk memastikan penggunaan bahasa yang gramatis. Syarat pematuhan terhadap rumus yang piawai inilah yang dikatakan menyusahkan pemelajaran BM baku.

Tanggapan ini sebenarnya bertentangan dengan hakikat, iaitu lebih piawai rumus sesuatu bahasa, lebih mudah bahasa itu dipelajari. Sebaliknya, lebih longgar rumus sesuatu bahasa, lebih sukar bahasa itu dipelajari. Tegasnya, lebih baku sesuatu bahasa, lebih mudah bahasa itu dipelajari. BM tidak terkecuali daripada kenyataan ini.

Untuk membukti kebenaran kenyataan ini, perhatikan ujaran (1) yang berikut:

(1) a. Siti menghadiahi ibunya seutas kalung emas.
b. *Siti menghadiahkan ibunya seutas kalung emas.
c. *Siti menghadiahi seutas kalung emas kepada ibunya.
d Siti menghadiahkan seutas kalung emas kepada ibunya.

Dalam penggunaan biasa, iaitu tanpa mengambil kira rumus bahasa baku, kesemua ujaran (1) akan diterima sebagai betul. Dalam hal ini adalah jelas bahawa penerimaan ujaran-ujaran ini dibuat atas dua andaian yang berkaitan antara satu sama lain. Andaian tersebut ialah imbuhan akhiran -kan (pada kata “menghadiahkan”) dan -i (pada kata “menghadiahi”) mempunyai fungsi yang sama. Oleh sebab imbuhan ini mempunyai fungsi yang sama, maka ia dapat digunakan secara bertukar ganti.

Andaian-andaian ini sebenarnya dapat mengakibatkan kekeliruan dalam pemelajaran BM.

Satu ciri penting bagi sesuatu rumus bahasa baku ialah konsistensi, iaitu ia dapat diaplikasikan untuk menjana dan menganalisis ujaran-ujaran yang sepadan. Lebih konsisten sesuatu rumus, lebih baku sifatnya dan lebih mudah bahasa tersebut dipelajari.

Andaian bahawa imbuhan -kan dan -i mempunyai fungsi yang sama dan boleh digunakan secara bertukar ganti nyata tidak mempunyai ciri konsistensi. Kalau andaian-andaian ini hendak diterima dan dipertahankan, kedua-dua ujaran (2) yang berikut juga harus diterima sebagai sama, dan boleh digunakan bertukar ganti.

(2) a. Ibu menidurkan adik.
b. *Ibu meniduri adik.

Tanpa rumus BM baku, ujaran (2b) yang nyata tidak betul (tidak dapat menyampaikan maksud sebenar) ini tidak dapat ditolak. Oleh itu, bagaimanakah hendak diterangkan kepada para pelajar bahawa ujaran yang patut digunakan ialah (2a), bukannya (2b).

Bertentangan dengan andaian ini, rumus BM baku menyatakan bahawa imbuhan -kan dan -i mempunyai fungsi yang berbeza. Fungsi yang berbeza inilah yang mencetuskan maksud yang berbeza pada kata kerja (KK) yang menerima imbuhan ini. Oleh sebab itu, kedua-dua imbuhan ini tidak boleh digunakan secara bertukar ganti.

Rumus BM baku menyatakan bahawa imbuhan -kan pada KK transitif (KKT) yang diterbitkan daripada KK tak transitif (KKTT) (“tidur” ialah KKTT) menunjukkan bahawa objek ayatlah yang melakukan perbuatan berkenaan. Oleh sebab itu, ujaran (2a) bermaksud “adik (objek ayat) yang tidur”.

Sebaliknya imbuhan -i pada KKT subkategori ini menunjukkan bahawa subjek ayatlah yang melakukan perbuatan berkenaan. Oleh sebab itu, ujaran (2b) bermaksud “ibu (subjek ayat) yang tidur”.

Seperti yang telah dinyatakan, ciri penting yang perlu ada pada sesuatu rumus baku ialah konsistensi. Rumus ini memenuhi ciri ini kerana ia dapat digunakan secara konsisten terhadap KKT yang diterbitkan daripada KKTT. Sebagai contoh perhatikan penggunaan KKT “menerbangkan” dan “menerbangi” (diterbitkan daripada KKTT “terbang”), dan “menaiki” dan “menaikkan” (diterbitkan daripada KKTT “naik”) dalam ujaran (3-4) yang berikut:

(3) a. Juruterbang menerbangkan pesawat.
b. Pesawat menerbangi ruang angkasa.

(4) a. Anggota bomba menaiki bangunan itu.
b. Anggota bomba menaikkan tangga ke atas bangunan itu.

Ujaran (3a) bermaksud “pesawat (objek ayat) yang terbang.” Ujaran (3b) bermaksud “pesawat (subjek ayat) yang terbang.” Ujaran (4a) bermaksud “anggota bomba (subjek ayat) yang naik.” Ujaran (4b) bermaksud “tangga (objek ayat) yang naik.”

Selain dianggap menyusahkan pemelajaran bahasa, pengaplikasian rumus bahasa baku juga berkemungkinan melahirkan ujaran yang janggal, iaitu ujaran yang tidak digunakan oleh masyarakat umum. Hal ini bukan sahaja menyebabkan timbulnya tanggapan bahawa BM baku menyusahkan, malah menjelekkan.

Sebagai contoh, masyarakat umum menggunakan KKT “meniduri” untuk maksud yang tersirat, iaitu “melakukan hubungan seksual”. Walau bagaimanapun rumus BM baku tidak mengehadkan penggunaan KKT ini untuk maksud tersirat itu sahaja. Asalkan penggunaannya tidak melanggar rumus, ujaran yang mengandungi perkataan tersebut akan diterima sebagai gramatis. Oleh itu, lahirlah ujaran (5) yang berikut:

(5) Pengemis itu meniduri kaki lima kedai.

Penggunaan imbuhan -i pada KKT “meniduri” dalam ujaran (5) ini adalah gramatis kerana ia selaras dengan rumus baku iaitu subjek ayat “pengemis itu” yang melakukan perbuatan “tidur”.

Contoh lain ujaran yang dianggap janggal yang lahir sebagai hasil pengaplikasian rumus BM baku ialah (6-8) yang berikut:

(6) a. Encik Ahmad memperbesar rumahnya.

(7) Pak Mat memperisterikan Ali.

(8) a. Pemimpin harus mencontohi rakyat.

Ujaran (6a) dianggap janggal kerana KKT “memperbesar” tidak biasa digunakan tanpa digandingkan dengan imbuhan –kan, iaitu “memperbesarkan”. Ujaran (7) dianggap janggal kerana objek bagi KKT “memperisterikan” lazimnya ialah perempuan, bukan lelaki. Ujaran (8a) pula dianggap janggal kerana ujaran yang lazim digunakan ialah (8b).

(8) b. Rakyat harus mencontohi pemimpin.

Sebenarnya ujaran (6a, 7 dan 8a) mematuhi rumus BM baku dan diterima sebagai gramatis. Imbuhan per- pada KKT “memperbesar” mempunyai fungsi yang sama dengan imbuhan -kan. Oleh itu, ujaran (6a) boleh juga diungkapkan begini:

(6) b. Encik Ahmad membesarkan rumahnya.

Oleh sebab dalam kes ini imbuhan per- mempunyai fungsi yang sama dengan -kan, penggandingan dua imbuhan ini akan menyebabkan kelewahan. Hal ini tidak dibenarkan dalam penggunaan bahasa yang baku.

KKT “memperisterikan” dalam ujaran (7) sebenarnya terjana sebagai hasil gandingan imbuhan meN- dan -kan pada KKTT yang telah sedia berimbuhan beR-, iaitu “beristeri”. Seperti yang telah dijelaskan, imbuhan -kan pada KKT yang diterbitkan daripada KKTT menunjukkan bahawa pelaku perbuatan ialah objek ayat. Dalam hal ini yang boleh melakukan perbuatan “beristeri” tentulah lelaki, bukannya perempuan.

Seterusnya, kata “mencontohi” dalam ujaran (8a) ialah KKT yang diterbitkan daripada kata nama (KN), iaitu “contoh”. Kata “mencontohi” bermaksud “menjadi contoh”, dan ujaran (8a) bermaksud “Pemimpin harus menjadi contoh kepada rakyat”. Hal ini samalah dengan KKT “mewakili” yang diterbitkan daripada KN “wakil” yang bermaksud “menjadi wakil”. Maksud ini tergambar dalam ujaran (9) yang berikut:

(9) Sarah mewakili sekolahnya dalam pertandingan itu.

Ujaran (9) ini bermaksud “Sarah menjadi wakil sekolahnya dalam pertandingan itu.”

Dengan ini, jelaslah bahawa ujaran (8b) yang lazim digunakan adalah tidak konsisten dengan rumus bahasa baku dan seharusnya ditolak, kecualilah kalau maksud yang hendak disampaikan ialah “Rakyat harus menjadi contoh kepada pemimpin.”

Rasa janggal dan jelek terhadap ujaran-ujaran yang terjana sebagai hasil pengaplikasian rumus bahasa baku ini dapat diatasi melalui kebiasaan. Oleh sebab itu, kebiasaan menggunakan ujaran-ujaran yang terjana sebagai hasil pengaplikasian rumus-rumus bahasa baku, terutama dalam situasi yang memerlukan penggunaan bahasa yang standard seperti penyampaian ilmu, perlu dipupuk untuk menghilangkan kejanggalan dan kejelekan ini.

Walau bagaimanapun pengguna bahasa termasuk para pelajar dan mahasiswa tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya kerana mempunyai tanggapan sebegini (bahawa BM baku menyusahkan). Ketidakselarasan dalam penentuan rumus BM baku dalam kalangan ahli bahasa turut menyebabkan tanggapan negatif ini tercetus.

Sebagai contoh, ahli-ahli bahasa tidak sependapat berhubung dengan penggunaan struktur pasif yang berikut:

(10) FN1 + FN2 + FK.

(FN1 ialah subjek ayat, FN2 pelaku, dan FK frasa kerja pasif).

Contoh ayat bagi struktur pasif tersebut ialah ujaran (11) yang berikut:

(11) a. Buku itu saya baca.
b. Buku itu anda baca.
c. ?Buku itu dia baca.
d. ?Buku itu Siti baca.

Sebahagian ahli bahasa mengehadkan penggunaan struktur pasif ini untuk FN2 yang terdiri daripada ganti nama diri pertama dan ganti nama diri kedua sahaja. Oleh sebab itu, mereka menerima ujaran (11a-11b) tetapi menolak ujaran (11c-11d). Sebahagian lagi ahli bahasa menolak pandangan ini, iaitu mereka tidak mengehadkan penggunaan struktur ini untuk FN2 yang terdiri daripada ganti nama diri pertama dan ganti nama diri kedua sahaja. Oleh sebab itu, mereka menerima kesemua ujaran (11).

Dari satu segi, terdapatnya percanggahan ini menunjukkan bahawa isu-isu bahasa sentiasa mendapat perhatian ahli-ahli bahasa dan masyarakat umum. Perhatian yang berterusan ini akan memastikan BM sentiasa berkembang. Salah satu kesan positifnya ialah rumus-rumus yang lebih piawai akan dikenalpasti dari semasa ke semasa, yang pada akhirnya akan memantapkan rumus-rumus baku tersebut.

Pemantapan rumus-rumus baku ini penting dalam usaha memudahkan pemelajaran BM seperti yang dialami oleh bahasa Inggeris (BI) sekarang ini. Tidak dapat dinafikan bahawa antara faktor BI menikmati kedudukannya sebagai bahasa utama antarabangsa adalah kerana bahasa itu telah mempunyai rumus baku yang mantap. Oleh itu ia mudah dipelajari, terutama sebagai bahasa kedua.

Dari segi yang lain, percanggahan ini akan mendatangkan kesan negatif iaitu ia dapat mewujudkan “putaran ganas” yang dapat membantutkan usaha membakukan BM. Percanggahan ini akan mengakibatkan kekeliruan kepada pengguna BM dalam memastikan rumus yang betul dan patut dipatuhi. Kekeliruan ini seterusnya dapat menghilangkan minat pengguna BM untuk memelajari dan menggunakan BM baku. Sebagai akibatnya, penggunaan BM baku tidak akan diambil serius dan usaha mengembangkan dan menyuburkan penggunannya akan terbantut.

Kekeliruan ini dapat diatasi dengan merujuk buku tatabahasa yang berwibawa seperti “Tatabahasa Dewan” yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Jelaslah tanggapan bahawa BM baku menyusahkan adalah salah dan dapat membantutkan usaha menyebarluaskan penggunaan bahasa itu. Oleh sebab itu, tanggapan negatif dan salah ini harus diketepikan, lalu diganti dengan tanggapan bernada positif dan berpijak pada hakikat, iaitu BM baku memudahkan.

Tanpa Bahawa Pudar Wacana

Mohd Rashid Darham

Pemajmukan ialah kaedah mengembangkan ayat dengan menghubungkan beberapa ayat (minimum dua ayat) menjadi satu ayat. Tugas untuk menghubungkan ayat-ayat dalam ayat majmuk ini dilakukan oleh satu kategori perkataan yang dikenali sebagai kata hubung (KH). Contoh KH ialah dan, lalu, kerana, agar, yang, untuk dan bahawa.

KH mempunyai beberapa subkategori yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri. Bahawa disubkategorikan sebagai KH komplemen dan berfungsi sebagai pengikat yang mengikat sekelompok perkataan menjadi klausa atau ayat kecil. Klausa ini kemudiannya dihubungkan dengan ayat induk untuk membentukkan ayat majmuk komplemen. Klausa yang terbina oleh ikatan KH bahawa dapat mengisi gatra subjek ayat; objek tepat dan objek sipi frasa kerja (FK) transitif; pelengkap FK tak transitif, dan pelengkap frasa adjektif (FA).

Penggunaan KH bahawa dalam pembentukan ayat majmuk komplemen dapat dilihat dalam ayat (1-5).

1. Bahawa menuntut ilmu adalah wajib perlu dihayati oleh umat Islam.
2. Beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu.
3. Beliau memberitahu saya bahawa beliau akan melanjutkan pelajaran.
4. Saya berpendapat bahawa keputusannya itu adalah baik.
5. Kita perlu sedar bahawa kesejahteraan tidak boleh dicapai melalui keganasan.

Klausa “bahawa menuntut ilmu adalah wajib” berfungsi sebagai subjek ayat (1); klausa “bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu” berfungsi sebagai objek tepat ayat (2); klausa “bahawa beliau akan melanjutkan pelajaran” berfungsi sebagai objek sipi ayat (3); klausa “bahawa keputusannya itu adalah baik” berfungsi sebagai pelengkap FK tak transitif “berpendapat” ayat (4), dan klausa “bahawa kesejahteraan tidak boleh dicapai melalui keganasan” berfungsi sebagai pelengkap FA “sedar” ayat (5).

Terdapat dua jenis kesalahan yang lazim dilakukan berhubung penggunaan KH bahawa. Kesalahan pertama ialah pengguguran KH bahawa, dan kedua ialah penggantian kata tersebut dengan KH relatif yang dengan anggapan bahawa kedua-duanya adalah sama.

Contoh kesalahan jenis yang pertama terlihat dalam ayat (2a-5a). Walau bagaimanapun kecacatan ayat (4a-5a) agak kurang jelas lalu ditandai ‘?’.

2a. *Beliau menegaskan / bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu.
3a. *Beliau memberitahu saya / beliau akan melanjutkan pelajaran.
4a. ?Saya berpendapat / keputusannya itu adalah baik.
5a. ?Kita perlu sedar / kesejahteraan tidak boleh dicapai melalui keganasan.

Cara yang agak mudah untuk membukti bahawa ayat (2a-5a) tidak gramatis ialah dengan mengubah bentuknya menjadi ayat pasif, iaitu dengan membawa klausa yang hadir selepas tanda ‘/’ ke pangkal ayat dan dijadikan subjek ayat. Oleh sebab ayat (4a) tidak boleh mengalami proses ini, statusnya (sama ada gramatis atau tidak) boleh ditentukan melalui penelitian terhadap ayat lain yang sepadan/sejenis dengannya.

2b. *Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu / ditegaskan (oleh beliau).
3b. *Beliau akan melanjutkan pelajaran / diberitahukan kepada saya (oleh beliau).
5b. *Kesejahteraan tidak boleh dicapai melalui keganasan / perlu kita sedari.
Frasa dalam ( ) menunjukkan status kehadirannya bersifat pilihan (boleh digugurkan).

Ayat pasif (2b, 3b dan 5b) dikira tidak gramatis kerana kekaburan maksudnya. Hal ini berlaku kerana struktur yang hadir sebelum tanda ‘/’ sebenarnya ialah ayat yang telah lengkap dari segi struktur dan makna. Lalu timbul persoalan apakah fungsi struktur yang hadir selepas tanda ‘/’.

Kekaburan/kekeliruan ini tidak akan berlaku jika KH bahawa tidak digugurkan.

2c. Bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu / ditegaskan (oleh beliau).
3c. Bahawa beliau akan melanjutkan pelajaran / diberitahukan kepada saya (oleh
beliau).
5c. Bahawa kesejahteraan tidak boleh dicapai melalui keganasan / perlu kita sedari.

Dapat diperhatikan daripada ayat (2c, 3c dan 5c) bahawa struktur yang hadir sebelum tanda ‘/’ belum dapat dikatakan sebagai “ayat’ yang lengkap dari segi struktur dan makna. Hal ini berlaku kerana kehadiran KH bahawa telah menukar status struktur tersebut menjadi klausa, iaitu ayat kecil yang mesti dihubungkan dengan ayat induk. Dalam ayat (2c, 3c dan 5c) klausa ini berfungsi sebagai subjek. Struktur yang hadir selepas tanda ‘/’ berfungsi sebagai predikat yang melengkapkan pembentukan ayat (2c, 3c dan 5c).

Atas alasan inilah KH bahawa dalam ayat (1) tidak boleh digugurkan.

1a. *Menuntut ilmu adalah wajib / perlu dihayati oleh umat Islam.

Begitu juga KH bahawa wajib hadir dalam struktur aktifnya (1b).

1b. Umat Islam perlu menyedari bahawa menuntut ilmu adalah wajib.
1c. *Umat Islam perlu menyedari menuntut ilmu adalah wajib.

Ayat (4a) adalah sepadan/sejenis dengan ayat (2a, 3a, dan 5a). Oleh sebab telah terbukti bahawa KH bahawa tidak boleh digugurkan daripada ayat jenis ini, ayat seperti (4a) seharusnya tidak boleh terkecuali daripada rumus ini. Pengecualian terhadap sesuatu rumus seharusnya ditiadakan/diminimumkan untuk mengelakkan kekeliruan. Dengan ini, dicadangkan bahawa status (4a), dicatatkan semula sebagai (4b), adalah tidak gramatis.

4b. *Saya berpendapat keputusannya itu adalah baik.

Walau bagaimanapun Tatabahasa Dewan membenarkan pengguguran KH bahawa pada kedudukan objek, dengan mengatakan:

“… kadang-kadang pengguguran kata komplemen
tersebut dibenarkan, yakni tidak menjejaskan makna.”
(Nik Safiah Karim dll, 1995: 489)

Perhatikan bahawa syarat “tidak menjejaskan makna” yang membolehkan pengguguran KH bahawa agak longgar dan bersifat subjektif. Jadi adalah “lebih selamat” untuk tidak menggugurkan KH tersebut dalam pembinaan ayat majmuk komplemen.

Contoh kesalahan jenis kedua pula terlihat dalam ayat (1d-3d, 4c dan 5d).

1d. *Umat Islam perlu menyedari yang menuntut ilmu adalah wajib.
2d. *Beliau menegaskan yang bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu.
3d. *Beliau memberitahu saya yang beliau akan melanjutkan pelajaran.
4c. *Saya berpendapat yang keputusannya itu adalah baik.
5d. *Kita perlu sedar yang kesejahteraan tidak boleh dicapai melalui keganasan.

Cara yang agak mudah untuk membukti bahawa ayat (1d-3d, 4c dan 5d) tidak gramatis ialah dengan menggantikan KH bahawa dalam ayat (2c, 3c dan 5c) dengan KH yang (2e, 3e dan 5e). Jika benar yang mempunyai fungsi yang sama dengan bahawa, ia seharusnya dapat mengganti bahawa tanpa mengira kedudukan KH komplemen itu dalam ayat.

2. e) *Yang bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu ditegaskan (oleh beliau).
3. e) *Yang beliau akan melanjutkan pelajaran diberitahukan kepada saya (oleh beliau).
5. e) *Yang kesejahteraan tidak boleh dicapai melalui keganasan perlu kita sedari.

Sekali lagi ayat (4c) juga dapat dianggap tidak gramatis kerana penelitian terhadap ayat lain yang sepadan/sejenis dengannya membukti hakikat ini.

Dalam hal ini perlu diketahui bahawa KH bahawa dan yang mempunyai fungsi yang berbeza walaupun kedua-dua termasuk dalam kategori yang sama (KH). Perbezaan ini akan dapat dilihat dengan jelas dan mudah dengan meneliti struktur yang hadir selepas KH bahawa seperti yang terlihat dalam ayat (1-5), dicatatkan semula sebagai (6-10), dan KH yang (11).

6. Bahawa / menuntut ilmu adalah wajib / perlu dihayati oleh umat Islam.
7. Beliau menegaskan bahawa / bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu/.
8. Beliau memberitahu saya bahawa / beliau akan melanjutkan pelajaran/.
9. Saya berpendapat bahawa / keputusannya itu adalah baik/.
10. Kita perlu sedar bahawa / kesejahteraan tidak boleh dicapai melalui
keganasan/.
11. Kereta itu menggunakan sel bahan api hidrogen yang / melepaskan sisa
buangan yang dapat anda minum/.

Perhatikan bahawa semua struktur yang hadir selepas KH bahawa (ditandai oleh ‘/ /’ dalam ayat (6-10) ialah ayat yang telah lengkap dari segi struktur (bersubjek dan berpredikat) dan makna. Sebagai contoh, klausa /menuntut ilmu adalah wajib/ dalam ayat (6) dapat berdiri sendiri sebagai ayat yang lengkap, iaitu bersubjek (menuntut ilmu) dan berpredikat (adalah wajib). Hal ini berlainan dengan struktur yang hadir selepas KH yang dalam ayat (11) (melepaskan sisa buangan yang dapat anda minum) yang tidak boleh berdiri sendiri sebagai ayat yang lengkap.

Sebenarnya kesalahan jenis kedua ini berpunca daripada pengaruh bahasa Inggeris, khususnya kesilapan menterjemah kata that seperti yang terdapat dalam ayat (11a-12). Perlu diingat bahawa bahasa Inggeris menggunakan that sebagai KH komplemen (12) dan KH relatif (11a), dan keadaan ini tidak boleh disamakan dengan bahasa Melayu.

11a. The car is powered by a hydrogen fuel cell that creates emissions you can drink.
12. He belives that computers can think like human.

Ayat (11a) diterjemah menjadi (11), dicatatkan semula sebagai (11b), dan ayat (12) diterjemah menjadi (12a).

11b. Kereta itu menggunakan sel bahan api hidrogen yang / melepaskan sisa
buangan yang dapat anda minum/.
12a. *Beliau percaya yang komputer boleh berfikir seperti manusia.

Terjemahan yang gramatis bagi ayat (12) ialah (12b).

12b. Beliau percaya bahawa / komputer boleh berfikir seperti manusia/.

Perhatikan bahawa klausa yang hadir selepas KH bahawa (komputer boleh berfikir seperti manusia) dapat berdiri sendiri sebagai ayat yang lengkap.

Daripada penerangan ini dapatlah dikatakan bahawa KH bahawa wajib hadir dalam ayat majmuk komplemen. Kehadirannya bukan sahaja dapat menjamin kegramatisan ayat, malah yang lebih penting ialah ia dapat menjamin bahawa maksud ayat, dan seterusnya maksud wacana, yang hendak disampaikan tidak kabur dan mengelirukan. Dalam wacana ilmu yang tinggi sifatnya, yang kejelasan maksud sangat diutamakan, kehadiran KH bahawa memainkan fungsi yang sangat penting.

Memerkasakan atau Memperkasakan?

Mohd Rashid Darham

Pengimbuhan merupakan proses tatabahasa yang penting yang dapat mengubah makna dan kategori sesuatu perkataan. Dengan kata lain, pengimbuhan boleh menjana perkataan lain daripada kata asal atau kata dasar. Misalnya, pengimbuhan boleh menerbitkan 14 perkataan lain daripada kata dasar “besar”, iaitu ”pembesaran”, ”pembesar”, ”kebesaran”, ”berbesar”, ”dibesarkan”, ”diperbesar”, ”terbesar”, ”besarkan”, ”perbesar”, ”membesarkan”, ”memperbesar”, ”membesar”, ”besar-besaran” dan ”besarnya”. Oleh sebab pentingnya pengimbuhan dalam penjanaan perkataan, pengetahuan dan kemahiran mengenainya perlu untuk mengelakkan penerbitan perkataan yang tidak gramatis.

Salah satu imbuhan yang boleh mengelirukan pengguna bahasa ialah awalan meN+ yang berfungsi untuk menerbitkan kata kerja (KK). Hal ini kerana imbuhan ini mempunyai bentuk yang paling pelbagai, iaitu me+, mem+, men+, meng+ dan menge+. Perubahan bentuk awalan meN+ ini lazimnya bergantung pada huruf pertama kata dasar yang menerima kehadiran imbuhan tersebut. Misalnya, awalan me+ hadir pada kata dasar yang bermula dengan huruf ”l” (misalnya ”lihat” menjadi ”melihat”), ”m” (”masuk” – ”memasuki”, ”memasukkan”), ”n” (”nanti” – ”menanti”), ”r” (”rawat” – ”merawat”), dan ”w” (”wakil” – ”mewakili”, ”mewakilkan”).

Walau bagaimanapun, perubahan bentuk awalan meN+ tidak hanya ditentukan oleh huruf pertama kata dasar yang menerima imbuhan tersebut. Kata dasar yang bermula dengan huruf ”p” ialah contoh ketara untuk menunjukkan bahawa huruf pertama kata dasar bukan faktor tunggal yang menentukan bentuk awalan meN+. Hal ini dapat diperhatikan daripada data (1a-l) yang berikut:

(1) a. Memahat
b. Memantau
c. Memeranjatkan
d. Mempesonakan
e. Memelihara
f. Memporak-perandakan
g. Mempelawa
h. Memenjarakan
i. Mempelopori
j. Mempengaruhi
k. Memproses
l. Mengepos

Daripada data (1a-l) ini, dapat dilihat penggunaan tiga bentuk awalan meN+, iaitu me+ (”memahat”, ”memantau”, ”memeranjatkan”, ”memelihara” dan ”memenjarakan”), mem+ (”mempesonakan”, ”memporak-perandakan”, ”mempelawa”, ”mempelopori”, ”mempengaruhi” dan ”memproses”) dan menge+ (”mengepos”), walaupun kesemua kata dasarnya bermula dengan huruf ”p”. Keadaan ini boleh mengelirukan sekiranya seseorang pengguna bahasa kurang arif mengenai faktor-faktor lain, selain huruf pertama kata dasar, yang turut mempengaruhi bentuk awalan meN+.

Selain huruf awal kata dasar, bentuk awalan meN+ juga dipengaruhi oleh bilangan suku kata kata dasar. Bagi kata dasar yang bermula dengan huruf ”p” dan mempunyai dua suku kata, bentuk awalan meN+ yang gramatis ialah me+ dengan huruf pertama pada kata dasar tersebut bertukar menjadi ”m”. Contoh dalam data (1a-l) ialah ”memahat” (daripada kata dasar ”pahat”) dan ”memantau” (daripada kata dasar ”pantau”). Oleh sebab itu, bentuk awalan meN+ yang gramatis bagi KK yang diterbitkan daripada kata adjektif (KA) ”pasti” ialah me+ (”memastikan”), bukan mem+ (”mempastikan”).

Bagi kata dasar yang mempunyai tiga atau lebih suku kata pula, sebahagiannya menerima kehadiran awalan me+ sementara sebahagian yang lain menerima kehadiran awalan mem+. Dalam hal ini, terdapat dua panduan yang boleh digunakan. Yang pertama, jika suku kata pertama kata dasar ialah imbuhan per+, bentuk awalan meN+ yang gramatis ialah mem+ dengan huruf ”p” pada kata dasar tersebut dikekalkan. Contohnya ialah ”memperbesar” (daripada kata dasar ”perbesar”), ”memperluas” (daripada kata dasar ”perluas”) dan ”memperelok” (daripada kata dasar ”perelok”).

Yang kedua, jika kata dasar tersebut ialah KA, bentuk meN+ yang gramatis ialah mem+ dengan huruf ”p” pada kata dasar tersebut dikekalkan. Data (2a-f) yang dikutip daripada Kamus Milenium (2000:522-531) dapat membukti kenyataan ini.

(2) a. Mempedulikan
b. Mempercayai
c. Mempelbagaikan
d. Mempesonakan
e. Memperlahankan
f. Memperkasakan
g. Memeranjatkan

Daripada (2f), dapat disimpulkan bahawa bentuk yang betul bagi pengimbuhan meN+ pada kata dasar ”perkasa” ialah mem+ dengan huruf ”p” dikekalkan. Oleh itu, bentuk KK transtitif aktif yang gramatis ialah ”memperkasakan”, bukannya ”memerkasakan”. ”Memeranjatkan” (2g) pula ialah kekecualian kerana kata dasarnya, iaitu ”peranjat”, adalah berbeza daripada kata dasar yang lain (2a-f). Hal ini kerana kata dasar ”peranjat” tergolong dalam kata akar, iaitu perkataan yang mesti digunakan bersama kehadiran imbuhan. Dengan kata lain, kata ”peranjat” tidak boleh berdiri sendiri dalam pembentukan ayat.

Bagi kata dasar yang terdiri daripada KK dan KN, sebahagiannya menerima kehadiran awalan meN+ dalam bentuk me+ sementara sebahagian yang lain dalam bentuk mem+. Data (3a-g) dan (4a-i) yang dikutip daripada kamus yang sama membukti kenyataan ini. Data (3a-g) diterbitkan daripada KK sebagai kata dasar sementara data (4a-i) diterbitkan daripada KN sebagai kata dasar.

(3) a. Memelihara
b. Memeriksa
c. Memulihara
d. Mempelawa
e. Memperkosa
f. Memperonyokkan
g. Memperosokkan

(4) a. Memenjarakan
b. Memerangkap
c. Memerihalkan
d. Memeringkatkan
e. Memerintah
f. Memusakai
g. Mempelopori
h. Mempengaruhi
i. Mempelajari

Dalam hal ini, tiada panduan atau rumus tertentu yang boleh digunakan. Oleh itu, kemahiran berbahasa amat dituntut untuk menentukan bentuk awalan meN+ yang gramatis.

Panduan seterusnya ialah bagi kata dasar yang mengandungi satu suku kata, bentuk meN+ yang gramatis ialah menge+ dengan huruf ”p” pada kata dasar dikekalkan. Data (5a-c) yang berikut membukti kenyataan ini.

(5) a. Mengepam
b. Mengepin
c. Mengepos

Panduan terakhir ialah bagi kata dasar yang merupakan kata ambilan, khususnya daripada bahasa Inggeris (BI), bentuk meN+ yang gramatis ialah mem+ dengan huruf ”p” pada kata dasar dikekalkan. Data (6a-h) yang berikut membukti kenyataan ini.

(6) a. Mempraktikkan
b. Memproses
c. Memprotes
d. Memplagiat
e. Mempopularkan
f. Mempolitikkan
g. Mempolemikkan
h. Mempotretkan
i. Mempamerkan

Semua kata dasar dalam (6a-i) ialah kata ambilan daripada bahasa asing. Kata dasar dalam (6a-h) diambil daripada BI iaitu practice, process, protest, plagiarise, popular, politic, polemic dan potret. Kata dasar dalam (6i) pula diambil daripada bahasa Jawa iaitu ”pamer”.

Oleh hal yang demikian, berhati-hatilah apabila menggunakan imbuhan, khususnya imbuhan meN+ yang pelbagai bentuknya itu. Panduan yang diberikan berguna untuk membimbing kita mengaplikasikan imbuhan tersebut dengan cara yang gramatis. Namun begitu, dalam keadaan tidak terdapatnya panduan tidak boleh digunakan, kemahiran berbahasa amat dituntut. Cara terbaik untuk memperoleh kemahiran berbahasa adalah dengan kerap menggunakan bahasa berkenaan, baik melalui pertuturan, pendengaran, pembacaan mahupun penulisan. Kerapkanlah dan berbanggalah menggunakan bahasa Malaysia, khususnya yang baku dan yang jitu.

Yang pada Pangkal Ayat

Salah satu soalan yang kerap ditanyakan oleh pelajar ialah bolehkan ayat dimulai dengan kata yang, atau dengan kata lain, bolehkah yang hadir pada pangkal ayat. Jawapan bagi pertanyaan ini ialah ‘boleh’ dan ‘tidak’. Dengan kata lain, dalam keadaan tertentu yang boleh hadir pada pangkal ayat tetapi dalam keadaan yang lain pula yang tidak boleh hadir pada pangkal ayat.

Bagi memahami hal ini, mula-mula perhatikan baris-baris pantun nasihat berikut:

1. Yang kurik kundi
2. Yang merah saga
3. Yang baik budi
4. Yang indah bahasa

Yang yang hadir pada pangkal setiap baris ayat pada pantun ini berfungsi sebagai penyendi atau penghubung iaitu kata yang menghubungkan penerang dengan benda yang diterangkan. Dalam konteks baris-baris pantun ini, benda yang diterangkan iaitu subjek ayat, telah digugurkan.

Penerang bagi subjek ayat 1 ialah ‘yang kurik’ (penerang warna); ayat 2 ‘yang merah’ (warna); ayat 3 ‘yang baik’ (sifat), dan ayat 4 ‘yang indah’ (sifat). Walaupun subjek digugurkan daripada ayat-ayat ini, ia dapat diketahui dengan pasti berdasarkan predikat ayat masing-masing iaitu ‘kundi’ (ayat 1), ‘saga’ (2), ‘budi’ (3) dan ‘bahasa’ (4).

Kundi ialah sejenis buah. Begitu juga saga. Budi dan bahasa pula ialah sifat dalaman yang membentukkan sikap seseorang yang pada hari ini kita kenali sebagai nilai. Jadi baris-baris pantun ini dapat ditulis begini:

1a. Buah yang kurik kundi
2a. Buah yang merah saga
3a. Nilai yang baik budi
4a. Nilai yang indah bahasa

Oleh sebab subjek bagi setiap baris pantun ini dapat diketahui dengan pasti, maka ia dapat digugurkan tanpa menjejaskan pemahaman terhadap ayat-ayat tersebut. Oleh sebab itu ayat-ayat ini adalah gramatis.

Seterusnya perhatikan pula ungkapan yang menggambarkan kesepaduan masyarakat ini.

5. Yang patah datang bertongkat
6. Yang buta datang berpimpin

Seperti baris-baris pantun di atas, baris-baris ungkapan ini juga bermula dengan yang. Perbezaannya ialah predikat bagi baris-baris pantun tersebut terdiri daripada frasa nama (‘kundi’, ‘saga’, ‘budi’ dan ‘bahasa’), sementara predikat bagi ayat-ayat ini pula terdiri daripada frasa kerja (‘datang bertongkat’ dan ‘datang berpimpin’).

Walau bagaimanapun seperti baris-baris pantun tersebut, subjek bagi baris-baris ungkapan ini juga dapat diketahui dengan pasti berdasarkan predikat masing-masing. Yang dapat ‘datang bertongkat’ (ayat 5) hanyalah ‘orang’. Begitu juga yang dapat ‘datang berpimpin’ (ayat 6) hanyalah ‘orang’. Jadi ayat-ayat ini dapat ditulis begini:

5a. Orang yang patah (kaki) datang bertongkat
6a. Orang yang buta datang berpimpin

Walaupun subjek ayat ini (orang) digugurkan, ayat-ayat ini tetap gramatis kerana subjek-subjeknya memang diketahui dan maknanya dapat difahami dengan jelas..

Seterusnya perhatikan baris-baris ungkapan berikut yang juga bermula dengan yang.

7. Yang dikejar tak dapat
8. Yang dikendong keciciran

Tidak seperti baris-baris pantun dan ungkapan terdahulu, subjek bagi ungkapan ini tidak dapat diketahui dengan pasti. Sebenarnya subjek ayat-ayat (7 dan 8) ini sengaja tidak dinyatakan kerana sifatnya yang umum, iaitu apa sahaja yang mungkin ‘tak dapat’ walaupun ‘dikejar’ dan apa sahaja yang mungkin ‘keciciran’ walaupun ‘dikendong’. Dengan kata lain gatra subjek ayat-ayat ini dapat diisi dengan apa sahaja perkataan yang sesuai seperti ‘harta’, ‘wang’ malah mungkin ‘kekasih’ atau ‘anak’. Oleh sebab sifatnya yang umum, ayat-ayat ini dianggap gramatis.

Seterusnya perhatikan pula ayat-ayat berikut yang juga bermula dengan kata yang.

9. Yang di atas bukit itu rumah.
10. *Yang di atas bukit itu berhantu.
11. *Yang di atas bukit itu besar.

Struktur ayat 9 adalah sama dengan struktur baris-baris pantun nasihat di atas. Seperti baris-baris pantun tersebut, subjek ayat ini dapat diketahui dengan pasti berdasarkan predikatnya iaitu rumah. Rumah semestinya bangunan. Oleh sebab itu subjek ayat ini ialah bangunan.

9a. Bangunan yang di atas bukit itu rumah.

Struktur ayat 10 dan 11 pula adalah sama dengan struktur ayat 7 dan 8. Seperti ayat 7 dan 8, subjek ayat-ayat (10 dan 11) ini juga tidak dapat diketahui dengan pasti. Walau bagaimanapun tidak seperti ayat 7 dan 8 yang bersifat umum, ayat-ayat (10 dan 11) ini pula bersifat khusus. Dengan kata lain, pendengar mahu mengetahui secara pasti benda / perkara yang ‘berhantu’ (ayat 10) itu. Adakah ia rumah, pokok, busut atau apa-apa saja yang ada di atas bukit itu? Begitu juga dengan ayat 11. Pendengar mahu mengetahui secara pasti benda / perkara yang ‘besar’ itu. Adakah ia rumah, pokok, busut atau apa-apa sahaja yang ada di atas bukit itu?

Oleh sebab maskud ayat-ayat ini tidak jelas kerana subjeknya yang sebenar tidak diketahui dengan pasti, maka ia dianggap tidak gramatis. Untuk menjadikan maksud ayat ini jelas dan difahami, sekaligus menjadikannya gramatis, maka subjeknya (misalnya rumah) perlu dihadirkan..

10a. Rumah yang di atas bukit itu berhantu.
11a. Rumah yang di atas bukit itu besar.

Ringkasnya yang boleh hadir pada pangkal ayat sekiranya subjek yang digugurkan dapat diketahui dengan pasti berdasarkan maklumat yang ada pada predikat ayat. Yang juga boleh hadir pada pangkal ayat sekiranya ayat atau kenyataan tersebut bersifat umum. Sekiranya subjek tidak dapat diketahui dengan pasti dan ayat berkenaan bersifat khusus, maka ia (ayat) tidak boleh dimulai dengan yang.

Satu panduan “mudah” dan “selamat” yang dapat digunakan bagi mengelakkan kesilapan tatabahasa ialah jangan mulakan ayat dengan yang. Walau bagaimanapun timbul persoalan iaitu, mengapakah dalam pantun dan ungkapan yang telah disebutkan, bentuk yang dipilih ialah menghadirkan yang pada pangkal ayat?

Jawapan bagi persoalan ini terletak pada sifat bahasa Melayu. Bahasa Melayu termasuk dalam jenis bahasa padat. Salah satu ciri bahasa padat ialah ia tidak membenarkan (atau setidak-tidaknya tidak menggalakkan) pembaziran dari segi penggunaan perkataan (lewah). Kehadiran subjek dalam baris-baris pantun dan ungkapan tradisional ini dianggap satu bentuk pembaziran kerana ia (subjek) dapat diketahui dengan pasti, baik secara khusus atau secara umum. Oleh sebab itu kehadirannya (subjek) amat tidak digalakkan walaupun dari segi tatabahasa baku bahasa Melayu, ia tidak menjadi kesalahan.

Demikianlah indah dan halusnya bahasa Melayu. Keindahan dan kehalusan yang dapat difahami dan dirasai hanya dengan mencintai bahasa itu.

Isnin, 5 Mei 2008

Frasa Sendi pada Pangkal Ayat

Mohd Rashid Darham


Agak aneh juga kerana masih ada pengguna bahasa yang bertanyakan soalan sama ada ayat boleh dimulai dengan frasa sendi (FS). Anehnya adalah kerana kehadiran FS pada permulaan atau pangkal ayat sebenarnya ialah fenomena biasa. Oleh itu soalan seperti ini tidak sepatutnya diajukan. Keanehan (dan juga kebimbangan) ini lebih terasa lagi kerana yang bertanya ialah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), yang sepatutnya sudah “matang” dalam selok-belok bahasa Melayu (BM), termasuk dalam soal tatabahasanya.

Adanya soalan seperti ini menunjukkan bahawa masih terdapat keraguan dan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa, termasuk pelajar IPT, dalam hal-hal ketatabahasaan yang agak asas. Kemungkinannya ialah keraguan dan kekeliruan ini berpunca pada dua sebab yang saling berkaitan. Pertama, kefahaman yang salah bahawa ayat mesti dimulai dengan frasa nama (FN) subjek. Kedua, kefahaman yang cetek bahawa subjek ayat mesti terdiri daripada FN.

Kefahaman pertama salah kerana ayat tidak semestinya dimulai dengan FN subjek. Memang benar bahawa ayat dasar BM mesti dimulai dengan kategori frasa tersebut. Dengan kata lain konstituen subjek ayat dasar mesti diisi oleh FN. Dalam keadaan ini kategori frasa lain, termasuk FS, tidak boleh hadir pada pangkal ayat. Walau bagaimanapun dari segi penggunaan sebenar, ayat transformasi (ayat yang diterbitkan daripada ayat dasar) lebih kerap digunakan. Hal ini kerana jumlah dan kepelbagaian ayat transformasi jauh lebih besar dan rencam berbanding ayat dasar.

Proses transformasi ayat dasar inilah yang melahirkan ayat-ayat yang bermula dengan kategori frasa lain, termasuk FS. Proses transformasi yang dapat menjana ayat-ayat sebegini ialah penyongsangan, iaitu pendepanan konstituen predikat atau sebahagian daripada unsurnya ke pangkal ayat.

Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (TDEB) ada menjelaskan proses pendepanan atau penjudulan predikat untuk membentukkan ayat songsang ini. Dalam ayat berpredikat FS, seluruh FS (berhuruf condong) berkenaan dapat dipindahkan ke pangkal ayat. Antara contoh yang diberikan oleh TDEB adalah seperti (1-3) yang berikut:

(1) a. Barang-barang itu untuk ibu.
b. Untuk ibu barang-barang itu.

(2) a. Surat itu daripada Ali.
b. Daripada Ali surat itu.

(3) a. Arahan itu kepada pekerjanya.
b. Kepada pekerjanya arahan itu.

Dalam ayat yang predikatnya mempunyai keterangan yang bermula dengan FS pula, FS (berhuruf condong) ini boleh dibawa ke pangkal ayat. Dalam hal ini, antara contoh yang diberikan oleh TDEB adalah seperti (4-6) yang berikut:

(4) a. Kaum Muslimin wajib bertawakal kepada Allah.
b. Kepada Allah kaum Muslimin wajib bertawakal.

(5) a. Encik Ali akan menghadiri kursus itu pada hujung minggu ini.
b. Pada hujung minggu ini Encik Ali akan menghadiri kursus itu.

(6) a. Pejuang-pejuang itu merempuh ke dalam kota.
b. Ke dalam kota pejuang-pejuang itu merempuh.

Begitu juga ayat yang predikatnya terdiri daripada frasa kerja (FK) tak transitif berpelengkap yang pelengkapnya terdiri daripada FS, seluruh FS (berhuruf condong) ini boleh dibawa ke pangkal ayat. Contohnya adalah seperti (7-9) yang berikut:

(7) a. Siti pergi ke sekolah.
b. Ke sekolah Siti pergi.

(8) a. Bapa berada di pejabat.
b. Di pejabat bapa berada.

(9) a. Saya berasal dari kampung.
b. Dari kampung saya berasal.

Kegramatisan (1b-3b), (4b-6b) dan (7b-9b) membukti bahawa ayat boleh dimulai dengan FS, dan hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa sehingga dapat menimbulkan keraguan dan kekeliruan pula.

Kefahaman kedua pula cetek kerana ia melihat FN pada strukturnya sahaja, tidak pada fungsinya. Sebenarnya kategori frasa lain, termasuk FK dan FS sendiri, dapat berfungsi sebagai FN. Sebagai FN, frasa-frasa ini dapat mengisi konstituen subjek ayat. Contoh (10-12) yang berikut, yang dikutip daripada TDEB, menunjukkan bahawa FK (berhuruf condong) dapat berfungsi sebagai FN dan mengisi konsituen subjek pada pangkal ayat.

(10) Melukis menjadi kegemarannya.
(11) Bersenam menyihatkan badan.
(12) Membaca buku membuka cakerawala.

“Melukis”, “bersenam” dan “membaca buku” bukan FK, sebaliknya ialah sebahagian FN yang inti atau kepalanya, iaitu “aktiviti”, “kegiatan” dan “budaya” telah digugurkan. Sebagai sebahagian anggota FN, “melukis”, “bersenam” dan “membaca buku” dapat mengambilalih fungsi FN sebagai subjek ayat.

(10) a. Aktiviti melukis menjadi kegemarannya.
(11) a. Kegiatan bersenam menyihatkan badan.
(12) a. Budaya membaca buku membuka cakerawala.

Dengan cara yang sama, FS dapat berfungsi sebagai FN dan seterusnya mengisi konstituen subjek pada pangkal ayat. Untuk penjelasan, perhatikan ayat (13-15) yang berikut:

(13) Untuk membantu rakyat termiskin ialah tanggungjawab kerajaan.
(14) Untuk mewujudkan budaya membaca dalam kalangan rakyat ialah matlamat kempen
itu.
(15) Untuk memahami pendiriannya adalah susah.

Sebenarnya frasa-frasa berhuruf condong dalam (13-15), iaitu “untuk membantu rakyat termiskin”, “untuk mewujudkan budaya membaca” dan “untuk memahami pendiriannya” ialah sebahagian anggota FN yang intinya iaitu “tanggungjawab”, “matlamat” dan “usaha” telah digugurkan.

(13) a. *Tanggungjawab untuk membantu rakyat termiskin ialah tanggungjawab
kerajaan.
(14) a. *Matlamat untuk mewujudkan budaya membaca dalam kalangan rakyat ialah
matlamat kempen itu.
(15) a. Usaha untuk memahami pendiriannya adalah susah.

Perhatikan bahawa ayat (13a) dan (14a) tidak gramatis bukan kerana kejanggalan FN “tanggungjawab untuk membantu rakyat termiskin” dan “matlamat untuk mewujudkan budaya membaca”, sebaliknya adalah kerana wujudnya kelewahan dalam pengulangan perkataan “tanggungjawab” dan “matlamat”. Dalam hal ini perlu juga dijelaskan bahawa oleh sebab perkataan “tanggungjawab” yang digugurkan itu adalah daripada frasa “tanggungjawab untuk membantu rakyat termiskin”, frasa inilah sebenarnya predikat ayat (13). Dengan kata lain ayat ini sebenarnya ialah ayat songsang yang ayat asalnya ialah (13b). Begitu jugalah halnya dengan ayat (14) yang merupakan songsangan ayat (14b).

(13) b. Tanggungjawab kerajaan ialah untuk membantu rakyat termiskin
(14) b. Matlamat kempen itu ialah untuk mewujudkan budaya membaca dalam kalangan
rakyat.

Walau bagaimanapun ada pihak berpendapat bahawa ayat (13-15), (15a) dan (13b-14b) tidak gramatis kerana KS “untuk” tidak perlu hadir dalam struktur berkenaan. Pihak ini berpendapat ayat yang gramatis sepatutnya ialah (13c, 14c dan 15b) yang berikut:

(13) c. Membantu rakyat termiskin ialah tanggungjawab kerajaan.
(14) c. Mewujudkan budaya membaca dalam kalangan rakyat ialah tujuan kempen itu.
(15) b. Memahami pendiriannya adalah susah.

Alasannya ialah frasa “membantu rakyat termiskin” asalnya ialah “tanggungjawab membantu rakyat termiskin”, frasa “mewujudkan budaya membaca” pula asalnya ialah “matlamat mewujudkan budaya membaca” sementara frasa “memahami pendiriannya” asalnya ialah “usaha memahami pendiriannya”.

Alasan ini memang ada asasnya tetapi frasa “tanggungjawab membantu rakyat termiskin” boleh juga dibentukkan dengan memasukkan KS “untuk” menjadi “tanggungjawab untuk membantu rakyat termiskin”. Begitu juga frasa “matlamat mewujudkan budaya membaca” dan “usaha memahami pendiriannya”, yang boleh dibentukkan dengan menyisipkan KS “untuk” menjadi “matlamat untuk mewujudkan budaya membaca” dan “usaha untuk memahami pendiriannya”. Hal ini tidak melanggar mana-mana rumus tatabahasa dalam pembentukan FN. Dalam TDEB misalnya, ada dijelaskan bahawa salah satu cara pembentukkan FN adalah dengan menderetkan FS sebagai sebahagian anggota FN tersebut. Sebagai contoh, FN (16a-18a) boleh juga dibentukkan menjadi (16b-18b).

(16) a. Baju ibu.
b. Baju untuk ibu.
(17) a. Sumbangan hartawan itu.
b. Sumbangan daripada hartawan itu.
(18) a. Radio kereta.
b. Radio pada kereta.

Dengan penjelasan ini, kedua-dua bentuk iaitu (13-15) dan (13c, 14c dan 15b) harus diterima sebagai gramatis. Penerimaan dalam hal-hal seperti ini perlu supaya tatabahasa BM, khususnya tatabahasa baku, tidak dianggap terlalu ketat sehingga meningkatkan kemungkinan pengguna melakukan kesalahan.

Walau bagaimanapun perlu juga diingatkan bahawa memang ada kebiasaan ayat dimulai dengan FS yang menyebabkan ayat berkenaan tidak gramatis. Sebagai contoh perhatikan ayat (19) yang berikut:

(19) *Dengan kehadiran tuan-tuan akan menyerikan lagi majlis ini.

Frasa “dengan kehadiran tuan-tuan” tidak dapat berfungsi sebagai FN kerana ia bukan sebahagian FN yang intinya digugurkan. Begitu juga ia bukan ayat songsang kerana ayat asalnya tidak ada. Untuk mengubah FS “dengan kehadiran tuan-tuan” menjadi FN, kata sendi “dengan” perlu digugurkan. Oleh itu ayat (19) seharusnya ditulis sebagai (19a).

(19) a. Kehadiran tuan-tuan akan menyerikan lagi majlis ini.

“Kehadiran tuan-tuan” ialah FN. Oleh itu ia boleh mengisi konstituen subjek pada pangkal ayat. Sekiranya FS “dengan kehadiran tuan-tuan” hendak digunakan, struktur yang gramatis ialah (19b) yang berikut:

(19) b. Dengan kehadiran tuan-tuan majlis ini akan berseri lagi.

(19b) ialah ayat songsang, iaitu seluruh FS keterangan “dengan kehadiran tuan-tuan” dibawa ke pangkal ayat. Ayat asalnya ialah (19c).

(19) c. Majlis ini akan berseri lagi dengan kehadiran tuan-tuan.

Demikianlah tertib dan halusnya BM. Ketertiban dan kehalusan yang hanya dapat dimengerti dan dihayati dengan mencintai bahasa itu.