Isnin, 28 April 2008

Pengenalan

Assalamu alaikum dan selamat sejahtera.

Dari segi jumlah penutur, bahasa Melayu ialah bahasa kelima terbesar di dunia. Di Malaysia (di Indoneis juga), bahasa itu telah terbukti mampu berfungsi dengan berkesan sebagai bahasa komunikasi dan perpaduan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Di sebalik hakikat yang amat memberangsangkan ini, terdapat kecenderungan yang amat kuat yang nampaknya berpotensi melemahkan dan meremehkan kedudukan dan fungsi bahasa Melayu. Kecenderungan yang dimaksudkan ialah gesaan dan dorongan (termasuk yang secara terancang) untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Nampaknya, kecenderungan yang keterlaluan untuk menguasai bahasa Inggeris telah tidak dapat diimbangi dengan keperluan untuk terus menguasai bahasa Melayu. Sebagai akibatnya, penguasaan bahasa Melayu, termasuk dalam kalangan penggunanya yang penting (misalnya, pelajar institusi pengajian tinggi dan pengamal media), semakin merosot.

Terdorong oleh kesedaran dan kebimbangan akan perkembangan ini, pengendali mewujudkan blog ini. Matlamat blog ini adalah untuk menjadi sumber rujukan paling berwibawa dan wadah diskusi pengguna dan pencinta bahasa Melayu. Matlamat ini boleh direaliasasikan berdasarkan pengalaman pengendali yang pernah bertugas sebagai wartawan akhbar berbahasa Melayu selama tujuh tahun dan kini menjadi guru bahasa Melayu (masuk tahun kelapan) di sebuah institusi pengajian tinggi awam. Pengalaman mengajarkan subjek bahasa Melayu peringkat tertinggi di IPTA (untuk pensyarah) hingga peringkat paling asas (untuk pelajar ijazah tinggi luar negara), memberikan input paling berharga untuk pengendalian blog ini.

Blog ini akan memuatkan rencana dan catatan berkaitan tatabahasa dan isu-isu bahasa Melayu. Aspek tatabahasa yang akan disentuh adalah daripada yang paling mudah dan asas (ditujukan kepada warga/pelajar asing (menggunakan perantaraan bahasa Inggeris)) hingga yang paling rumit dan tinggi. Buat permulaan, jenguklah rencana bertajuk '"Memerkasakan" atau "Memperkasakan"?' (Mei 2008) yang menjelaskan salah satu aspek tatabahasa, iaitu ejaan.

Sekian. Terima kasih.

Jumaat, 25 April 2008

Mengapa Bahasa Melayu?

Assalamualaikum & salam sejahtera.

Mengapa bahasa Melayu? Senario yang wujud hari ini ialah orang, terutama orang Melayu sendiri, semakin meminggirkan (dan melupakan?) bahasa Melayu. Sebaliknya, orang (sekali lagi orang Melayu) lebih menyanjung dan menjunjung bahasa Inggeris. Jadi, apakah rasionalnya blog ini.

Alhamdulillah. Kemunculan begitu banyak blog berbahasa Melayu memancarkan sedikit sinar harapan untuk masa depan bahasa itu. Tidak dapat dinafikan bahawa blog merupakan wadah masa kini yang dinamik dan telah terbukti mempunyai pengaruh yang kuat. Oleh itu, penulis terdorong untuk turut sama mengeksploitasi saluran maklumat ini dengan matlamat memberikan serba sedikit sumbangan ke arah mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu, atau sekurang-kurangnya menempatkan semula bahasa itu ke kedudukannya yang hak.

Pada asasnya blog ini diwujudkan untuk menjadi saluran rujukan bagi pengguna-pengguna bahasa Melayu. Blog ini akan memuatkan rencana-rencana yang menjelaskan kekeliruan berhubung tatabahasa bahasa Melayu, daripada yang paling asas (misalnya, "BUMI" dieja "bumi" atau "Bumi") hingga yang paling rumit (misalnya, perbezaan penggunaan perkataan "memberi" dan "memberikan"). Penjelasan ini akan dibuat daripada cara yang paling mudah (misalnya, melalui penerangan ringkas dan soal jawab) sehingga cara paling rumit (analisis mendalam).


Buat permulaan, blog ini memuatkan sebuah rencana mengenai bahasa Melayu baku yang telah tersiar dalam majalah Dewan Bahasa terbitan April 2005. Nanti dulu (jangan buat apa-apa tanggapan sebelum anda membaca rencana ini). Baca rencana ini sehingga habis, dan selepas itu saya percaya anda akan mengubah tanggapan terhadap bahasa Melayu baku - bahasa Melayu baku memudahkan, bukan menyusahkan. Saya sendiri telah mengalaminya (mengubah tanggapan). Bagaimanapun, ia akan mengambil sedikit masa dan kesabaran.


Akhirnya, blog ini amat mengalu-alukan pandangan, ulasan dan soalan daripada anda semua.


Bisa ular pada taringnya

Bisa lebah pada sengatnya

Bisa manusia pada MULUTnya



Terima kasih.