Rabu, 16 Julai 2008

Kesalahan Imbuhan

2.1 Pengenalan

Penggunaan imbuhan ialah salah satu aspek yang dapat mengelirukan pengguna BM. Penggunaan imbuhan yang paling banyak mengelirukan ialah akhiran +kan dan +i serta +per dalam pembentukan kata kerja transitif. Begitu juga penggunaan bentuk imbuhan peN, khususnya perbezaan antara pe+ dengan per+, dalam pembentukan kata nama. Selain itu, terdapat juga kekeliruan ejaan bagi sesetengah perkataan yang mengandungi sama ada 1g atau 2g dan 1k atau 2k.


2.2 Pelaksanaan atau Perlaksanaan?

Salah satu kekeliruan yang sering dihadapi oleh pengguna BM adalah berhubung dengan penggunaan bentuk imbuhan peN+ dalam penjanaan kata nama. Kekeliruan ini menyebabkan kesalahan ejaan perkataan berkenaan. Misalnya, “pelaksanaan” dieja sebagai “perlaksanaan”, “pemohonan” dieja sebagai “permohonan” dan “peletakan” dieja sebagai “perletakan”.

Sebenarnyanya, kekeliruan ini boleh diatasi dengan mudah sekiranya pengguna mengetahui panduan dan rumus penjanaan kata nama dengan menggunakan imbuhan ini. Panduannya adalah dengan melihat bentuk imbuhan awalan pada kata kerja yang daripadanya kata nama itu diterbitkan (Jadual 1).

(1) Bentuk imbuhan peN+ pada kata nama

Bentuk imbuhan pada kata kerja / Bentuk imbuhan pada kata nama

Melaksanakan projek / Pelaksanaan projek
Membasmi kemiskinan / Pembasmian kemsikinan
Mentadbir negara / Pentadbiran negara
Menggalakkan pelaburan / Penggalakan pelaburan
Mengebumikan jenazah / Pengebumian jenazah
Berkembang pesat / Perkembangan pesat


2.3 Penggunaan Imbuhan meN+ dalam Pembentukan Kata Kerja

Dua masalah berkaitan penggunaan bentuk imbuhan meN+ akan dibincangkan dalam bahagian ini. Masalah pertama terlihat dalam penerbitan kata kerja “memperkasakan“ (*memerkasakan). Masalah kedua pula terlihat dalam pembentukan kata kerja “mengetengahkan“ (*mengenengahkan) dan “mengetepikan“ (*mengenepikan).

2.3.1 Memerkasakan atau Memperkasakan?

Salah satu imbuhan yang boleh mengelirukan pengguna bahasa ialah awalan meN+ yang berfungsi untuk menerbitkan kata kerja. Hal ini kerana imbuhan ini mempunyai bentuk yang paling pelbagai, iaitu me+, mem+, men+, meng+ dan menge+. Perubahan bentuk awalan meN+ ini lazimnya bergantung pada huruf pertama kata dasar yang menerima kehadiran imbuhan tersebut. Misalnya, awalan me+ hadir pada kata dasar yang bermula dengan huruf ”l” (misalnya ”lihat” menjadi ”melihat”), ”m” (”masuk” – ”memasuki”, ”memasukkan”), ”n” (”nanti” – ”menanti”), ”r” (”rawat” – ”merawat”), dan ”w” (”wakil” – ”mewakili”, ”mewakilkan”).

Walau bagaimanapun, perubahan bentuk awalan meN+ tidak hanya ditentukan oleh huruf pertama kata dasar yang menerima imbuhan tersebut. Kata dasar yang bermula dengan huruf ”p” ialah contoh ketara untuk menunjukkan bahawa huruf pertama kata dasar bukan faktor tunggal yang menentukan bentuk awalan meN+. Hal ini dapat diperhatikan daripada senarai perkataan (2a-l) yang berikut:

(2) a. Memahat
b. Memantau
c. Memeranjatkan
d. Mempesonakan
e. Memelihara
f. Memporak-perandakan
g. Mempelawa
h. Memenjarakan
i. Mempelopori
j. Mempengaruhi
k. Memproses
l. Mengepos

Daripada senarai perkataan (2a-l), dapat dilihat penggunaan tiga bentuk awalan meN+, iaitu me+ (”memahat”, ”memantau”, ”memeranjatkan”, ”memelihara” dan ”memenjarakan”), mem+ (”mempesonakan”, ”memporak-perandakan”, ”mempelawa”, ”mempelopori”, ”mempengaruhi” dan ”memproses”) dan menge+ (”mengepos”), walaupun kesemua kata dasarnya bermula dengan huruf ”p”. Keadaan ini boleh mengelirukan sekiranya seseorang pengguna bahasa kurang arif mengenai faktor-faktor lain, selain huruf pertama kata dasar, yang turut mempengaruhi bentuk awalan meN+.

Selain huruf pertama kata dasar, bentuk awalan meN+ juga dipengaruhi oleh bilangan suku kata kata dasar. Bagi kata dasar yang bermula dengan huruf ”p” dan mempunyai dua suku kata, bentuk awalan meN+ yang gramatis ialah me+ dengan huruf pertama pada kata dasar tersebut bertukar menjadi ”m”. Contoh yang terdapat dalam senarai perkataan (2a-l) ialah ”memahat” (daripada kata dasar ”pahat”) dan ”memantau” (daripada kata dasar ”pantau”). Oleh sebab itu, bentuk awalan meN+ yang gramatis bagi kata kerja yang diterbitkan daripada kata adjektif ”pasti” ialah me+ (”memastikan”), bukan mem+ (”mempastikan”).

Bagi kata dasar yang mempunyai tiga atau lebih suku kata pula, sebahagiannya menerima kehadiran awalan me+ sementara sebahagian yang lain menerima kehadiran awalan mem+. Dalam hal ini, terdapat dua panduan yang boleh digunakan. Yang pertama, jika suku kata pertama kata dasar ialah imbuhan per+, bentuk awalan meN+ yang gramatis ialah mem+ dengan huruf ”p” pada kata dasar tersebut dikekalkan. Contohnya ialah ”memperbesar” (daripada kata dasar ”perbesar”), ”memperluas” (daripada kata dasar ”perluas”) dan ”memperelok” (daripada kata dasar ”perelok”).

Yang kedua, jika kata dasar tersebut ialah kata adjektif, bentuk meN+ yang gramatis ialah mem+ dengan huruf ”p” pada kata dasar tersebut dikekalkan. Senarai perkataan (3a-f) yang dikutip daripada Kamus Milenium (2000:522-531) dapat membukti kenyataan ini.

(3) a. Mempedulikan
b. Mempercayai
c. Mempelbagaikan
d. Mempesonakan
e. Memperlahankan
f. Memperkasakan
g. Memeranjatkan

Daripada senarai perkataan (3f), dapat disimpulkan bahawa bentuk yang gramatis bagi pengimbuhan meN+ pada kata dasar ”perkasa” ialah mem+ dengan huruf ”p” dikekalkan. Oleh itu, bentuk kata kerja transtitif aktif yang gramatis ialah ”memperkasakan”, bukannya ”memerkasakan”. Perlu juga dijelaskan bahawa suku kata ”per” dalam perkataan ”perkasa” bukan imbuhan dan ”perkasa” ialah kata adjektif. Oleh itu, kehadiran imbuhan akhiran +kan dalam penjanaan kata kerja transitif ”memperkasakan” adalah diperlukan. Dengan kata lain, ”memperkasa” (tanpa akhiran +kan) adalah bentuk yang tidak gramatis.

Perkataan ”memeranjatkan” (3g) pula ialah kekecualian kerana kata dasarnya, iaitu ”peranjat”, adalah berbeza daripada kata dasar yang lain (3a-f). Hal ini kerana kata dasar ”peranjat” tergolong dalam kata akar, iaitu perkataan yang mesti digunakan bersama kehadiran imbuhan. Dengan kata lain, perkataan ”peranjat” tidak boleh berdiri sendiri.

Bagi kata dasar yang terdiri daripada KK dan kata nama, sebahagiannya menerima kehadiran awalan meN+ dalam bentuk me+ sementara sebahagian yang lain dalam bentuk mem+. Senarai perkataan (4a-g) dan (5a-i) yang dikutip daripada kamus yang sama membukti kenyataan ini. Senarai perkataan (4a-g) diterbitkan daripada kata kerja sebagai kata dasar sementara senarai perkataan (5a-i) diterbitkan daripada kata nama sebagai kata dasar.

(4) a. Memelihara
b. Memeriksa
c. Memulihara
d. Mempelawa
e. Memperkosa
f. Memperonyokkan
g. Memperosokkan

(5) a. Memenjarakan
b. Memerangkap
c. Memerihalkan
d. Memeringkatkan
e. Memerintah
f. Memusakai
g. Mempelopori
h. Mempengaruhi
i. Mempelajari

Dalam hal ini, tiada panduan atau rumus tertentu yang boleh digunakan. Oleh itu, kemahiran berbahasa amat dituntut untuk menentukan bentuk awalan meN+ yang gramatis.

Panduan seterusnya ialah bagi kata dasar yang mengandungi satu suku kata, bentuk meN+ yang gramatis ialah menge+ dengan huruf ”p” pada kata dasar dikekalkan. Senarai perkataan (6a-c) yang berikut membukti kenyataan ini.

(6) a. Mengepam
b. Mengepin
c. Mengepos

Panduan terakhir ialah bagi kata dasar yang merupakan kata ambilan, khususnya daripada bahasa Inggeris (BI), bentuk meN+ yang gramatis ialah mem+ dengan huruf ”p” pada kata dasar dikekalkan. Senarai perkataan (7-h) yang berikut membukti kenyataan ini.

(7) a. Mempraktikkan
b. Memproses
c. Memprotes
d. Memplagiat
e. Mempopularkan
f. Mempolitikkan
g. Mempolemikkan
h. Mempotretkan
i. Mempamerkan

Semua kata dasar dalam (7a-i) ialah kata ambilan daripada bahasa asing. Kata dasar dalam (7a-h) diambil daripada BI iaitu practice, process, protest, plagiarise, popular, politic, polemic dan potrait. Kata dasar dalam (7i) pula diambil daripada bahasa Jawa iaitu pamer.


2.3.2 Mesti Mengetengahkan, Jangan Mengenepikan

Ejaan yang gramatis ialah “mengetengahkan“ dan “mengetepikan“, bukan “mengenengahkan“ dan “mengenepikan“. Hal ini kerana kata dasar yang daripadanya dua kata kerja tersebut diterbitkan ialah “ke tengah“ dan “ke tepi“. Huruf yang mengalami perubahan hanyalah huruf pertama, iaitu “k“ menjadi “ng“. Huruf seterusnya, yang ketiga dalam kes ini iaitu “t“ tidak boleh mengalami perubahan menjadi “n“.

Nota: Perkataan yang menerima imbuhan awalan dan akhiran hendaklah dieja secara
bersambung (menjadi satu perkataan) walaupun pada asalnya perkataan tersebut
dieja secara terpisah (dua perkataan).


2.4 Penggunaan Imbuhan +i, +kan/+per dalam Pembentukan Kata Kerja

Penggunaan imbuhan akhiran, iaitu +i, +kan dan juga +per dalam pembentukan kata kerja transitif ialah satu lagi aspek yang sering mengelirukan pengguna BM. Imbuhan-imbuhan ini mempunyai fungsi dan makna tertentu yang mempengaruhi struktur ayat, khususnya jenis objek dan subjek ayat. Oleh itu, pemahaman mengenai fungsi dan makna imbuhan-imbuhan ini adalah penting untuk membolehkan pembentukan perkataan dan ayat yang gramatis.


2.4.1 Jangan Maafkan Saya, Maafilah Saya

“Maaf“ ialah kata nama. Imbuhan +kan pada kata kerja transitif yang diterbitkan daripada kata nama mendukung maksud sama ada “menjadikan“ (8) atau “memasukkan“ (9). Imbuhan +i pula bermaksud sama ada “menjadi“ (10) atau “memberi“ (11).

(8) Rakyat Melaka merajakan Parameswara.
(9) Pak Mat menyekolahkan anak-anaknya.
(10) Parameswara merajai Melaka.
(11) Dia menasihati saya supaya bersabar.

Ayat (8) bermaksud “rakyat Melaku menjadikan Parameswara raja“. Ayat (9) bermaksud “Pak Mat memasukkan anak-anaknya ke sekolah“. Ayat (10) pula bermaksud “ Parameswara menjadikan raja Melaku“. Seterusnya, ayat (11) bermaksud “dia memberi saya nasihat supaya bersabar“.

Oleh itu, kedua-dua maksud “maafkan saya“, iaitu “jadikan saya maaf“ atau “masukkan saya maaf“ adalah tidak menasabah. Sebaliknya, maksud “maafi saya“, iaitu “beri saya maaf“ adalan menasabah. Begitu juga maksud “izini saya“, iaitu “beri saya izin“ adalah menasabah berbanding maksud “izinkan saya“.


2.4.2 Salji Memutihi, Salmi Memutihkan

“Putih“ ialah kata adjektif. Perbezaan imbuhan +kan dengan +i pada kata kerja transitif yang diterbitkan daripada kata adjektif terletak pada jenis subjek ayatnya. Subjek ayat bagi kata kerja transitif berimbuhan +i ialah pemangkin (12) sementara jenis subjek pada kata kerja transitif berimbuhan +kan ialah agen (13).

(12) Salji memutihi puncak Fuji.
(13) Salmi memutihkan kasutnya dengan kapur.

Subjek ayat (12), iaitu “salji“, ialah pemangkin sementara subjek ayat (13), iaitu “Salmi“, ialah agen. Contoh lain bagi kata kerja transitif jenis ini ialah “mengindahi“ (14) dan “mengindahkan“ (15).

(14) Pohon-pohon yang berbunga mengindahi taman itu.
(15) Para pekerja bandaran mengindahkan taman itu.


2.4.3 Beza Memberi dan Memberikan

“Memberi“ dan “memberikan“ adalah antara sebilangan kecil kata kerja transitif dua objek. Dengan kata lain, kata kerja transitif jenis ini memerlukan kehadiran dua objek untuk menyempurnakan maksud ayatnya. Perbezaan antara kedua-dua kata kerja transitif ini ialah jenis objek tepat masing-masing. Objek tepat kata kerja transitif “memberi“ ialah “penerima pemberian“ (biasanya bernyawa iaitu manusia dan haiwan) manakala objek tepat “memberikan“ ialah “benda yang diberikan“.

(16) a. Saya memberi ibu hadiah.
b. Saya memberikan hadiah kepada ibu.

Objek tepat “memberi“ dalam (16a), iaitu “ibu“ ialah “penerima hadiah“ manakala objek tepat “memberikan“ dalam (16b), iaitu “hadiah“ ialah “benda yang diberikan“. Contoh lain kata kerja transitif jenis ini ialah “memberitahu“ (17a) dan “memberitahukan“ (17b) serta “mengajar“ (18a) dan “mengajarkan“ (18b).

(17) a. Dia memberitahu kami maklumat itu.
b. Dia memberitahukan maklumat itu kepada kami.

(18) a. Encik Ali mengajar pelajar-pelajarnya subjek Matematik.
b. Encik Ali mengajarkan subjek Matematik kepada pelajar-pelajarnya.


2.4.4 Boleh Mempertemukan, Jangan Memperkecilkan

Imbuhan +kan dan +per sama sekali tidak boleh digabungkan dalam pembentukan sesuatu kata kerja transitif. Hal ini kerana kedua-dua imbuhan mendukung maksud yang sama iaitu “jadikan“. Misalnya “kecilkan“ dan “perkecil“ bermaksud “jadikan kecil“. Oleh itu, penggunaan kedua-dua imbuhan dalam pembentukan sesuatu kata kerja transitif, misalnya “perkecilkan“, tidak dibenarkan kerana ia merupakan satu bentuk pembaziran (lewah).

Kekeliruan yang sering berlaku adalah kerana kata kerja transitif berimbuhan +kan juga boleh diterbitkan daripada kata kerja tak transitif berimbuhan ber+. Imbuhan ber+ ini seterusnya melalui transformasi perubahan bunyi menjadi per+ apabila menerima imbuhan meN+. Dalam keadaan ini, imbuhan +kan tidak boleh digugurkan. Contohnya ialah “bertemu“ menjadi “mempertemukan“ (*mempertemu), “bersila“ (mempersilakan, *mempersila) dan “berjudi“ (memperjudikan, *memperjudi).

Selain itu, kata kerja transitif berimbuhan +kan juga boleh diterbitkan daripada kata dasar yang bermula dengan suku kata (bukan imbuhan) per+. Dalam keadaan ini, imbuhan +kan juga tidak boleh digugurkan. Contohnya ialah “perkasa“ menjadi “memperkasakan“ (*memperkasa).

Soalan yang mungkin ditanya ialah mengapa “memperkosa“ (*memperkosakan)? Jawapannya adalah kerana “perkosa“ ialah kata kerja transitif asal. Oleh itu, ia tidak memerlukan kehadiran +kan. Hal ini samalah dengan “merogol“ (*merogolkan).

Imbuhan +i juga sama sekali tidak boleh digandingkan dengan imbuhan per+. Menggandingkan imbuhan +i dengan +per sama seperti menggandingkan imbuhan +i dengan +kan. Hal ini kerana imbuhan +kan dan +per mempunyai maksud yang sama.

Kekeliruan yang sering berlaku adalah kerana kata kerja transitif berimbuhan +i juga boleh diterbitkan daripada kata kerja tak transitif berimbuhan ber+. Imbuhan ber+ ini seterusnya melalui transformasi perubahan bunyi menjadi per+ apabila menerima imbuhan meN+. Dalam keadaan ini, imbuhan +i tidak boleh digugurkan. Contohnya ialah “beristeri“ menjadi “memperisteri“ (satu i digugurkan) dan “bersuami“ menjadi “mempersuami“.

Selain itu, kata kerja transitif berimbuhan +i juga boleh diterbitkan daripada kata dasar yang bermula dengan suku kata (bukan imbuhan) per+. Dalam keadaan ini, imbuhan +i juga tidak boleh digugurkan. Contohnya ialah “percaya“ menjadi “mempercayai“ (*mempercaya).

1 ulasan:

soo berkata...

Terima kasih atas penjelasan yang tepat mengenai imbuhan. Tapi saya masih keliru dengan imbuhan sperti contoh berikut
1a) Murid-murid menyanyi lagu Negaraku di perhimpunan.
b)Murid-murid menyanyikan lagu Negaraku di perhimpunan

2)di vs di..kan
a)Ibu diberi hadiah oleh saya.
b) Hadiah diberikan kepada ibu oleh saya.

Ayat yang mana betul.