Isnin, 2 Ogos 2010

Frasa Kerja Transitif (FKT)

FKT ialah satu daripada dua kategori frasa kerja. Satu lagi kategori frasa kerja ialah FK tak transitif (FKTT). Sementara FKTT hanya melibatkan satu pihak, iaitu subjek ayat, FKT melibatkan pihak kedua, iaitu objek ayat. Misalnya, dalam ayat “Ali tidur”, FKTT “tidur” hanya melibatkan satu pihak, iaitu subjek ayat “Ali”. Sebaliknya, dalam ayat “Ali memukul ular itu”, FKT “memukul” melibatkan dua pihak, iaitu subjek ayat “Ali” dan pihak kedua, iaitu objek ayat “ular itu. Oleh sebab FKT mempunyai objek, ia boleh dipasifkan.


“Ali memukul ular itu.”

Ular itu dipukul oleh Ali.”


Bahagian terpenting nota ini ialah perbincangan mengenai fungsi imbuhan akhiran (+kan dan +i) dalam pembentukan FK transitif. Imbuhan ini dikatakan berfungsi menyirat maksud tertentu. Oleh itu, satu bahagian dalam nota ini dikhususkan untuk membincangkan maksud yang didokong oleh imbuhan berkenaan.


Jenis/Kategori


FKT dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu:


1) Asal – frasa kerja yang sememangnya bersifat transitif.


Contoh: makan, minum, membaca, memukul (bentuk aktif)

dimakan, diminum, dibaca, dipukul (bentuk pasif)


2) Terbitan – diterbitkan daripada kategori/jenis frasa yang lain, iaitu frasa nama (FN),

FKTT dan frasa adjektif (FA) serta dua frasa sendi nama (FSN), iaitu “ke

tepi” dan “ke tengah”.


- diterbitkan daripada FN, misalnya “raja” – merajai, merajakan (bentuk aktif)

- dirajai, dirajakan (bentuk pasif)


- daripada FK tak transitif, misalnya “tidur” – meniduri, menidurkan (aktif)

ditiduri, ditidurkan (pasif)

“temu” – menemui, menemukan (aktif)

ditemui, ditemukan (pasif)

“bertemu” – mempertemukan (aktif)

dipertemukan (pasif)

“bersuami”- mempersuami, mempersuamikan

dipersuami, dipersuamikan


- daripada FA (adjektif), misalnya “indah” – mengindahi, mengindahkan

diindahi, diindahkan

- daripada FSN “ke tepi” & “ke tengah” – mengetepikan, mengetengahkan

diketepikan, diketengahkan


Makna imbuhan +i pada FKT asal


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT asal, iaitu menunjukkan perbuatan dilakukan berulang kali/bersungguh-sungguh.


Siti membacai buku cerita itu.

Maknanya ialah perbuatan “membacai” dilakukan berulang kali/bersungguh-sungguh.


Makna imbuhan +kan pada FKT asal


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +kan pada FKT asal, iaitu makna “benfaktif” (objek tepat ayat ahíla pihak yang mendapat faedah daripada perbuatan).


Siti membacakan adiknya buku cerita.


Maknanya ialah objek tepat ayat (adiknya) ialah pihak yang mendapat faedah daripada perbuatan (membacakan).


Makna imbuhan +i pada FKT terbitan (daripada FN)


Terdapat empat makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT yang diterbitkan daripada FN.


1) Menjadi


Parameswara merajai Melaka.

Maknanya ahíla “Parameswara menjadi raja Melada”.


Saya menggurui kelas ini.

Maknanya ahíla “Saya menjadi guru kelas ini”.


2) Memberi


Dia menasihati saya supaya bersabar.

Maknanya ialah “Dia memberi saya nasihat supaya bersabar”.


Dia sudah memaafi saya.

Maknanya ahíla “Dia sudah memberi saya maaf”.


3) Meletakkan/membubuh


Siti menggarami ikan.

Maknanya ialah “Siti membubuh garam pada ikan”.


Siti menggulai kopi.

Maknanya ahíla “Siti membubuh gula ke dalam kopi”.


4) Membuang


Encik Ahmad merumputi halaman rumahnya.

Maknanya ialah “Encik Ahmad membuang (mencabut, menebas, mencangkul) rumput di

halaman rumahnya”.


Siti menyisiki ikan.

Maknanya ialah “Siti membuang sisik ikan”.


Makna imbuhan +kan pada FKT terbitan (daripada FN)


Terdapat dua makna yang didokong oleh imbuhan +kan pada FKT yang diterbitkan daripada FN.


1) Menjadikan (“kausatif”)


Rakyat Melaka merajakan Parameswara.

Maknanya ialah “Rakyat Melaka menjadikan Parameswara raja”.


Dia menasihatkan supaya saya bersabar.

Maknanya ialah “Dia menjadikan “supaya saya bersabar” nasihat”.


2) Memasukkan


Hakim itu memenjarakan pesalah.

Maknanya ialah “Hakim itu memasukkan pesalah ke dalam penjara”.


Kerani itu memfailkan surat-surat tersebut.

Maknanya ialah “Kerani itu memasukkan surat-surat tersebut ke dalam fail”.


Makna imbuhan +i pada FKT yang diterbitkan daripada FK tak transitif


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +I pada FKT jenis ini, iaitu pelaku perbuatan yang disebut dalam FKT berkenaan ialah subjek ayat.


Ali menaiki bangunan itu.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “naik” ialah subjek ayat (Ali).


Ali memperisteri Aminah.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “beristeri” ialah subjek ayat (Ali).


Makna imbuhan +kan pada FKT yang diterbitkan daripada FK tak transitif


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT jenis ini, iaitu pelaku perbuatan yang disebut dalam FKT berkenaan ialah objek ayat.


Ali menaikkan bendera.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “naik” ialah objek ayat (bendera).


Aminah memperisterikan Ali dengan Siti.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “beristeri” ialah objek ayat (Ali).


Makna imbuhan +i pada FKT yang diterbitkan daripada FA (adjektif)


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT jenis ini, iaitu subjek ayat ialah “pemangkin”, iaitu kerana sifat yang ada padanya menyebabkan pihak lain (objek ayat) juga mendapat sifat tersebut.


Pohon-pohon bunga mengindahi taman itu.

Maknanya ialah subjek ayat (pohon-pohon bunga) ialah “pemangkin” yang mempunyai sifat “indah”, dan kerana keindahannya objek ayat (taman itu) juga menjadi indah.


Bedak memutihi mukanya.


Makna imbuhan +kan pada FKT yang diterbitkan daripada FA (adjektif)


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT jenis ini, iaitu subjek ayat ialah “agen”, iaitu kerana usaha/perbuatan/keupayaannya menyebabkan pihak lain (objek ayat) mendapat sifat yang disebut pada FKT berkenaan.


Ali mengindahkan taman itu dengan pohon-pohon bunga.

Maknanya ialah subjek ayat (Ali) ialah “agen”, iaitu kerana usahanya menyebabkan objek ayat (taman itu) menjadi indah.


Contoh lain ayat:

Krim pencerah memutihkan mukanya.


Imbuhan +per


Satu lagi imbuhan yang dapat menerbitkan FKT ialah +per. Mengenai penggunaan imbuhan ini, dua perkara yang berikut perlu diperhatikan:


1) Imbuhan +per mempunyai fungsi dan mendokong maksud yang sama dengan imbuhan +kan. Persamaan ini terlihat dalam contoh FKT yang berikut:


Perbesar = besarkan – maknanya ialah “jadikan besar”.

Perluas = luaskan – “jadikan luas”.

Perbetul = betulkan – “jadikan betul”.


Disebabkan persamaan ini, kedua-dua imbuhan tidak boleh digandingkan untuk menerbitkan sesuatu FKT. Contoh penggandingan imbuhan +per dan +kan (tidak dibenarkan) adalah seperti dalam ayat yang berikut:


*Encik Ali memperbesarkan rumahnya.

*Memperluaskan

*Memperbetulkan


2) Imbuhan +kan dan +i tidak boleh digandingkan dalam penerbitan sesuatu FKT. Oleh sebab imbuhan +per = +kan, imbuhan +per juga tidak boleh digandingkan dengan imbuhan +i. Contoh penggandingan imbuhan +per dan +i (tidak dibenarkan) adalah seperti dalam ayat yang berikut:


*Mereka memperhalusi cadangan itu.

Mereka memperhalus cadangan itu.

Frasa Kerja (FK) & FK Tak Transitif

1.1 Pengenalan

Frasa kerja (FK) adalah antara empat kategori frasa yang terdapat dalam bahasa Malaysia. Ia mempunyai fungsi yang banyak dalam pembinaan frasa dan ayat. Oleh sebab itu pemahaman mengenai frasa ini penting bagi seseorang pengguna bahasa untuk menjana frasa dan ayat yang gramatis.

Nota ini akan membincangkan hal-hal penting berkaitan FK, perbezaan antara FK tak transitif dengan FK transitif dan ciri-ciri penting FK tak transitif. FK transitif akan dibincangkan dalam nota yang berasingan (sila rujuk nota berkenaan).

1.2. Definisi

FK ialah perkataan atau sederetan perkataan yang digunakan untuk menggambarkan perbuatan, sama ada melibatkan pergerakan atau tidak, oleh manusia, haiwan, benda dan unsur abstrak.

1.3 Ciri-ciri

FK boleh dikenal pasti melalui ciri khususnya iaitu ia boleh didahului oleh kata bantu (aspek dan ragam). Contoh FK yang didahului oleh kata bantu (berwarna hijau) ialah (1a-d) yang berikut.

(1) a. akan tidur
b. sedang menonton
c. hendak makan
d. suka membaca

Dalam (1), FK “akan tidur” (1a), “sedang menonton” (1b) masing-masing didahului oleh kata bantu aspek “akan” dan “sedang”. FK “hendak makan” (1c) dan “suka membaca” (1d) pula masing-masing didahului oleh kata bantu ragam “hendak” dan “suka”.

1.4 Jenis

FK boleh dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu tak transitif dan transitif. Perbezaan antara kedua-duanya ialah FK tak transitif (2-ac) tidak mempunyai objek sementara FK transitif (3a-c) mempunyai objek (berwarna hijau).

(2) a. Bayi itu menangis.
b. Dia sudah keluar.
c. Mereka sedang bermain.

(3) a. Ali membaca buku motivasi.
b. Siti menggulai kopi.
c. Mereka memasuki bangunan itu.

“Menangis” (2a), “sudah keluar” (2b) dan “sedang bermain” ialah FK tak transitif kerana masing-masing tidak mempunyai objek. “Membaca” (3a), “menggulai” (3b) dan “memasuki” (3c) ialah FK transitif kerana masing-masing mempunyai objek, iaitu “buku motivasi”, “kopi” dan “bangunan itu”.

Perbezaan lain ialah FK transitif boleh dipasifkan manakala FK tak transitif tidak.


1.4.1 FK Tak Transitif

FK tak transitif ialah FK yang tidak mempunyai objek. Walau bagaimanapun, sebahagiannya mempunyai pelengkap. Oleh itu, FK tak transitif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu tak berpelengkap dan berpelengkap.

1.4.1.1 FK Tak Transitif Tak Berpelengkap

FK tak transitif tak berpelengkap ialah FK yang tidak memerlukan sebarang unsur untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (2a-c), dicatat semula sebagai (4a-c).

(4) a. Bayi itu menangis.
b. Dia sudah keluar.
c. Mereka sedang bermain.

Maksud ayat (4a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menangis”, “sudah keluar” dan “sedang bermain” sudah sempurna walaupun tiada sebarang unsur mengiringi FK berkenaan.

1.4.1.2 FK Tak Transitif Berpelengkap

FK tak transitif berpelengkap ialah FK yang memerlukan kehadiran unsur pelengkap (berwarna hijau) untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (5a-c) yang berikut:

(5) a. Siti menjadi guru.
b. Keadaannya beransur baik.
c. Dr Ali pergi ke Pulau Pinang.

Maksud ayat (5a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menjadi”, “beransur” dan “pergi” tidak akan sempurna tanpa unsur pelengkapnya, iaitu “guru”, “baik” dan “ke Pulau Pinang”.

(5’) a. *Siti menjadi.
b. *Keadaannya beransur.
c. *Dr Ali pergi.

Nota: Tiga jenis frasa yang boleh menjadi pelengkap FK tak transitif berpelengkap ialah frasa nama (“guru” dalam (5a)), frasa adjektif (“baik” dalam (5b)) dan frasa sendi nama (“ke Pulau Pinang” dalam (5c)).

Masalahnya ialah tiada rumus yang dapat dipegang untuk menentukan kategori frasa yang menjadi pelengkap bagi sesuatu FK tak transitif tak berpelengkap. Walau bagaimanapun, dua panduan yang berikut dapat membantu kita mengatasi sebahagian masalah ini.

Panduan: i) Sebahagian besar pelengkap FK tak transitif berpelengkap terdiri daripada frasa sendi nama.

ii) Pelengkap FK tak transitif berpelengkap berimbuhan ber+_+kan ialah frasa nama (6a-c).

(6) a. Hang Tuah bersenjatakan keris Taming Sari.
b. Keputusan itu dibuat berdasarkan cadangannya.
c. Dia tidur berbantalkan lengan.

Rabu, 28 Julai 2010

“Membeli” dan “Memberi”: Hampir Serupa tetapi Tak Sama

(Mengenai FKT satu objek dan FKT dua objek)

Dalam pengajaran dan pembelajaran tatabahasa, frasa kerja (FK) biasanya dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu FK transitif (FKT) dan FK tak transitif (FKTT). Seterusnya, kedua-dua kategori FK itu dibahagikan lagi kepada subkategori yang lebih kecil. FKTT biasanya dibahagikan kepada FKTT tak berpelengkap dan FKTT berpelengkap. FKT pula biasanya dibahagikan kepada dua subkategori iaitu FKT satu objek dan FKT dua objek.

Walaupun pembahagian ini dianggap memadai untuk membolehkan seseorang pengguna bahasa menjana ayat yang gramatis, masih terdapat beberapa masalah yang boleh mengelirukan. Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan pendefinisian FKT dua objek. Masalah ini merentetkan masalah lain iaitu kekaburan dalam pengenalpastian FKT kategori berkenaan.

Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008:392) mendefinisikan FKT dua objek sebagai FK yang dibentuk oleh kata kerja transitif sebagai intinya dan boleh mengandungi dua frasa nama (FN) yang menjadi objek kepada kata kerja itu. Dengan kata lain, ayat yang mengandungi FKT jenis ini hanya akan sempurna maksudnya dengan kehadiran dua FN sebagai objeknya. Contoh FKT dua objek ialah ”memberi” dan ”memberitahu” seperti yang terdapat dalam ayat (1-2) yang berikut:

(1) Siti memberi ibunya hadiah.

(2 Ali memberitahu saya maklumat itu.

Ayat (1-2) mengandungi FKT “memberi” dan “memberitahu” yang memerlukan kehadiran dua objek, iaitu “ibunya” dan “hadiah” (1), dan “saya” dan “maklumat itu” (2), untuk menyempurnakan maksud masing-masing. Tanpa kehadiran salah satu objek ini, ayat yang dijana (1’-2’) adalah tidak gramatis (bertanda *) kerana maksudnya tidak sempurna.

(1’) *Siti memberi ibunya.

(2’) *Ali memberitahu saya.

Walau bagaimanapun, pendefinisian FKT dua objek melalui aspek semantik atau makna ini belum memadai untuk membolehkan seseorang pengguna bahasa mengenal pasti ciri kedwiobjekan (dua objek) sesuatu FKT secara tuntas. Kekurangan ini menyebabkan sebilangan kecil FKT satu objek telah disalah anggap sebagai FKT dua objek. Antara FKT yang dimaksudkan adalah “membeli”, “meminjam”, “mengambil”, “menghantar”, “mengirim” seperti yang terdapat dalam ayat (3-7) yang berikut:.

(3) Wanita itu membeli baju untuk anaknya.
(4) Usahawan itu meminjam wang daripada ahlong.
(5) Ahmad mengambil buku itu daripada kawannya.
(6) Ali menghantar barang-barang kepada pelanggannya.
(7) Siti mengirim surat kepada ibunya.

FKT “membeli” , “meminjam” , “mengambil” , “menghantar” dan “mengirim” dalam (3-7) masing-masing diikuti oleh dua FN iaitu “baju” dan “anaknya” (3), “wang” dan “ahlong” (4), “buku itu” dan “kawannya” (5), “barang-barang” dan “pelanggannya” (6) dan “surat” dan “ibunya” (7). Kedua-dua FN ini telah disalah anggap sebagai objek bagi ayat berkenaan. Anggapan ini tidak tepat kerana hanya satu daripada FN tersebut, iaitu “baju” (3), “wang” (4), “buku itu” (5), “barang-barang” (6) dan “surat” (7), yang berfungsi sebagai objek. FN yang satu lagi, iaitu “anaknya” (3), “ahlong” (4), “kawannya” (5), “pelanggannya” (6) dan “ibunya” (7), berfungsi sebagai keterangan yang menambah maklumat bagi ayat tersebut. Sebagai keterangan, kehadirannya dalam ayat (3-7) tersebut adalah tidak wajib.

(3’) Wanita itu membeli baju.
(4’) Usahawan itu meminjam wang.
(5’) Ahmad mengambil buku itu.
(6’) Ali menghantar barang-barang.
(7’) Siti mengirim surat.

Ayat (3’-7’) tetap gramatis walaupun hanya satu FN hadir. Keadaan ini membuktikan bahawa anggapan FKT berkenaan ialah FKT satu objek, dan FN yang satu lagi hanyalah berfungsi sebagai keterangan (bukannya objek ayat), adalah benar.

Walau bagaimanapun, bukti berdasarkan aspek semantik ini mungkin belum mencukupi untuk meyakinkan pihak yang mempunyai pandangan sebaliknya (bahawa “membeli” , “meminjam” , “mengambil” , “menghantar” dan “mengirim” ialah FKT dua objek). Oleh sebab itu, pembuktian berdasarkan satu lagi aspek tatabahasa, iaitu aspek struktur, harus dikemukakan. Dalam hal ini, aspek struktur FKT dua objek yang penting ialah kebolehan objek-objeknya melalui transformasi pemindahan (pertukaran posisi). Dengan kata lain, objek tepat FKT dua objek boleh melalui transformasi pemindahan untuk mengisi posisi objek sipi manakala objek sipi pula sebaliknya.

Oleh sebab kedua-dua FN dalam ayat (1-2) berfungsi sebagai objek, ia boleh melalui transformasi ini (dengan sedikit pengubahsuaian). Hasilnya ialah ayat (1’-2’) yang berikut:

(1’) Siti memberikan hadiah kepada ibunya.

(2’) Ali memberitahukan maklumat itu kepada saya.


Transformasi ayat (1) menjadi ayat (1’), dan juga transformasi ayat (2) menjadi (2’), khususnya pertukaran posisi objek (FN2 dan FN3), boleh diskemakan seperti (8) yang berikut:

(8) a. FN1 + FKT (tanpa imbuhan +kan) + FN2 + FN3
b. FN1 + FKT (berimbuhan +kan) + FN3 + KSN + FN2

(KSN ialah singkatan ”kata sendi nama”)

Skima ini menunjukkan susunan kehadiran unsur dalam ayat yang mengandungi FKT dua objek, iaitu yang belum melalui transformasi pemindahan objek (8a) dan yang sudah melalui transformasi tersebut (8b). FN1 ialah subjek ayat manakala FN2 dan FN3 ialah objek. Skima ini juga menunjukkan tiga ciri penting FKT dua objek, iaitu binaannya (berimbuhan +kan atau tidak), perubahan posisi objeknya dan cara kehadiran FN2 (diantarakan oleh KSN atau tidak). Satu lagi ciri penting ialah FN2 biasanya terdiri daripada makhluk bernyawa. Semua FKT dua objek seharusnya selari dengan skema ini supaya kekonsistenan tatabahasa baku terpelihara.

Ditinjau dari aspek ini (struktur), sekali lagi terbukti bahawa (3-7) bukan FKT dua objek kerana ia tidak selari dengan skema (8a) atau (8b). Ia tidak selari dengan skema (8a) kerana kehadiran FN2nya diantarakan oleh KSN, sedangkan FKTnya tidak berimbuhan +kan. Ia juga tidak selari dengan skema (8b) kerana FKTnya tidak berimbuhan +kan, sedangkan kehadiran FN2nya diantarakan oleh KSN. Dengan kata lain, strukturnya adalah bertentangan dengan struktur FKT dua objek. Sebaliknya, strukturnya adalah selari dengan struktur FKT satu objek yang boleh diskemakan seperti (9) yang berikut:

(9) FN1 + FKT + FN2 + (keterangan)

Skima ini menunjukkan FKT satu objek hanya mengandungi satu objek, iaitu FN2 (FN1 ialah subjek ayat). Ciri penting FKT ini ialah binaannya tidak berimbuhan dan hanya mempunyai satu objek yang kehadirannnya tidak diantarakan oleh KSN. Kehadiran keterangan pula, yang mungkin terdiri daripada FSN, FK, FN atau FA, hanya bersifat opsyenal.

Dalam (3-7), ”wanita itu”, ”usahawan itu”, ”Ahmad”, ”Ali” dan ”Siti” ialah FN1. ”Membeli” , ”meminjam”, ”mengambil”, ”menghantar” dan ”mengirim” ialah FKT (tidak berimbuhan). ”Baju”, ”wang”, ”buku itu”, ”barang-barang” dan ”surat” ialah FN2 yang kehadirannya tidak diantarakan oleh sebarang KSN. Manakala, FSN ”untuk anaknya”, ”daripada ahlong”, ”daripada kawannya”, ”kepada pelanggannya” dan ”kepada ibunya” berfungsi sebagai keterangan.

Satu lagi bukti bahawa (3-7) bukan struktur FKT dua objek ialah objek-objeknya tidak boleh melalui transformasi pemindahan. Lebih tepat lagi, susunan objek-objeknya tidak terhasil melalui transformasi pemindahan daripada struktur (3’-7’) yang berikut:

(3’) *Wanita itu membeli anaknya baju.
(4’) *Usahawan itu meminjam ahlong wang.
(5’) *Ahmad mengambil kawannya buku itu.
(6’) *Ali menghantar pelanggannya barang-barang.
(7’) *Siti mengirim ibunya surat.

Mungkin ada yang membuat anggapan bahawa struktur (3’-7’) ialah FKT dua objek kerana ia selari dengan skema (8a). Anggapan ini kurang tepat kerana ia tidak memenuhi ciri penting FKT dua objek, iaitu kebolehan objek-objeknya melalui transformasi pemindahan. Sekiranya FN yang disangka objek itu, iaitu ”anaknya” dan ”baju” (3’), ”ahlong” dan ”wang” (4’), ”kawannya” dan ”buku itu” (5’), ”pelanggannya” dan ”barang-barang” (6’), dan ”ibunya” dan ”surat” (7’) melalui transformasi pemindahan, struktur yang terjana adalah seperti (3’’-7’’) yang berikut:

(3’’) *Wanita itu membelikan baju untuk anaknya.
(4’’) *Usahawan itu meminjamkan wang daripada ahlong.
(5’’) *Ahmad mengambilkan buku itu daripada kawannya.
(6’’) *Ali menghantarkan barang-barang kepada pelanggannya.
(7’’) *Siti mengirimkan surat kepada ibunya.

Struktur (3’’-7’’) ini bermasalah kerana imbuhan +kan pada FKT ini mempunyai fungsi lain, iaitu ia menerbitkan makna “benefaktif” pada FKT tersebut. Bagi FKT jenis ini, objek tepatnya ialah “benefisiari”, iaitu penerima faedah daripada perbuatan berkenaan. Sebagai ”benefisiari”, objek tepat biasanya terdiri daripada makhluk bernyawa. Oleh sebab itu, struktur ayat yang gramatis adalah seperti (3’’’-7’’’) yang berikut:

(3’’’) Wanita itu membelikan anaknya baju.
(4’’’) Usahawan itu meminjamkan ahlong wang.
(5’’’) Ahmad mengambilkan kawannya buku itu.
(6’’’) Ali menghantarkan pelanggannya barang-barang.
(7’’’) Siti mengirimkan ibunya surat.

Dalam (3’’’-7’’’), objek tepat iaitu “anaknya”, “ahlong”, “kawannya”, “pelanggannya” dan “ibunya” ialah “benefisiari” iaitu penerima faedah daripada perbuatan ”membelikan”, ”meminjamkan”, ”mengambilkan”, ”menghantarkan” dan ”mengirimkan”. Ayat (7’’’), contohnya, bermaksud, ”ibunya” menulis surat (mungkin untuk si suami yang bertugas di luar daerah) dan ”Siti” mengirim surat itu bagi pihak ”ibunya”. Hal ini samalah dengan fungsi +kan pada FKT ”membacakan”, ”mencarikan” dan ”membasuhkan” dalam ayat (10-12) yang berikut:

(10) Naufa membacakan adiknya buku cerita.
(11) Encik Hassan mencarikan anaknya jodoh.
(12) Sarah membasuhkan ibunya kain.

Jelaslah bahawa pengkategorian sesuatu FKT perlu dibuat dengan melihat kedua-dua aspek semantik dan juga aspek struktur dalam konteks ayat yang mengandungi FKT berkenaan. Berdasarkan penelitian melalui kedua-dua aspek ini, dapatlah disimpulkan bahawa ”membeli”, “meminjam”, ”mengambil”, ”menghantar” dan ”mengirim” ialah FKT satu objek, bukannya FKT dua objek. ”Membeli” dan ”memberi” khususnya, walaupun hampir serupa tetapi tetap ada perbezaannya. ”Membeli” ialah FKT satu objek manakala ”memberi” ialah FKT dua objek.

Perihal Perkasa dan Perkosa

(Mengenai penggunaan imbuhan "per" dan "kan")

Pengimbuhan ialah proses tatabahasa yang penting kerana ia dapat menjana perkataan baharu daripada kata dasar. Melalui fungsinya ini, pengimbuhan dapat memperkaya khazanah perbendaharaan kata sesuatu bahasa. Bahasa Melayu (BM) memang kaya dengan imbuhan yang dapat dimanfaatkan untuk menerbitkan perkataan bagi ketiga-tiga kategori utama, iaitu kata kerja (KK), kata nama (KN) dan kata adjektif (KA). Oleh sebab pentingnya pengimbuhan dalam penjanaan perkataan dan banyaknya imbuhan yang terdapat dalam BM, pengetahuan dan kemahiran menggunakannya perlu untuk mengelakkan penerbitan perkataan yang tidak gramatis.

Daripada imbuhan dalam BM yang banyak jumlahnya itu, terdapat sebilangan yang mungkin dapat mengelirukan pengguna. Antaranya adalah awalan per+ yang berfungsi untuk menerbitkan kata kerja transitif (KKT). Kekeliruan mungkin timbul kerana terdapatnya morfem lain yang berbentuk/berbunyi sama dengan imbuhan tersebut. Contoh KKT terbitan yang mengandungi morfem per yang dapat menimbulkan kekeliruan ini adalah seperti (1a-f) yang berikut:

(1) a. Memperbesar
b. *memperbesarkan
c. *memperkasa
d. memperkasakan
e. memperkosa
f. *memperkosakan

Persoalan yang mungkin terlintas di minda ialah mengapakan memperbesarkan dan memperkosakan dianggap tidak gramatis sedangkan bentuk lahiriahnya sama dengan memperkasakan yang sebaliknya dianggap gramatis? Soalan seterusnya ialah mengapakah memperbesar dan memperkosa dianggap gramatis sedangkan bentuk lahiriahnya sama dengan memperkasa yang sebaliknya dianggap tidak gramatis?

Kekeliruan ini tidak akan timbul sekiranya kewujudan tiga jenis morfem per (2a-c) disedari, dan cara penggunaannya, khususnya dalam pembentukan sesuatu KKT, difahami.

(2) a. Per+ imbuhan yang mempunyai fungsi yang sama dengan imbuhan +kan.
b. Per+ yang sebenarnya ialah imbuhan ber+ yang mengalami perubahan bentuk/
bunyi.
c. Per yang merupakan suku kata perkataan (suku kata pertama).

Mengenai perkara (2a), kedua-dua imbuhan (per+ dan +kan) berfungsi menerbitkan KKT daripada perkataan kategori lain. Kedua-duanya juga mendokong maksud yang sama. Dengan kata lain, fungsi kedua-dua imbuhan adalah sama. Yang berbeza hanyalah dari segi bentuk/bunyi dan kedudukan. Per+ ialah imbuhan awalan manakala +kan ialah imbuhan akhiran.

Mengenai persamaan fungsi yang pertama, kehadiran per+ atau +kan adalah wajib dalam penerbitan sesuatu KKT daripada kata dasar yang bukan KKT (KKTT, KN dan KA). Hal ini dapat diperhatikan daripada contoh ayat (3a-c) yang berikut:

(3) a. Tuan guru itu menurunkan/memperturun ilmu kepada murid-muridnya.
b. Hang Tuah menghambakan/memperhamba dirinya kepada sultan.
c. Encik Ali mengindahkan/memperindah lanskap rumahnya.

Dalam (3) KKT menurunkan/memperturun (3a), menghambakan/memperhamba (3b) dan mengindahkan/memperindah (3c) masing-masing diterbitkan daripada KKTT turun, KN hamba dan KA indah. Tanpa imbuhan per+ atau +kan, perkataan dan ayat (3a’-c’) yang dijana adalah tidak gramatis.

(3) a’. *Tuan guru itu menurun ilmu kepada murid-muridnya.
b’. *Hang Tuah menghamba dirinya kepada sultan.
c’. *Encik Ali mengindah lanskap rumahnya.

Mengenai persamaan fungsi kedua, kedua-dua imbuhan tersebut mendokong maksud ”kausatif” atau ”menjadikan”/”menyebabkan”, yang disebut dalam Tatabahasa Dewan, edisi ketiga sebagai ”menjadikan sebagai maksud perbuatan dalam kata dasar.” Oleh itu, frasa menurunkan ilmu / memperturun ilmu dalam (3a) bermaksud ”menyeybabkan ilmu turun”. Frasa menghambakan dirinya / memperhamba dirinya (3b) bermaksud ”menjadikan dirinya hamba”. Seterusnya, frasa mengindahkan lanskap rumahnya / memperindah lanskap rumahnya (3c) bermaksud ”menjadikan lanskap rumahnya indah”.

Oleh sebab per+ mempunyai fungsi yang sama dengan +kan, ia (per+) tidak boleh digandingkan dengan imbuhan tersebut (+kan) dalam pembentukan sesuatu KKT. Halangan ini adalah kerana penggandingan per+ dengan +kan akan menyebabkan kelewahan atau pembaziran, dan kelewahan tidak dibenarkan dalam BM. Oleh itu, bentuk (4a-c) serta (4a’-c’) yang berikut dianggap tidak gramatis:

(4) a. *Perbesarkan
b. *Perluaskan
c. *Perlebarkan

(4) a’. *Memperbesarkan
b’. *Memperluaskan
c’. *Memperlebarkan

Mengenai perkara (2b) pula, imbuhan ber+ yang sedia ada pada sesuatu KKTT yang melalui proses tatabahasa dalam penerbitan KKT (aktif dan pasif) akan mengalami perubahan bentuk/bunyi menjadi per+. Contohnya adalah seperti mempersilakan, mempertemukan dan memperisterikan dalam (5a-c) yang berikut.

(5) a. Mempersilakan
b. Mempertemukan
c. Memperisterikan

Ketiga-tiga KKT dalam (5a-c), iaitu mempersilakan, mempertemukan dan memperisterikan diterbitkan daripada KKTT yang telah sedia berimbuhan ber+ iaitu bersila, bertemu dan beristeri. Proses pengimbuhan ini dapat dianalisis seperti (5a’-c’) yang berikut:

(5) a’. meN+bersila+kan → mempersilakan
b’. meN+bertemu+kan → mempertemukan
c’. meN+beristeri+kan → memperisterikan

Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti (6a-c) yang berikut:

(6) a. Encik Ahmad mempersilakan tetamunya.
b. Rancangan realiti televisyen itu mempertemukan saudara kembar tersebut.
c. Encik Hassan memperisterikan anak lelaki sulungnya dengan Sarah.

Ayat (6a) bermaksud, ”Encik Ahmad menyebabkan tetamunya bersila”. Maksud tersirat ayat ini perlu difahami dalam konteks budaya dan tradisi orang Melayu. Dalam budaya dan tradisi orang Melayu dalam memuliakan tetamu, tuan rumah akan membentangkan tikar dan bersama-sama tetamunya akan duduk bersila di atas tikar tersebut. Perbuatan ini adalah untuk menunjukkan pengiktirafan tuan rumah bahawa kedudukan tetamunya adalah sama taraf dengannya. Daripada perkataan bersila inilah terbitnya mempersilakan.

Ayat (6b) pula bermaksud, ”Rancangan realiti televisyen itu menyebabkan saudara kembar tersebut bertemu”. Seterusnya, ayat (6c) bermaksud, ”Encik Hassan menyebabkan anak lelaki sulungnya beristeri dengan Sarah”. Maksud ayat ini adalah logik kerana hanya orang lelaki boleh beristeri.

Oleh sebab KKT dalam ayat (6a-c) ini diterbitkan daripada KKTT, ia mesti menerima kehadiran imbuhan +kan (atau +i). Hal ini samalah dengan penerbitan KKT daripada KKTT yang tidak berimbuhan seperti (7a-c) yang berikut:

(7) a. Menaikkan
b. Menjatuhkan
c. Menidurkan

Proses penerbitan (7a-c) dapat dianalisis seperti (7a’-c’) yang berikut:

(7) a’. meN+naik+kan → menaikkan
b’. meN+jatuh+kan → menjatuhkan
c’. meN+tidur+kan → menidurkan

Ketiga-tiga KKT dalam (7a-c) diterbitkan daripada KKTT yang tidak berimbuhan, iaitu naik, jatuh dan tidur. Tanpa kehadiran imbuhan +kan, perkataan yang diterbitkan sama ada tidak gramatis (7b’’-c’’) atau bukan KKT (7a’’).

(7) a’’. #Menaik
b’’. *Menjatuh
c’’. *Menidur

Kaedah yang sama harus diaplikasikan dalam pembentukan sesuatu KKT daripada KKTT yang telah sedia berimbuhan ber+. Oleh itu, (5a-c) adalah gramatis tetapi (5a’’-c’’) yang berikut, yang proses penerbitannya sama dengan (7a’’-c’’), adalah tidak gramatis.

(5) a’’. *Mempersila
b’’. *Mempertemu
c’’. *Memperisteri

Walau bagaimanapun, status tidak gramatisnya (5a’’-c’’) hanya benar jika proses pembentukannya dianalisis seperti (7a’’-c’’). Sebaliknya, (5a’’-c’’) dianggap gramatis jika proses pembentukannya dibuat dengan analisis yang berbeza. Melalui analisis ini, imbuhan per+ digandingkan dengan kata dasar yang tidak berimbuhan ber+, iaitu sila, temu dan isteri. Proses pengimbuhan ini dapat dianalisis seperti (5a’’’-c’’’) yang berikut:

(5) a’’’. meN+per+sila → mempersila
b’’’. meN+per+temu → mempertemu
c’’’. meN+per+isteri → memperisteri

Melalui analisis ini, kehadiran imbuhan +kan tidak diperlukan kerana persamaan fungsinya dengan per+. Penggunaan bagi ketiga-tiga KKT (5a’’’-c’’’) adalah seperti (6a’-c’) yang berikut:

(6) a’. Encik Ahmad mempersila tetamunya.
b’. Rancangan realiti televisyen itu mempertemu saudara kembar tersebut.
c’. Anak lelaki sulung Encik Hassan memperisteri Sarah.

Perhatikan bahawa struktur (6a’-b’) adalah sama dengan struktur (6a-b). Persamaan ini kerana sila dan temu tergolong dalam kategori yang sama dengan bersila dan bertemu, iaitu KKTT. Sebaliknya, struktur (6c’) tidak sama dengan struktur (6c). Perbezaan ini adalah kerana isteri tidak tergolong dalam kategori yang sama dengan beristeri. Isteri ialah KN manakala beristeri ialah KKTT. Dari segi maksud, ayat (6c’) bermakna ”Anak lelaki sulung Encik Hassan menjadikan Sarah isteri”.

Mengenai (2c) pula, terdapat sejumlah perkataan yang suku kata pertamanya terdiri daripada morfem per. Perkataan seperti ini tergolong dalam ketiga-tiga kategori utama perkataan, iaitu KA, KK dan KN. Contohnya adalah seperti (8a-c) yang berikut:

(8) a. Perkasa (KA)
b. Perkosa (KK)
c. Permaisuri (KN)

Oleh sebab per dalam perkataan seperti ini ialah suku kata kata dasar, ia tidak boleh digugurkan dalam transformasi penerbitan sesuatu KKT. Oleh itu, bentuk yang gramatis bagi KKT yang diterbitkan daripada (8a-c) adalah seperti (8a’-c’) yang berikut:

(8) a’. Memperkasakan/diperkasakan
b’. Memperkosa/diperkosa
c’. Mempermaisurikan/dipermaisurikan

Barang kali persoalan yang terlintas di minda ialah mengapakah bentuk memperkosa/ diperkosa tidak selari dengan bentuk memperkasakan/diperkasakan dan mempermaisurikan/dipermaisurikan? Bagi menjawab persoalan ini, harus diingat tentang fungsi imbuhan +kan sebagai penjana KKT. Oleh sebab perkosa ialah KKT asal, ia tidak memerlukan kehadiran +kan untuk menjadikannya KKT. Oleh sebab itulah bentuk yang gramatis untuk KKT aktif ialah memperkosa dan diperkosa (KKT pasif). Hal ini selari dengan rumus penerbitan KKT daripada kata dasar yang juga KKT seperti (9a-c) yang berikut:

(9) a. Membaca/dibaca
b. Membuka/dibuka
c. Membeli/dibeli

Semua KKT dalam (9a-c) diterbitkan daripada kata dasar baca, buka dan beli yang sememangnya dalam kategori KKT. Oleh itu, ia tidak memerlukan kehadiran imbuhan +kan untuk menjadikannya KKT. Imbuhan +kan yang hadir pada KKT sebegini berfungsi untuk mendokong maksud tertentu. Dalam hal ini, awalan +kan yang diimbuhkan pada KKT mendokong maksud ”benefaktif ” iaitu ”subjek ayat melakukan perbuatan untuk manfaat pihak lain (objek ayat)”.

Dalam ayat ”Siti membacakan adiknya buku” misalnya, subjek ayat (Siti) melakukan perbuatan membaca untuk manfaat objek ayat (adiknya). Bolehkah kita membayangkan ada pihak yang mendapat manfaat daripada perbuatan memperkosakan seperti yang terdapat dalam ayat (10) yang berikut:

(10) Dia memperkosakan Si Polan Si Polanah.

Demikianlah halus dan indahnya BM. Kehalusan dan keindahan ini hanya dapat difahami dan dihayati jika kita rajin dan ikhlas mempelajari bahasa itu. Pengetahuan bahasa yang mendalam adalah penting untuk membolehkan kita menggunakan bahasa itu, bukan sahaja secara gramatis tetapi juga secara jitu, khususnya pada peringkat penggunaannya yang baku. Pengetahuan itu pula harus dijadikan kemahiran, iaitu dengan menggunakannya secara kerap dan berterusan. Oleh itu, kerapkanlah dan berbanggalah menggunakan BM, khususnya yang baku dan yang jitu.