Rabu, 28 Julai 2010

Perihal Perkasa dan Perkosa

(Mengenai penggunaan imbuhan "per" dan "kan")

Pengimbuhan ialah proses tatabahasa yang penting kerana ia dapat menjana perkataan baharu daripada kata dasar. Melalui fungsinya ini, pengimbuhan dapat memperkaya khazanah perbendaharaan kata sesuatu bahasa. Bahasa Melayu (BM) memang kaya dengan imbuhan yang dapat dimanfaatkan untuk menerbitkan perkataan bagi ketiga-tiga kategori utama, iaitu kata kerja (KK), kata nama (KN) dan kata adjektif (KA). Oleh sebab pentingnya pengimbuhan dalam penjanaan perkataan dan banyaknya imbuhan yang terdapat dalam BM, pengetahuan dan kemahiran menggunakannya perlu untuk mengelakkan penerbitan perkataan yang tidak gramatis.

Daripada imbuhan dalam BM yang banyak jumlahnya itu, terdapat sebilangan yang mungkin dapat mengelirukan pengguna. Antaranya adalah awalan per+ yang berfungsi untuk menerbitkan kata kerja transitif (KKT). Kekeliruan mungkin timbul kerana terdapatnya morfem lain yang berbentuk/berbunyi sama dengan imbuhan tersebut. Contoh KKT terbitan yang mengandungi morfem per yang dapat menimbulkan kekeliruan ini adalah seperti (1a-f) yang berikut:

(1) a. Memperbesar
b. *memperbesarkan
c. *memperkasa
d. memperkasakan
e. memperkosa
f. *memperkosakan

Persoalan yang mungkin terlintas di minda ialah mengapakan memperbesarkan dan memperkosakan dianggap tidak gramatis sedangkan bentuk lahiriahnya sama dengan memperkasakan yang sebaliknya dianggap gramatis? Soalan seterusnya ialah mengapakah memperbesar dan memperkosa dianggap gramatis sedangkan bentuk lahiriahnya sama dengan memperkasa yang sebaliknya dianggap tidak gramatis?

Kekeliruan ini tidak akan timbul sekiranya kewujudan tiga jenis morfem per (2a-c) disedari, dan cara penggunaannya, khususnya dalam pembentukan sesuatu KKT, difahami.

(2) a. Per+ imbuhan yang mempunyai fungsi yang sama dengan imbuhan +kan.
b. Per+ yang sebenarnya ialah imbuhan ber+ yang mengalami perubahan bentuk/
bunyi.
c. Per yang merupakan suku kata perkataan (suku kata pertama).

Mengenai perkara (2a), kedua-dua imbuhan (per+ dan +kan) berfungsi menerbitkan KKT daripada perkataan kategori lain. Kedua-duanya juga mendokong maksud yang sama. Dengan kata lain, fungsi kedua-dua imbuhan adalah sama. Yang berbeza hanyalah dari segi bentuk/bunyi dan kedudukan. Per+ ialah imbuhan awalan manakala +kan ialah imbuhan akhiran.

Mengenai persamaan fungsi yang pertama, kehadiran per+ atau +kan adalah wajib dalam penerbitan sesuatu KKT daripada kata dasar yang bukan KKT (KKTT, KN dan KA). Hal ini dapat diperhatikan daripada contoh ayat (3a-c) yang berikut:

(3) a. Tuan guru itu menurunkan/memperturun ilmu kepada murid-muridnya.
b. Hang Tuah menghambakan/memperhamba dirinya kepada sultan.
c. Encik Ali mengindahkan/memperindah lanskap rumahnya.

Dalam (3) KKT menurunkan/memperturun (3a), menghambakan/memperhamba (3b) dan mengindahkan/memperindah (3c) masing-masing diterbitkan daripada KKTT turun, KN hamba dan KA indah. Tanpa imbuhan per+ atau +kan, perkataan dan ayat (3a’-c’) yang dijana adalah tidak gramatis.

(3) a’. *Tuan guru itu menurun ilmu kepada murid-muridnya.
b’. *Hang Tuah menghamba dirinya kepada sultan.
c’. *Encik Ali mengindah lanskap rumahnya.

Mengenai persamaan fungsi kedua, kedua-dua imbuhan tersebut mendokong maksud ”kausatif” atau ”menjadikan”/”menyebabkan”, yang disebut dalam Tatabahasa Dewan, edisi ketiga sebagai ”menjadikan sebagai maksud perbuatan dalam kata dasar.” Oleh itu, frasa menurunkan ilmu / memperturun ilmu dalam (3a) bermaksud ”menyeybabkan ilmu turun”. Frasa menghambakan dirinya / memperhamba dirinya (3b) bermaksud ”menjadikan dirinya hamba”. Seterusnya, frasa mengindahkan lanskap rumahnya / memperindah lanskap rumahnya (3c) bermaksud ”menjadikan lanskap rumahnya indah”.

Oleh sebab per+ mempunyai fungsi yang sama dengan +kan, ia (per+) tidak boleh digandingkan dengan imbuhan tersebut (+kan) dalam pembentukan sesuatu KKT. Halangan ini adalah kerana penggandingan per+ dengan +kan akan menyebabkan kelewahan atau pembaziran, dan kelewahan tidak dibenarkan dalam BM. Oleh itu, bentuk (4a-c) serta (4a’-c’) yang berikut dianggap tidak gramatis:

(4) a. *Perbesarkan
b. *Perluaskan
c. *Perlebarkan

(4) a’. *Memperbesarkan
b’. *Memperluaskan
c’. *Memperlebarkan

Mengenai perkara (2b) pula, imbuhan ber+ yang sedia ada pada sesuatu KKTT yang melalui proses tatabahasa dalam penerbitan KKT (aktif dan pasif) akan mengalami perubahan bentuk/bunyi menjadi per+. Contohnya adalah seperti mempersilakan, mempertemukan dan memperisterikan dalam (5a-c) yang berikut.

(5) a. Mempersilakan
b. Mempertemukan
c. Memperisterikan

Ketiga-tiga KKT dalam (5a-c), iaitu mempersilakan, mempertemukan dan memperisterikan diterbitkan daripada KKTT yang telah sedia berimbuhan ber+ iaitu bersila, bertemu dan beristeri. Proses pengimbuhan ini dapat dianalisis seperti (5a’-c’) yang berikut:

(5) a’. meN+bersila+kan → mempersilakan
b’. meN+bertemu+kan → mempertemukan
c’. meN+beristeri+kan → memperisterikan

Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti (6a-c) yang berikut:

(6) a. Encik Ahmad mempersilakan tetamunya.
b. Rancangan realiti televisyen itu mempertemukan saudara kembar tersebut.
c. Encik Hassan memperisterikan anak lelaki sulungnya dengan Sarah.

Ayat (6a) bermaksud, ”Encik Ahmad menyebabkan tetamunya bersila”. Maksud tersirat ayat ini perlu difahami dalam konteks budaya dan tradisi orang Melayu. Dalam budaya dan tradisi orang Melayu dalam memuliakan tetamu, tuan rumah akan membentangkan tikar dan bersama-sama tetamunya akan duduk bersila di atas tikar tersebut. Perbuatan ini adalah untuk menunjukkan pengiktirafan tuan rumah bahawa kedudukan tetamunya adalah sama taraf dengannya. Daripada perkataan bersila inilah terbitnya mempersilakan.

Ayat (6b) pula bermaksud, ”Rancangan realiti televisyen itu menyebabkan saudara kembar tersebut bertemu”. Seterusnya, ayat (6c) bermaksud, ”Encik Hassan menyebabkan anak lelaki sulungnya beristeri dengan Sarah”. Maksud ayat ini adalah logik kerana hanya orang lelaki boleh beristeri.

Oleh sebab KKT dalam ayat (6a-c) ini diterbitkan daripada KKTT, ia mesti menerima kehadiran imbuhan +kan (atau +i). Hal ini samalah dengan penerbitan KKT daripada KKTT yang tidak berimbuhan seperti (7a-c) yang berikut:

(7) a. Menaikkan
b. Menjatuhkan
c. Menidurkan

Proses penerbitan (7a-c) dapat dianalisis seperti (7a’-c’) yang berikut:

(7) a’. meN+naik+kan → menaikkan
b’. meN+jatuh+kan → menjatuhkan
c’. meN+tidur+kan → menidurkan

Ketiga-tiga KKT dalam (7a-c) diterbitkan daripada KKTT yang tidak berimbuhan, iaitu naik, jatuh dan tidur. Tanpa kehadiran imbuhan +kan, perkataan yang diterbitkan sama ada tidak gramatis (7b’’-c’’) atau bukan KKT (7a’’).

(7) a’’. #Menaik
b’’. *Menjatuh
c’’. *Menidur

Kaedah yang sama harus diaplikasikan dalam pembentukan sesuatu KKT daripada KKTT yang telah sedia berimbuhan ber+. Oleh itu, (5a-c) adalah gramatis tetapi (5a’’-c’’) yang berikut, yang proses penerbitannya sama dengan (7a’’-c’’), adalah tidak gramatis.

(5) a’’. *Mempersila
b’’. *Mempertemu
c’’. *Memperisteri

Walau bagaimanapun, status tidak gramatisnya (5a’’-c’’) hanya benar jika proses pembentukannya dianalisis seperti (7a’’-c’’). Sebaliknya, (5a’’-c’’) dianggap gramatis jika proses pembentukannya dibuat dengan analisis yang berbeza. Melalui analisis ini, imbuhan per+ digandingkan dengan kata dasar yang tidak berimbuhan ber+, iaitu sila, temu dan isteri. Proses pengimbuhan ini dapat dianalisis seperti (5a’’’-c’’’) yang berikut:

(5) a’’’. meN+per+sila → mempersila
b’’’. meN+per+temu → mempertemu
c’’’. meN+per+isteri → memperisteri

Melalui analisis ini, kehadiran imbuhan +kan tidak diperlukan kerana persamaan fungsinya dengan per+. Penggunaan bagi ketiga-tiga KKT (5a’’’-c’’’) adalah seperti (6a’-c’) yang berikut:

(6) a’. Encik Ahmad mempersila tetamunya.
b’. Rancangan realiti televisyen itu mempertemu saudara kembar tersebut.
c’. Anak lelaki sulung Encik Hassan memperisteri Sarah.

Perhatikan bahawa struktur (6a’-b’) adalah sama dengan struktur (6a-b). Persamaan ini kerana sila dan temu tergolong dalam kategori yang sama dengan bersila dan bertemu, iaitu KKTT. Sebaliknya, struktur (6c’) tidak sama dengan struktur (6c). Perbezaan ini adalah kerana isteri tidak tergolong dalam kategori yang sama dengan beristeri. Isteri ialah KN manakala beristeri ialah KKTT. Dari segi maksud, ayat (6c’) bermakna ”Anak lelaki sulung Encik Hassan menjadikan Sarah isteri”.

Mengenai (2c) pula, terdapat sejumlah perkataan yang suku kata pertamanya terdiri daripada morfem per. Perkataan seperti ini tergolong dalam ketiga-tiga kategori utama perkataan, iaitu KA, KK dan KN. Contohnya adalah seperti (8a-c) yang berikut:

(8) a. Perkasa (KA)
b. Perkosa (KK)
c. Permaisuri (KN)

Oleh sebab per dalam perkataan seperti ini ialah suku kata kata dasar, ia tidak boleh digugurkan dalam transformasi penerbitan sesuatu KKT. Oleh itu, bentuk yang gramatis bagi KKT yang diterbitkan daripada (8a-c) adalah seperti (8a’-c’) yang berikut:

(8) a’. Memperkasakan/diperkasakan
b’. Memperkosa/diperkosa
c’. Mempermaisurikan/dipermaisurikan

Barang kali persoalan yang terlintas di minda ialah mengapakah bentuk memperkosa/ diperkosa tidak selari dengan bentuk memperkasakan/diperkasakan dan mempermaisurikan/dipermaisurikan? Bagi menjawab persoalan ini, harus diingat tentang fungsi imbuhan +kan sebagai penjana KKT. Oleh sebab perkosa ialah KKT asal, ia tidak memerlukan kehadiran +kan untuk menjadikannya KKT. Oleh sebab itulah bentuk yang gramatis untuk KKT aktif ialah memperkosa dan diperkosa (KKT pasif). Hal ini selari dengan rumus penerbitan KKT daripada kata dasar yang juga KKT seperti (9a-c) yang berikut:

(9) a. Membaca/dibaca
b. Membuka/dibuka
c. Membeli/dibeli

Semua KKT dalam (9a-c) diterbitkan daripada kata dasar baca, buka dan beli yang sememangnya dalam kategori KKT. Oleh itu, ia tidak memerlukan kehadiran imbuhan +kan untuk menjadikannya KKT. Imbuhan +kan yang hadir pada KKT sebegini berfungsi untuk mendokong maksud tertentu. Dalam hal ini, awalan +kan yang diimbuhkan pada KKT mendokong maksud ”benefaktif ” iaitu ”subjek ayat melakukan perbuatan untuk manfaat pihak lain (objek ayat)”.

Dalam ayat ”Siti membacakan adiknya buku” misalnya, subjek ayat (Siti) melakukan perbuatan membaca untuk manfaat objek ayat (adiknya). Bolehkah kita membayangkan ada pihak yang mendapat manfaat daripada perbuatan memperkosakan seperti yang terdapat dalam ayat (10) yang berikut:

(10) Dia memperkosakan Si Polan Si Polanah.

Demikianlah halus dan indahnya BM. Kehalusan dan keindahan ini hanya dapat difahami dan dihayati jika kita rajin dan ikhlas mempelajari bahasa itu. Pengetahuan bahasa yang mendalam adalah penting untuk membolehkan kita menggunakan bahasa itu, bukan sahaja secara gramatis tetapi juga secara jitu, khususnya pada peringkat penggunaannya yang baku. Pengetahuan itu pula harus dijadikan kemahiran, iaitu dengan menggunakannya secara kerap dan berterusan. Oleh itu, kerapkanlah dan berbanggalah menggunakan BM, khususnya yang baku dan yang jitu.

Tiada ulasan: