Khamis, 7 Disember 2017

Kesalahan Struktur



    Pengenalan


Dari segi struktur frasa, kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna BM ialah melanggar hukum D-M (Diterangkan-Menerangkan). Hukum ini menetapkan bahawa dalam pembinaan sesuatu frasa, perkara yang diterangkan mesti berada pada posisi  hadapan perkara yang menerangkan. Dari segi struktur ayat pula, kesalahan yang sering dilakukan adalah dalam penggunaan ayat pasif berpelaku, penstrukturan ayat yang mengandungi kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif, khususnya bagi yang berpelengkap kata preposisi. Struktur ayat yang panjang, sehingga menyukarkan pembacaan dan pemahaman, juga antara kelemahan yang sering dilakukan.

     Kesalahan Struktur Frasa


   Lain-lain Perkara dan Pertama Kali

Struktur yang gramatis ialah “perkara-perkara lain“ bukannya “lain-lain perkara“. “Pertama kali“ tidak gramatis. Yang gramatis ialah “kali pertama“.

      Kesalahan Struktur Ayat


   Penggunaan Ayat Pasif Berpelaku

Terdapat satu kategori ayat pasif yang dikenali sebagai ayat pasif berpelaku. Ia dinamai sedemikian kerana ayat pasif jenis ini mengandungi pelaku. Walau bagaimanapun, pelaku untuk ayat pasif terhad pada ganti nama diri pertama dan ganti nama diri kedua sahaja. Kesalahan yang sering dilakukan ialah menggunakan ayat pasif ini untuk pelaku yang bukan ganti nama pertama atau ganti nama diri kedua. Oleh itu, (1a-c) dikira gramatis tetapi (2a-c) dianggap tidak gramatis.

(1) a. Saya baca buku itu.
     b. Kamu baca buku itu.
     c. Kita baca buku itu.

(2) a. *Dia baca buku itu.
     b. *Mereka baca buku itu.
     c. *Sarah baca buku itu.

Kesalahan kedua berkaitan penggunaan ayat pasif berpelaku ini adalah dari segi posisi kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Rumus menyatakan bahawa frasa nama pelaku dengan kata kerja tidak boleh dipisahkan oleh sebarang unsur, termasuk kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Ayat dikira tidak gramatis jika terdapat kata bantu yang mengisi posisi antara frasa nama pelaku dengan kata kerja. Oleh itu, (3a-c) adalah gramatis manakala (4a-c) adalah sebaliknya.

(3) a. Hendak saya baca buku itu.
     b. Akan kamu lihat kebaikannya.
     c. Belum kita bincangkan cadangan itu.

(4) a. *Saya hendak baca buku itu.
     b. *Kamu akan lihat kebaikannya.
     c. *Kita belum bincangkan cadangan itu.

          Mesti Menceritakan Kebaikannya


Struktur ayat yang mengandungi kata kerja transitif ialah SKO (Subjek + Kata Kerja + Objek). Objek ayat mesti terdiri daripada frasa nama. Dengan kata lain, kata kerja transitif mesti diikuti terus oleh frasa nama. (5a-c) ialah contoh ayat yang berstruktur sebegini.

(5) a. Kita mesti menceritakan kebaikan kawan kita.
     b. Ahli-ahli parlimen membahaskan usul tersebut.
     c. Para penyelidik itu membentangkan hasil kajian mereka.

Dalam (5a-c), kata kerja transitif “menceritakan”, “membahaskan” dan  “membentangkan” masing-masing diikuti terus oleh objek, iaitu frasa nama “kebaikan kawan kita”, “usul tersebut” dan “hasil kajian mereka”. Oleh itu, (5a-c) adalah gramatis.
Jika struktur ini tidak dipatuhi, ayat (6a-c) yang dijana tidak gramatis.

(6) a. *Kita mesti menceritakan tentang kebaikan kawan kita.
     b. *Ahli-ahli parlimen membahaskan tentang usul tersebut.
     c. *Para penyelidik itu membentangkan tentang hasil kajian mereka.

Kehadiran kata praposisi “tentang” telah mengubah struktur ayat (6a-c) daripada SKO menjadi SKP. Keadaan ini menyebabkan ayat-ayat tersebut tidak gramatis.


           Mesti Pergi ke Sekolah


Bagi sebahagian besar ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif berpelengkap, strukturnya ialah SKP (Subjek + Kata Kerja + Praposisi). Dengan kata lain, kata kerja tak transitif tersebut mesti diikuti terus oleh kata praposisi. (7) ialah contoh ayat yang berstruktur sebegini.

(7) Sarah pergi ke sekolah.

Jika struktur ini tidak dipatuhi, ayat (7’) yang dijana tidak gramatis.

(7’) *Sarah pergi sekolah.

Ketidakhadiran kata praposisi “ke” telah mengubah struktur ayat (7) daripada SKP menjadi SKO. Keadaan ini menyebabkan ayat (7’) tidak gramatis.

Kesalahan Penggunaan Perkataan



1.0      Pengenalan


Kesalahan penggunaan perkataan berpunca daripada kekurangan pemahaman mengenai fungsi, makna dan konteks penggunaan sesuatu perkataan. Kesalahan yang paling sering dilakukan ialah penggunaan kata pemeri „adalah“, kata sendi nama „di“, kata tunjuk „ini“, kata soal dan kata ganti nama.

1.1      Kata Pemeri


Kesalahan menggunakan kata pemeri „adalah“ ialah yang paling banyak dilakukan oleh pengguna bahasa. Puncanya adalah kurang pengetahuan mengenai fungsi perkataan  tersebut. Sebagai kata pemeri, „adalah“ berfungsi menghubungkan subjek dengan predikat ayat. Penggunaannya adalah untuk ayat yang predikatnya terdiri daripada FA atau FSN. Bagi ayat yang predikatnya terdiri daripada FN, kata pemeri yang gramatis ialah „ialah“. Dalam hal inilah kesalahan paling banyak dilakukan, iaitu menggunakan kata pemeri „adalah“ dalam ayat yang predikatnya ialah FN. Yang berikut ialah contoh penggunaan „adalah“ yang tidak gramatis.

1.2      Kata Sendi Nama


Kesalahan jenis ini adalah antara yang paling banyak dilakukan oleh pengguna bahasa. Puncanya adalah kerana kekurangan pengetahuan mengenai fungsi sesetengah kata sendi nama.  Kesalahan tersebut ialah menggunakan kata sendi nama “di“,  khususnya dalam frasa “di kalangan“ dan “di hari“; menggunakan kata sendi “ke“ dan “dari“ pada posisi hadapan frasa nama waktu, dan tidak dapat membezakan penggunaan kata sendi nama “dalam“ dengan frasa sendi nama “di dalam“ dan “antara“ dengan “di antara“.


1.2.1   “Di kalangan“ dan “Di hari“


Kata sendi di mengisi dua posisi sahaja, iaitu di hadapan frasa nama tempat (1a-c) dan frasa nama arah (2a-c).

(1) a. di pejabat
     b. di Universiti Sains Malaysia
     c. di Pulau Pinang

(2) a. di atas
     b. di hadapan
     c. di sebelah

Penggunaan kata sendi “di“ selain daripada dua posisi ini dianggap tidak gramatis. Oleh itu, penggunaan “di“ di hadapan frasa nama bukan tempat dan arah, misalnya frasa nama abstrak (3a) dan masa (3b-d) adalah tidak gramatis.

(3) a. *di kalangan
     b. *di hari
     c. *di zaman
     d. *di era

“Kalangan“ dalam (3a) sama erti dengan “golongan“ atau “kumpulan“. Oleh itu, kata sendi yang boleh hadir di hadapannya ialah “dalam“. “Hari“ (3b), “zaman“ (3c) dan “era“ (3d) ialah frasa nama masa. Oleh itu, kata sendi yang boleh hadir di hadapannya ialah “pada“.

(3) a. dalam kalangan
     b. pada hari
     c. pada zaman
     d. pada era

Contoh penggunaan dalam ayat adalah seperti (4a-d) yang berikut:

(4) a. Dia yang terpintar dalam kalangan pelajar kelas ini.
     b. Kelas bahasa Malaysia diadakan pada hari Rabu.
     c. Pada zaman batu, manusia dipercayai hidup di dalam gua.
     d. Kehidupan manusia pada era teknologi maklumat dan komunikasi ini sepatutnya
         lebih mudah.


1.2.2   “Di dalam“ dan “Dalam“


Frasa “di dalam“ ialah kombinasa kata sendi nama “di“ dan kata nama arah “dalam“. Frasa ini mengisi posisi hadapan frasa nama konkrit (5a-c). Secara bersendirian, “dalam“ boleh berfungsi sebagai kata sendi nama. Dalam fungsi ini, ia mengisi posisi hadapan frasa nama abstrak (6a-c).

(5) a. di dalam kotak
     b. di dalam kereta
     c. di dalam rumah

(6) a. dalam hal ini
     b. dalam masalah ini
     c. dalam situasi ini

Dalam (5a-c), “kotak“, “kereta“ dan “rumah“ ialah frasa nama konkrit. Oleh itu, penggunaan kata sendi nama “di“ dan arah “dalam“ adalah gramatis. Dalam situasi ini, kata sendi “dalam“ tidak boleh digunakan secara bersendirian.

(5’) a. *dalam kotak
       b. *dalam kereta
       c. *dalam rumah

Dalam (6a-c) pula, “hal ini“, “masalah ini“ dan “situasi ini“ ialah frasa nama abstrak. Oleh itu, penggunaan kata sendi nama “dalam“ adalah gramatis. Dalam situasi ini, penggunaan kata sendi “di“ adalah tidak gramatis.

(6’) a. *di dalam hal ini
      b. *di dalam masalah ini
      c. *di dalam situasi ini


1.2.3   “Di antara“ dan “Antara“


Frasa “di antara“ ialah kombinasi kata sendi nama  “di“ dan kata nama arah “antara“. Frasa ini digunakan untuk menunjukkan lokasi konkrit (7a-b) dan jarak (7c). Secara bersendirian, “antara“ boleh berfungsi sebagai kata sendi nama. Dalam fungsi ini, ia mengisi posisi hadapan frasa nama bukan lokasi (8a-c).

(7) a. Pulau Batu Putih terletak di antara Johor dengan Singapura.
     b. Di antara engkau dengan aku, ada dia.
     c. Jarak di antara Pulau Pinang dengan Kuala Lumpur ialah 450 kilometer.

(8) a. Perjanjian itu ditandatangi antara Malaysia dengan Singapura.
     b. Persetujuan ini adalah antara engkau dengan aku.
     c. Antara Siti dengan Sarah, siapa lebih cantik?

Dalam (7), (7a-b) menunjukkan lokasi konkrit sementara (7c) menunjukkan jarak. Oleh itu, penggunaan kata sendi nama “di“ dan arah “antara“ adalah gramatis. Dalam situasi ini, kata sendi “antara“ tidak boleh digunakan secara bersendirian.

(7’) a. *Pulau Batu Putih terletak antara Johor dengan Singapura.
       b. *Antara engkau dengan aku, ada dia.
       c. *Jarak antara Pulau Pinang dengan Kuala Lumpur ialah 450 kilometer.

Dalam (8a-c) pula, frasa “antara Malaysia dengan Singapura“, “antara engkau dengan aku“ dan “antara Siti dengan Sarah“ tidak menunjukkan lokasi. Oleh itu, penggunaan kata sendi nama “antara“ adalah gramatis. Dalam situasi ini, penggunaan frasa “di antara“ adalah tidak gramatis.

(8’) a. *Perjanjian itu ditandatangi di antara Malaysia dengan Singapura.
       b. *Persetujuan ini adalah di antara engkau dengan aku.
       c. *Di antara Siti dengan Sarah, siapa lebih cantik?

Nota: Padanan untuk “antara“ dan “di antara“ ialah “dengan“, bukan “dan“.


1.2.4   “Sejak dari“


Frasa “sejak dari“ ialah kombinasi dua kata sendi nama iaitu “sejak“ dan “dari“. Kombinasi sebegini, seperti yang ditunjukkan dalam ayat (9a-c), tidak dibenarkan kerana ia bersifat lewah (membazir perkataan).

(9) a. *Mereka mengikuti kursus itu sejak dari minggu lalu.
     b. *Siti dan Sarah bersahabat karib sejak dari kecil.
     
Cara yang gramatis ialah menggunakan kata “sejak“ sahaja. Dengan kata lain, kata sendi “dari“ perlu digugurkan daripada ayat (9a-b).

(9’) a. Mereka mengikuti kursus itu sejak minggu lalu.
       b. Siti dan Sarah bersahabat karib sejak kecil.


1.2.5   “Hingga ke“


Frasa “hingga“ ke ialah gabungan dua kata sendi iaitu “hingga“ dan “ke“. Kombinasi sebegini, seperti yang ditunjukkan dalam ayat (10a-b), tidak dibenarkan kerana ia bersifat lewah.

(10) a. *Ibnu Batutta mengembara hingga ke Asia Tenggara.
       b. *Sarah mengulang kaji pelajaran hingga ke subuh.

Cara yang gramatis ialah menggunakan “hingga“ sahaja. Dengan kata lain, kata sendi “ke“ perlu digugurkan daripada ayat (10a-b).

(10’) a. Ibnu Batutta mengembara hingga Asia Tenggara.
         b. Sarah mengulang kaji pelajaran hingga subuh.


1.2.6   “Dari“ dan “Daripada“


Kata sendi “dari“ mengisi posisi hadapan frasa nama tempat sementara kata sendi “daripada“ mengisi posisi hadapan frasa nama manusia dan institusi. Masalahnya ialah sesetengah frasa nama tempat juga merupakan frasa nama institusi. Contohnya ialah “sekolah“, “Universiti Sains Malaysia“ dan “pejabat kerajaan“. Dalam hal ini, rujukan frasa nama berkenaan dalam konteks ujaran perlu diperhatikan.

(11) a. Ali baru balik dari sekolah.
       b. Saya datang dari Universiti Sains Malaysia.
       c. Larian itu bermula dari pejabat kerajaan persekutuan.

(12) a. Permohonan ini datang daripada sekolah itu.
       b. Tawaran ini dikirim daripada Universiti Sains Malaysia.
       c. Notis itu diterima daripada pejabat kerajaan.

Dalam (11a-c), frasa nama “sekolah“, “Universiti Sains Malaysia“ dan “pejabat kerajaan persekutuan“ merujuk tempat. Oleh itu, penggunaan kata sendi nama yang gramatis ialah “dari“. Dalam (12a-c) pula, frasa nama “sekolah“, “Universiti Sains Malaysia“ dan “pejabat kerajaan“ merujuk institusi. Oleh itu, penggunaan kata sendi nama yang gramatis ialah “daripada“.


1.3      Kata Ganti Nama


Kata ganti nama digunakan untuk merujuk perkataan yang telah disebut/ditulis sebelum itu. Ia digunakan untuk merujuk benda hidup dan benda tidak hidup, baik yang konkrit atau abstrak, baik yang tunggal atau jamak. Dalam BM, penggunaan kata ganti nama, khususnya untuk diri pertama dan diri kedua, mempunyai konteks sosial yang amat kuat. Kesalahan yang biasa dilakukan dalam penggunaan kategori perkataan jenis ini ialah tidak mempunyai rujukan, salah rujukan dan salah konteks sosial.


1.3.1   “Ianya“


“Ianya“ ialah bentuk ganti nama yang tidak gramatis kerana ia menggabungkan dua kata ganti nama, iaitu “ia“ dan “nya“. Dalam BM, tidak wujud rumus yang membenarkan pembentukan perkataan seperti ini.

(13) *Ianya mempunyai implikasi yang besar terhadap pembangunan negara ini.

Ayat (13) tidak gramatis kerana penggunaan perkataan “ianya”. Untuk membetulkan ayat ini, gunakan ganti nama “ia” sahaja.

(13’) Ia mempunyai implikasi yang besar terhadap pembangunan negara ini.

Nota: Ganti nama “ia” boleh digunakan untuk merujuk benda, haiwan dan perkara
          abstrak, baik dalam bilangan tunggal atau banyak. Ia tidak boleh digunakan untuk
          merujuk manusia.


1.3.2   “Dia“


Kata ganti nama “dia“ digunakan untuk merujuk orang ketiga. Terdapat dua jenis kesalahan dalam penggunaan kata ganti nama ini. Pertama, “dia“ digunakan sebagai ganti nama pemilik (14a), dan kedua, sebagai ganti nama objek kata kerja transitif (14b).

(14) a. *Kita mesti memahami fungsi dia.
       b. *Kita mesti berusaha untuk memahami dia.

Ayat (14a) tidak gramatis kerana “dia” digunakan sebagai ganti nama pemilik. Ayat (14b) pula tidak gramatis kerana “dia“ digunakan sebagai objek kata kerja transitif “memahami“. Untuk ganti nama pemilik dan objek kata kerja transitif, ganti nama yang gramatis ialah “nya“.

(14’) a. Kita mesti memahami fungsinya.
        b. Kita mesti berusaha untuk memahaminya.


1.3.3   “Beliau”


“Beliau” ialah kata ganti nama orang ketiga. Kesalahan yang sering dilakukan dalam penggunaan kata ganti nama ini berpunca daripada kurang kefahaman mengenai penggunaaanya dalam konteks sosial. Kata ganti nama ini digunakan untuk orang yang mempunyai status sosial yang tinggi. Oleh itu, ia tidak boleh digunakan untuk orang yang mempunyai status sosial yang rendah, misalnya penagih dadah, perompak, atau kanak-kanak.

(15) a. *Beliau menjadi penagih dadah kerana terpedaya dengan pujukan rakan-rakannya.
       b. *Beliau mendapat tempat pertama dalam pertandingan bayi sihat itu.

Ayat (15a-b) tidak gramatis kerana kata ganti nama “beliau” digunakan untuk orang yang mempunyai status sosial yang rendah, iaitu penagih dadah (15a), dan kanak-kanak, iaitu “bayi” (14b). Dalam konteks ini, kata ganti nama yang gramatis ialah “dia”.

(15’) a. Dia menjadi penagih dadah kerana terpedaya dengan pujukan rakan-rakannya.
         b. Dia mendapat tempat pertama dalam pertandingan bayi sihat itu.


1.3.4   “Kami” dan “Kita”


“Kami“ dan “kita“ ialah kata ganti nama diri pertama. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan makna antara kedua-duanya. “Kami” merujuk penutur jamak tetapi tidak termasuk pendengar manakala “kita” merujuk penutur (tunggal atau jamak) dan termasuk juga pendengar. Oleh itu, untuk mengajak pendengar melakukan kebaikan, kata ganti nama yang digunakan ialah “kita”.

(16) Kita mestilah memertabatkan bahasa Melayu kerana ia jiwa bangsa kita.

Sekiranya kata ganti nama “kami” digunakan, bermakna pendengar tidak diajak sama dalam seruan tersebut.


1.3.4   “Kamu“ dan “Awak“


“Kamu“, “awak“, “engkau“ dan “kau“ ialah kata ganti nama orang kedua. Penggunaannya mempunyai konteks sosial yang amat kuat. Oleh itu, penutur boleh menggunakannya untuk pihak/orang tertentu sahaja, iaitu kawan rapat dan orang yang lebih muda daripada penutur. Ia tidak boleh digunakan kepada orang/pihak yang lebih tua atau mempunyai status sosial yang tinggi.

(17) Boleh kamu jelaskan kepada saya teori itu?

Penggunaan kata ganti nama “kamu“ dalam (17) dibenarkan jika penutur dan pendengar mempunyai taraf sosial dan umur yang setaraf, misalnya sama-sama pelajar universiti. Walau bagaimanapun, jika penutur dan pendengar tidak setaraf, misalnya penutur pelajar universiti manakala pendengar pula pensyarah, penggunaan kata ganti nama itu tidak dibenarkan.


1.3.5   “Mereka-mereka“, “Para-para Pelajar“ dan “Para Pelajar-pelajar“


Kata ganti nama “mereka“ tidak boleh digandakan kerana ia telah sedia mengandungi maksud jamak. Begitu juga, kata “para“ tidak boleh digandakan kerana ia juga telah sedia mengandungi maksud jamak.

(18) *Mereka-mereka yang berminat boleh menyertai pertandingan ini.
(19) *Para-para pelajar yang cemerlang sahaja diterima masuk ke sekolah berasrama
         penuh.

Ayat (18) dan (19) tidak gramatis kerana perkataan “mereka“ dan “para“ digandakan. Untuk menjana ayat yang gramatis, perkataan tersebut tidak boleh digandakan.

(18’) Mereka yang berminat boleh menyertai pertandingan ini.
(19’) Para pelajar yang cemerlang sahaja diterima masuk ke sekolah berasrama penuh.

Satu lagi jenis kesalahan ialah menggunakan “mereka“ sebagai kata nama am. Dengan kata lain, “mereka“ digunakan tanpa rujukan terhadap kata nama yang telah disebut/ditulis terlebih dahulu. Contoh kesalahan jenis ini adalah seperti (20) yang berikut:

(20) Persatuan ini akan mengadakan lawatan sambil belajar ke Putra Jaya. *Mereka yang
        berminat boleh mendaftarkan nama.

Ayat kedua dalam (20) tidak gramatis kerana kata ganti nama “mereka“ digunakan sebagai kata nama am. Sebagai kata ganti nama, “mereka“ perlu mempunyai rujukan terhadap kata nama yang ditulis/disebut sebelum itu. Dengan menggantikan “mereka“ dengan kata nama am, misalnya “sesiapa“, “para pelajar“ atau “ahli-ahli“, ayat (20’) yang dijana adalah gramatis.

(20’) Persatuan ini akan mengadakan lawatan sambil belajar ke Putra Jaya. Sesiapa yang
         berminat boleh mendaftarkan nama.

Penggunaan kata bilangan “semua“ sebagai kata nama am juga menyebabkan ayat (21) yang dijana tidak gramatis.

(21) Persatuan ini akan mengadakan lawatan sambil belajar ke Putra Jaya. *Semua yang
        berminat boleh mendaftarkan nama.

Ayat kedua dalam (21) tidak gramatis kerana penggunaan kata bilangan “semua“ sebagai kata nama am. Sebagai kata bilangan, “semua“ perlu diikuti oleh frasa nama.

(21’) Persatuan ini akan mengadakan lawatan sambil belajar ke Putra Jaya. Semua ahli 
         yang berminat boleh mendaftarkan nama.

Ayat kedua dalam (21’) gramatis kerana kata bilangan “semua“ diikuti oleh frasa nama am “ahli“ untuk membentukkan frasa nama “semua ahli“.

Satu lagi jenis kesalahan dalam penggunaan perkataan “para“ ialah menggandakan frasa nama yang mengikuti perkataan para tersebut.

(22) *Para pelajar-pelajar yang cemerlang sahaja diterima masuk ke sekolah berasrama
         penuh.

Ayat (22) tidak gramatis kerana penggandaan perkataan “pelajar“. Frasa “para pelajar“ telah sedia mengandungi maksud jamak. Oleh itu, menggandakan perkataan “pelajar“ (atau “para“) akan menyebabkan pembaziran perkataan (lewah). Atas alasan yang sama, kata nama yang hadir selepas kata “antara“ juga tidak boleh digandakan.

(23) *Antara pelajar-pelajar yang cemerlang adalah Siti dan sarah.

Ayat (23) tidak gramatis kerana frasa nama “pelajar“ digandakan. Ayat yang gramatis ialah (23’) yang berikut:

(23’) Antara pelajar yang cemerlang adalah Siti dan sarah.

Panduan: Kata pemeri bagi ayat yang bermula dengan kata sendi “antara“ ialah “adalah“.


1.4      Kata Perintah “Mulai”


“Mulai“ ialah kata perintah. Oleh itu, ia tidak boleh digunakan dalam ayat penyata.

(24) *Kita akan belajar bersungguh-sungguh mulai sekarang,.

Ayat (24) tidak gramatis kerana penggunaan kata perintah “mulai“ sedangkan (24) ialah ayat penyata. Dalam ayat penyata, penggunaan kata kerja biasa, iaitu “bermula daripada“, adalah gramatis.

(24’) Kita akan belajar bersungguh-sungguh bermula daripada sekarang.

Penggunaan kata “mulai“ dalam ayat perintah adalah seperti (25) yang berikut:

(25) Mulai menjawab soalan sekarang.


1.5      Kata Soal


Kata soal digunakan untuk menyoal (26), dan dalam keadaan ketidakpastian (27).

(26) Di mana saudara tinggal?
(27) Di mana bumi dipijak.

Ia tidak boleh digunakan dalam ayat penyata (28) dan (29).

(28) *... ialah penghasilan kimpalan titik atau unjuran di mana daya dikenakan secara
         manual pada elektrod dan benda kerja.

(29) *… ialah proses yang mana pelakuran dihasilkan secara pemanasan.

Ayat (28) dan (29) seharusnya ditulis seperti (28’) dan (29’) yang berikut:

(28’) ... ialah penghasilan kimpalan titik atau unjuran, iaitu daya dikenakan secara manual
         pada elektrod dan benda kerja.

(29’) … ialah proses penghasilan pelakuran secara pemanasan.


1.6      Kata Tunjuk


Kata tunjuk, iaitu “itu”, “ini”, “tersebut” dan “berkenaan”, hadir di hadapan frasa nama. Ia berfungsi untuk merujuk frasa nama yang sama yang telah disebut/ditulis sebelum itu atau frasa nama yang diketahui oleh pendengar/pembaca. Dalam hal ini, pengguguran kata tunjuk (30’) tidak dibenarkan.

(30) Negara ini akan maju jika kita bersatu padu.

(30’) *Negara akan maju jika kita bersatu padu.


1.7      Kata dan Imbuhan Penguat


Kata dan imbuhan penguat hadir di hadapan/belakang frasa adjektif. Fungsinya adalah untuk menguatkan lagi frasa adjektif tersebut. Contoh kata penguat ialah “sangat”, “paling”, “sekali” dan “nian”. Imbuhan penguat pula ialah “ter+”, “se+” dan “+nya”. Hanya satu kata/imbuhan penguat boleh hadir pada sesuatu frasa adjektif. Oleh itu, frasa adjektif yang menerima kehadiran dua atau lebih kata/imbuhan penguat adalah tidak gramatis.

(31) *Terutamanya
(32) *Terutama sekali
(33) *Terutamanya sekali
(34) *Sungguh indah nian

Frasa (31), tidak gramatis kerana adanya dua imbuhan penguat, iaitu “ter+” dan “+nya”. Frasa (32) tidak gramatis kerana adanya satu imbuhan penguat (ter+) dan satu kata penguat (sekali). Frasa (33) tidak gramatis kerana adanya dua imbuhan penguat (“ter+” dan “+nya”) dan satu kata penguat (sekali). Frasa (34) pula tidak gramatis kerana adanya dua kata penguat, iaitu “sungguh” dan “nian”.


1.8      Kata Sandang “Yang”


Kata sandang “yang” boleh berfungsi sebagai kata ganti nama. Walau bagaimanapun, “yang” berbeza daripada kata ganti nama biasa kerana ia boleh hadir bersama-sama dengan frasa nama yang digantikannya.

(35) Yang kurik itu kundi.
(35’) Biji yang kurik itu kundi.

Dalam (35) “yang” berfungsi sebagai ganti nama “biji” yang digugurkan. Dalam (35’) pula, “yang” hadir bersama-sama frasa nama “biji”. Kesalahan yang biasa dilakukan ialah menggugurkan kedua-duanya, iaitu kata sandang “yang” dan frasa namanya sekali, seperti dalam ayat yang berikut:

(36) *Berikut ialah senarai nama pelajar yang berjaya.

Kejanggalan (36) terletak pada frasa nama “berikut” yang melalui transformasi pengguguran dua perkataan, iaitu “senarai” dan “yang”, yang tidak dibenarkan. Frasa asalnya ialah “senarai yang berikut”. Perkataan yang boleh/mesti digugurkan hanyalah “senarai”, manakala “yang” tidak boleh digugurkan. Oleh itu, ayat yang gramatis ialah (36’).

(36’) Yang berikut ialah senarai nama pelajar yang berjaya.