PROF. ABDULLAH HASSAN | 30 November
2015.
*APABILA* pendidikan disampaikan dalam
bahasa kebangsaan sendiri kita dapat mengekalkan keaslian minda kita. Kita
dapat melihat bahawa negara-negara yang berbuat demikian mempunyai minda yang
kreatif untuk mencipta alat-alat dan kaedah untuk memperbaiki kehidupan mereka.
Kita dapat melihat Jepun. Jepun menerima
pendidikan Barat. Jepun meniru Barat. Tetapi, Jepun masih Jepun. Dari segi
budaya ia masih Jepun. Pentadbirannya, perdagangannya, sains dan teknologinya
antara yang terbaik di dunia. Inilah jatidiri Jepun. Ia timbul daripada
keaslian mindanya.
Penyampaian pendidikan melalui bahasa
kebangsaan sendiri telah mengekalkan minda asli yang kreatif dan jatidiri
sesuatu bangsa.
Hingga 500 tahun dulu, bahasa Jepun
tidak pun mempunyai sastera. Yang ada hanya lagu-lagu rakyat. Ilmu terkepung
dalam bahasa Cina. Pendidikan disampaikan melalui bahasa Cina. Rakyatnya
terasing daripada ilmu kerana tidak memahami bahasa Cina.
Pada tahun 1856 Commodore Perry datang
dan memaksa Jepun membuka pintunya kepada dunia. Jepun perlu membuat perubahan.
Jepun mesti belajar daripada Barat, menandingi Barat, dan mengalahkan Barat
dalam permainannya sendiri.
Bagaimanakah pemimpin Jepun membina
generasi Jepun moden? Pemimpin Jepun yang memulakan pembaruan pada Zaman Meiji,
Yukichi Fuzukawa, berkata Jepun hendaklah belajar daripada Barat untuk maju.
Count Okuma dalam laporannya mengenai
perkembangan pendidikan Jepun dalam Japan by Japanese (1924) mengatakan
pemimpinnya mahu Jepun kekal Jepun, untuk Jepun. Jepun mahu belajar daripada
Barat, tetapi mahu mengekalkan kebebasan belajar ilmu pengetahuan.
Mereka mementingkan kemandirian ilmu.
Bebas menurut kerangka minda Jepun. Dengan demikian Jepun mengekalkan keaslian
minda mereka.
Bagi menyampaikan ilmu kepada rakyatnya,
Meiji memilih bahasa yang paling luas digunakan. Jepun mempunyai empat
peringkat bahasa: bahasa bangsawan, bahasa perwira, bahasa pedagang, dan bahasa
petani dan wanita. Meiji memilih bahasa petani untuk menyampaikan ilmu, sebab bahasa
itulah yang paling luas penyebarannya.
Jepun juga menghadapi masalah guru,
bahasa pengantar, dan istilah.Pengalaman Jepun sama saja dengan pengalaman
Malaysia sekarang. Kita boleh belajar daripada Jepun. Selepas Jepun menerima
dan melaksanakan pendidikan Barat, ramai pelajar dihantar ke Eropah dan Amerika
untuk belajar dan membawa balik ilmu.
Oleh sebab kekurangan tenaga pengajar,
pada mulanya ramai pensyarah Amerika dan Eropah diambil bertugas di
universiti-universiti Jepun. Tetapi, sedikit demi sedikit mereka digantikan
oleh pensyarah Jepun yang pulang dari Eropah dan Amerika tadi.
Pada mulanya 80 peratus pensyarahnya
terdiri daripada ekspatriat, tetapi pada tahun 1904 bilangannya menjadi hanya
sekitar 30 peratus. Sekarang hampir tiada.
Bahasa Jepun pada masa itu tidak
mempunyai sistem ejaan sendiri, ia hanya menggunakan ejaan huruf kanji yang
diambil daripada sistem ejaan Cina.
Oleh sebab itu Jepun membentuk sistem
ejaannya sendiri, huruf hiragana untuk perkataan-perkatan Jepun dan katakana
untuk perkataan-perkataan pinjaman daripada bahasa asing.
Huruf kanji masih dikekalkan. Apabila
timbul masalah sebutan, Jepun memutuskan supaya sebutan menurut sebutan penutur
bahasa petani digunakan. Oleh sebab itu, tidak timbul kesukaran belajar dan menggunakan
bahasa Jepun dalam bidang ilmu.
Mereka juga pernah mencuba menggunakan
bahasa asing sebagai bahasa pengantar. Mereka mengajarkan ilmu medan perang
dalam bahasa Rusia, undang-undang dan falsafah dalam bahasa Perancis,
kejuruteraan dan sains dalam bahasa Jerman, dan kemanusiaan dalam bahasa
Inggeris. Amalan ini dihentikan kerana pendidikan tidak sampai dengan sempurna.
Jepun telah mementingkan menguasai ilmu
dengan bebas menurut kerangkanya sendiri. Jepun juga telah menggunakan
bahasanya sendiri untuk menyampaikan ilmu supaya dikuasai oleh semua rakyat.
Buku-buku teks dan rujukan diterjemahkan untuk kepentingan pelajar.
Pada hari ini kita dapat melihat
bagaimana Jepun telah menyerap pendidikan Barat sepenuhnya, tetapi keaslian
mindanya masih kekal. Kita melihat kreativitinya meningkat. Mereka menyerap
ilmu barat, tetapi berhasil mencipta barangan Jepun, televisyen Jepun, kamera
Jepun, kereta Jepun, jam kuartza Jepun, dan lain-lain.
Kita dapat melihat betapa mereka menjadi
kreatif kerana tidak terkepung dalam minda budaya lain. Minda Jepun menjadi
dominan. Minda Jepun dapat menggunakan ilmu sains untuk membina barangan yang
diperlukan.
Mereka telah berjaya belajar ilmu dari
Barat, kemudian mereka mengungkapkan semula ilmu itu menurut acuan Jepun bagi
menyelesaikan masalah mereka sendiri, menurut keperluan mereka sendiri.
Mereka berhasil mengambil ciri-ciri
moden dari Barat dan membawa masuk ciri-ciri itu dalam masyarakat Jepun supaya
Jepun menjadi moden. Mereka tidak mengadaptasi segala-galanya, bahasa, budaya
dan ciri-ciri barat untuk menjadi manusia moden.
Daripada Barat mereka belajar ilmu
sains. Kemudian, mereka mengolah semula ilmu ini untuk keperluan hidup mereka.
Contohnya, daripada sains haba dan logam, asas, Jepun mencipta periuk nasi
automatik.
Mereka menyesuaikan ilmu daripada barat
bagi memperbaiki kehidupan masyarakat Jepun. Bangsa Asia lain yang memakan nasi
ramai, seperti India, Bangladesh, Pakistan, dan Sri Lanka.
Tetapi, oleh sebab mereka menerima
pendidikan dalam bahasa asing, minda mereka tidak asli, dan kreativiti mereka
tidak timbul walaupun negara-negara ini mempunyai banyak ilmuwan.
Minda Jepun masih asli. Dengan ilmu yang
dipelajari dari Barat, mereka mengolah semuanya untuk menyelesaiakn masalah
kehidupan mereka.
Jepun belajar teknologi Barat yang
menggunakan traktor untuk membajak ladang, mereka ungkapkan semula teknologi
itu menjadi traktor kubota untuk keperluan sawahnya.
Mereka belajar tentang enjin penjana
elektrik yang mampu mengeluarkan berjuta megawat tenaga, mereka ungkapkan
semula teknologi itu menjadi penjana elektrik bimbit yang dapat dibawa ke
mana-mana. Dan banyak lagi.
Mereka mendapat kekayaan daripada
ciptaan mereka. Barangan yang dicipta oleh Jepun itu tidak pun menggunakan ilmu
dan teknologi tinggi seperti pengetahuan sains untuk mencipta periuk nasi
automatik.
Tetapi, hasilnya mendatangkan kekayaan
kepada negaranya. Mereka meminjam dan membeli teknologi Barat, kemudian
diungkapkan semula menjadi teknologi Jepun.
Mereka belajar ilmu dengan bebas, tidak
mengikut kerangka minda bahasa asing. Dengan itu mereka mengekalkan keaslian
dan kreativiti mindanya.
Thailand juga menyampaikan pendidikannya
dalam bahasa kebangsaan, dan minda orang Thai kekal asli dan kreatif. Begitu
juga Indonesia, Korea, Cina, Taiwan, dan Hong Kong. Malah seluruh rantau
Asia-Pasifik mengalami
perkembangan ekonomi pesat.
Inilah juga kawasan yang menggunakan
bahasa kebangsaan dalam pendidikan. Negara-negara yang menggunakan bahasa asing
untuk menyampaikan pendidikan tidak dapat menyaingi kepesatan perkembangan
ekonomi bangsa-bangsa yang mindanya asli. Minda mereka lebih kreatif untuk menjana
idea bagi menyelesaikan masalah mereka sendiri.
Korelasi antara pendidikan yang
disampaikan melalui bahasa kebangsaan sendiri dengan kejayaan ekonomi adalah
suatu bukti yang nyata. Ia adalah hubungan sebab akibat. Pendidikan yang
disampaikan melalui bahasa kebangsaan sendiri telah dapat membina Rakyat yang
berpendidikan.
Rakyat yang berpendidikan ini
mengembangkan ekonomi negara. Bukti ini sudah cukup. Inilah dasar bahasa yang
akan dapat menentukan survival kita dalam abad ke-21.
Kita masih perlu mengimport ilmu ke
dalam bahasa Melayu, sama seperti yang dilakukan oleh Jepun. Tugas ini perlu
kita beri perhatian bersama. Gabungan tenaga dan usaha akan memperbanyak
produktiviti dan mempercepat penyebaran ilmu. – *HARAKAHDAILY 30/11/2015*
Tiada ulasan:
Catat Ulasan