Oleh Mohd Rashid Darham
Dalam pembelajaran bahasa, menguasai penggunaan perkataan secara gramatis merupakan aspek yang paling penting. Untuk mencapai penguasaan ini, antara perkara paling asas yang perlu diketahui adalah jenis perkataan, selain makna dan konteks penggunaannya. Kesilapan mengkategorikan sesuatu perkataan boleh mengakibatkan penjanaan frasa dan ayat yang tidak gramatis. Untuk memastikan jenis sesuatu perkataan, pengetahuan mengenai ciri perkataan berkenaan semata-mata belum memadai. Aspek yang lebih penting ialah pengetahuan tentang fungsi perkataan tersebut dalam ayat.
Pergantungan pada aspek ciri semata-mata boleh mengakibatkan kekeliruan dan kesilapan dalam penjenisan sesuatu perkataan. Antara perkataan yang boleh menyebabkan keadaan ini adalah banyak. Berdasarkan cirinya yang boleh menerima kehadiran kata/imbuhan penguat, banyak memang berpotensi untuk dikategorikan sebagai kata adjektif (KA). Persamaan ketara ciri banyak dengan KA, misalnya pintar, besar, pantas, jelas dan lazat, dapat dilihat dalam jadual (1) yang berikut:
Jadual (1): Persamaan ciri banyak dengan KA
Pintar amat pintar pintar sekali sungguh pintar terpintar pintarnya
Besar amat besar besar sekali sungguh besar terbesar besarnya
Pantas amat pantas pantas sekali pantas sungguh terpantas pantasnya
Jelas amat jelas jelas sekali jelas sungguh terjelas jelasnya
Lazat amat lazat lazat sekali lazat sungguh terlazat lazatnya
Banyak amat banyak banyak sekali sungguh banyak terbanyak banyaknya
Walau bagaimanapun, pengkategorian sesuatu perkataan berdasarkan cirinya semata-mata belum memadai. Hal ini sedemikian kerana terdapat sebilangan perkataan yang berbeza kategori tetapi mempunyai ciri yang sama. Contoh frasa (2a-g) yang berikut dapat membuktikan kenyataan ini.
(2) a. Amat menyanjung
b. Amat membantu
c. Paling menitikberatkan
d. Sangat dihargai
e. Sungguh dimuliakan
f. Sangat terdesak
g. Amat berhasrat
Dalam (2a-g), menyanjung, membantu, menitikberatkan, dihargai, dimuliakan, terdesak dan berhasrat ialah kata kerja (KK). Menyanjung, membantu dan terdesak ialah KK asal manakala menitikberatkan, dihargai, dimuliakan dan berhasrat ialah KK terbitan. Semua KK ini dapat menerima kehadiran kata penguat seperti amat, sangat, sungguh dan paling.
Oleh sebab pengkategorian perkataan berdasarkan ciri semata-mata tidak menjamin ketepatannya, kaedah lain perlu digunakan untuk mengatasi masalah ini. Kaedah lain yang biasa digunakan adalah dengan melihat fungsi sesuatu perkataan. Untuk menentukan sama ada banyak dapat dikategorikan sebagai KA, perlu diteliti sama ada ia dapat memenuhi tiga fungsi utama KA, iaitu (3a-c) yang berikut:
(3) a. Penerang kata nama (KN) dalam pembentukan frasa nama (FN)
b. Penerang KK dalam pembentukan frasa kerja (FK)
c. Predikat ayat
Contoh KA yang berfungsi sebagai penerang KN dapat dilihat dalam ayat (4a-c) yang berikut:
(4) a. Pelajar pintar itu menyambung pelajaran di luar negara.
b. Rumah besar itu bernilai kira-kira RM500,000.
c. Pelari pantas itu memenangi perlumbaan 100 meter.
Dalam (4a-c), KA pintar, besar dan pantas masing-masing berfungsi menjadi penerang KN pelajar, rumah dan pelari. Contoh KA yang berfungsi sebagai penerang KK dapat dilihat dalam ayat (5a-c) yang berikut:
(5) a. Angin bertiup kencang malam tadi.
b. Kita jangan ketawa besar melihat kejatuhan orang lain.
c. Usain Bolt memecut pantas untuk memenangi perlumbaan itu.
Dalam (5a-c), KA kencang, besar dan pantas masing-masing berfungsi menjadi penerang KK bertiup, ketawa dan memecut. Contoh KA yang berfungsi sebagai predikat ayat dapat dilihat dalam ayat (6a-c) yang berikut:
(6) a. Pelajar itu pintar.
b. Rumah itu besar.
c. Pelari itu pantas.
Dalam (6a-c), KA pintar, besar dan pantas masing-masing berfungsi sebagai predikat ayat (6a), (6b) dan (6c). Sekiranya pengkategorian banyak sebagai KA hendak dipertahan, ia harus dapat memenuhi fungsi-fungsi ini. Sebagai penerang KN, banyak dapat menimbulkan masalah. Hal ini dapat diperhatikan daripada ayat (7a-d) yang berikut:
(7) a. *Buku banyak dibeli oleh Sarah.
b. *Wang banyak tidak menjamin kebahagiaan.
c. *Ikan mengandungi protein banyak.
d. *Beliau mempunyai idea banyak.
Kejanggalan (7a-d) adalah kerana binaan FN buku banyak, wang banyak, protein banyak dan idea banyak yang tidak jitu. Keadaan ini menunjukkan bahawa banyak tidak dapat memenuhi fungsi sebagai penerang FN, baik FN berkenaan berfungsi sebagai subjek ayat (7a-b) mahupun objek ayat (7c-d).
Sebagai penerang KK, banyak juga dapat menimbulkan masalah. Hal ini dapat diperhatikan daripada ayat (8a-d) yang berikut:
(8) a. *Kita belajar banyak daripada pengalaman.
b. *Atlet itu berlatih banyak.
c. *Kita disarankan bersukan banyak untuk menyihatkan tubuh.
d. *Kita dinasihati supaya berbuat baik banyak.
Kejanggalan (8a-d) adalah kerana binaan FK belajar banyak, berlatih banyak, bersukan banyak dan berbuat baik banyak yang tidak jitu. Keadaan ini menunjukkan bahawa banyak tidak dapat memenuhi fungsi sebagai penerang FK, baik FK berkenaan berfungsi sebagai FK utama (8a-b), FK sampingan (8c) mahupun FK subklausa (8d).
Walau bagaimanapun, sebagai predikat ayat, banyak tidak menimbulkan masalah. Hal ini dapat diperhatikan daripada ayat (9a-c) yang berikut:
(9) a. Buku di atas rak itu banyak.
b. Wangnya banyak.
c. Protein ikan banyak.
Ayat (9a-c), yang predikatnya ialah banyak, adalah gramatis. Hal ini menunjukkan bahawa banyak dapat memenuhi fungsi sebagai predikat ayat.
Daripada tiga fungsi utama KA yang telah dibincangkan, banyak hanya dapat memenuhi satu fungsi iaitu sebagai predikat ayat. Walau bagaimanapun, keadaan ini belum memadai untuk membolehkan kesimpulan dibuat bahawa banyak ialah KA. Hal ini kerana fungsi ini (predikat ayat) juga dapat dipenuhi oleh kesemua kategori frasa yang lain, iaitu FK, FN dan FSN, selain FA sendiri. Ayat (10a-d) yang berikut dapat membuktikan hakikat ini:
(10) a. Naufa mengulang kaji pelajaran di rumah.
b. Muhammad pelajar terbaik sekolahnya.
c. Sarah ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran.
d. Pekerja itu rajin dan berdedikasi.
Predikat ayat (10a-d) terdiri daripada FK mengulang kaji, FN pelajar terbaik, FSN ke luar negara dan FA rajin. Kejituan ayat-ayat ini membuktikan bahawa semua kategori frasa dapat berfungsi sebagai predikat ayat.
Oleh sebab banyak tidak dapat berfungsi sebagai penerang KN dan KK, kemungkinannya ialah ia tidak dapat dikategorikan sebagai KN, KK dan juga KA. Hal ini kerana ketiga-tiga kategori frasa ini dapat memenuhi fungsi berkenaan.
(11) a. Dewan peperiksaan
b. Bilik tidur
c. Rumah usang
d. Berlari-lari anak
e. Terbang pulang
f. Berjalan pantas
Penerang KN dewan, bilik dan rumah dalam (11a-c) terdiri daripada KN peperiksaan, KK tidur dan KA usang. Penerang KK berlari-lari, terbang dan berjalan dalam (11d-f) terdiri daripada kategori kata yang sama, iaitu KN anak, KK pulang dan KA pantas. Penelitian ini menunjukkan bahawa KK, KN dan KA dapat memenuhi fungsi sebagai penerang FN dan FK.
Oleh sebab banyak tidak dapat memenuhi fungsi ini, kemungkinan ia dimasukkan ke dalam kategori perkataan lain (kata tugas) harus diteroka. Untuk tujuan ini, perhatikan semula ayat (7a-d) yang tidak gramatis kerana posisi banyak adalah di belakang KN. Sekiranya banyak diletakkan di hadapan KN, ayat yang terjana (7a’-d’) adalah jitu.
(7) a’. Banyak buku dibeli oleh Sarah.
b’. Banyak wang tidak menjamin kebahagiaan.
c’. Ikan mengandungi banyak protein.
d’. Beliau mempunyai banyak idea.
Dalam keadaan yang merupakan kekecualian daripada hukum D-M (Diterangkan-Menerangkan) dalam pembentukan sesuatu FN, Tatabahasa Dewan (TD) edisi ketiga (2008: Hlm. 378) menggariskan dua kategori perkataan yang dapat hadir di hadapan KN untuk berfungsi sebagai penerang KN berkenaan. Dua kategori perkataan tersebut ialah bilangan dan panggilan/gelaran. Dari segi makna atau semantik, diketahui bahawa banyak bukan kata panggilan/gelaran. Oleh itu, kemungkinan banyak dikategorikan sebagai kata bilangan harus diteroka. Antara contoh kata bilangan yang berfungsi sebagai penerang KN yang diberikan oleh TD adalah:
(12) a. Sekawan burung
b. Sekalian hadirin
c. Segelintir penduduk
d. Semua pasukan
e. Segala perkakas
f. Para tetamu
Ujian penggantian kata bilangan sekawan, sekalian, segelintir, semua, segala, dan para dengan kata banyak tidak menghadapi sebarang masalah. Dengan kata lain, FN yang terbentuk (12a’-f’) tetap gramatis.
(12) a’. Banyak burung
b’. Banyak/ramai hadirin
c’. Banyak/ramai penduduk
d’. Banyak pasukan
e’. Banyak perkakas
f’. Banyak/ramai tetamu
Hasil ujian ini menunjukkan bahawa banyak lebih berpotensi untuk dikategorikan sebagai kata bilangan, bukannya KA. Selain itu, dalam penjelasannya mengenai penjenisan KA, TD (2008: Hlm. 226-234) membahagikan KA kepada sekurang-kurang sembilan jenis, iaitu:
(13) a. Sifatan atau keadaan
b. Warna
c. Ukuran
d. Bentuk
e. Waktu
f. Jarak
g. Cara
h. Perasaan
i. Pancaindera
Daripada sembilan jenis KA ini, tiada satupun nampaknya yang dapat menerima banyak sebagai ahlinya. TD juga tidak mengemukakan banyak dalam mana-mana contoh KA yang diberikan.
Dari segi makna juga, banyak lebih rapat hubungannya dengan maksud bilangan, khususnya bilangan tidak tentu. Hal ini sedemikian kerana banyak hanya boleh digandingkan dengan KN sekiranya KN berkenaan merujuk maksud bilangan jamak. Hal ini berbeza dengan KA yang dapat digandingkan dengan KN tanpa mengira sama ada KN berkenaan merujuk maksud bilangan tunggal atau jamak.
Walau bagaimanapun, sebelum keputusan yang lebih meyakinkan dapat dibuat, ada seperkara lagi yang harus diperhatikan. Ia berkaitan dengan kebolehan banyak hadir di hadapan KK dalam pembentukan FK. Sebagai contoh, perhatikan semula ayat (8a-d) yang diubahsuai dengan mengubah kedudukan banyak ke hadapan KK, dan dicatatkan semula sebagai (8a’-d’).
(8) a’. Kita banyak belajar daripada pengalaman.
b’. Atlet itu banyak berlatih.
c’. Kita disarankan banyak bersukan untuk menyihatkan tubuh.
d’. Kita dinasihati supaya banyak berbuat baik.
Ayat (8a’-d’) gramatis kerana kedudukan banyak adalah di hadapan FK belajar, berlatih, bersukan dan berbuat baik. Keadaan ini tidak mendatangkan masalah kerana kata bilangan sememangnya dapat hadir di hadapan KK (14a-d).
(14) a. Sekali pandang
b. Seratus kali mencuba
c. Beberapa kali meraih kejayaan
d. Kerap (kali) datang
Dalam (14a-d), kata bilangan tentu sekali dan seratus kali masing-masing hadir di hadapan KK pandang dan mencuba, manakala kata bilangan tidak tentu beberapa kali dan kerap kali masing-masing hadir di hadapan KK meraih kejayaan dan datang. Kejituan (14a-d) menunjukkan bahawa kata bilangan sememangnya dapat hadir di hadapan KK.
Daripada pemerhatian ini, dapatlah disimpulkan bahawa banyak lebih berpotensi untuk dikategorikan sebagai kata bilangan berbanding KA. Seperti yang telah ditunjukkan, pengkategorian banyak sebagai kata bilangan tidak menimbulkan masalah dalam pembinaan FN dan FK, seterusnya dalam pembinaan ayat juga. Keadaan sebaliknya wujud apabila banyak dikategorikan sebagai KA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan