Pengenalan
Penggunaan imbuhan ialah salah satu aspek yang dapat
mengelirukan pengguna BM. Penggunaan imbuhan yang paling banyak mengelirukan
ialah akhiran +kan dan +i serta +per dalam pembentukan kata kerja transitif.
Begitu juga penggunaan bentuk imbuhan peN, khususnya perbezaan antara pe+
dengan per+, dalam pembentukan kata nama.
Pelaksanaan atau Perlaksanaan?
Salah
satu kekeliruan yang sering dihadapi oleh pengguna BM adalah berhubung dengan
penggunaan bentuk imbuhan peN+ dalam penjanaan kata nama. Kekeliruan ini
menyebabkan kesalahan ejaan perkataan berkenaan. Misalnya, “pelaksanaan” dieja
sebagai “perlaksanaan”, “pemohonan” dieja sebagai “permohonan” dan “peletakan”
dieja sebagai “perletakan”.
Sebenarnyanya,
kekeliruan ini boleh diatasi dengan mudah sekiranya pengguna mengetahui panduan
dan rumus penjanaan kata nama dengan menggunakan imbuhan ini. Panduannya adalah
dengan melihat bentuk imbuhan awalan pada kata kerja yang daripadanya kata nama
itu diterbitkan (Jadual 1).
(1)
Bentuk imbuhan peN+ pada kata nama
Bentuk imbuhan pada kata
kerja
|
Bentuk imbuhan pada kata
nama
|
Melaksanakan projek
|
Pelaksanaan projek
|
Membasmi kemiskinan
|
Pembasmian kemsikinan
|
Mentadbir negara
|
Pentadbiran
negara
|
Menggalakkan
pelaburan
|
Penggalakan pelaburan
|
Mengebumikan jenazah
|
Pengebumian jenazah
|
Berkembang pesat
|
Perkembangan pesat
|
Penggunaan Imbuhan meN+ dalam Pembentukan Kata Kerja
Dua masalah berkaitan penggunaan bentuk imbuhan meN+ akan
dibincangkan dalam bahagian ini. Masalah pertama terlihat dalam penerbitan kata
kerja “memperkasakan“ (*memerkasakan). Masalah kedua pula terlihat dalam
pembentukan kata kerja “mengetengahkan“ (*mengenengahkan) dan “mengetepikan“
(*mengenepikan).
Memerkasakan atau Memperkasakan?
Salah satu imbuhan yang
boleh mengelirukan pengguna bahasa ialah awalan meN+ yang berfungsi untuk
menerbitkan kata kerja. Hal ini kerana imbuhan ini mempunyai bentuk yang paling
pelbagai, iaitu me+, mem+, men+, meng+ dan menge+. Perubahan bentuk awalan meN+
ini lazimnya bergantung pada huruf pertama kata dasar yang menerima kehadiran
imbuhan tersebut. Misalnya, awalan me+ hadir pada kata dasar yang bermula
dengan huruf ”l” (misalnya ”lihat” menjadi ”melihat”), ”m” (”masuk” –
”memasuki”, ”memasukkan”), ”n” (”nanti” – ”menanti”), ”r” (”rawat” –
”merawat”), dan ”w” (”wakil” – ”mewakili”, ”mewakilkan”).
Walau bagaimanapun,
perubahan bentuk awalan meN+ tidak hanya ditentukan oleh huruf pertama kata
dasar yang menerima imbuhan tersebut. Kata dasar yang bermula dengan huruf ”p”
ialah contoh ketara untuk menunjukkan bahawa huruf pertama kata dasar bukan
faktor tunggal yang menentukan bentuk awalan meN+. Hal ini dapat diperhatikan
daripada senarai perkataan (2a-l) yang berikut:
(2) a. Memahat
b. Memantau
c. Memeranjatkan
d. Mempesonakan
e. Memelihara
f. Memporak-perandakan
g. Mempelawa
h. Memenjarakan
i. Mempelopori
j. Mempengaruhi
k. Memproses
l. Mengepos
Daripada senarai perkataan
(2a-l), dapat dilihat penggunaan tiga bentuk awalan meN+, iaitu me+ (”memahat”,
”memantau”, ”memeranjatkan”, ”memelihara” dan ”memenjarakan”), mem+
(”mempesonakan”, ”memporak-perandakan”, ”mempelawa”, ”mempelopori”,
”mempengaruhi” dan ”memproses”) dan menge+ (”mengepos”), walaupun kesemua kata
dasarnya bermula dengan huruf ”p”. Keadaan ini boleh mengelirukan sekiranya
seseorang pengguna bahasa kurang arif mengenai faktor-faktor lain, selain huruf
pertama kata dasar, yang turut mempengaruhi bentuk awalan meN+.
Selain huruf pertama kata
dasar, bentuk awalan meN+ juga dipengaruhi oleh bilangan suku kata kata dasar.
Bagi kata dasar yang bermula dengan huruf ”p” dan mempunyai dua suku kata,
bentuk awalan meN+ yang gramatis ialah me+ dengan huruf pertama pada kata dasar
tersebut bertukar menjadi ”m”. Contoh yang terdapat dalam senarai perkataan (2a-l)
ialah ”memahat” (daripada kata dasar ”pahat”) dan ”memantau” (daripada kata
dasar ”pantau”). Oleh sebab itu, bentuk awalan meN+ yang gramatis bagi kata
kerja yang diterbitkan daripada kata adjektif ”pasti” ialah me+ (”memastikan”),
bukan mem+ (”mempastikan”).
Bagi kata dasar yang
mempunyai tiga atau lebih suku kata pula, sebahagiannya menerima kehadiran
awalan me+ sementara sebahagian yang lain menerima kehadiran awalan mem+. Dalam
hal ini, terdapat dua panduan yang boleh digunakan. Yang pertama, jika suku
kata pertama kata dasar ialah imbuhan per+, bentuk awalan meN+ yang gramatis
ialah mem+ dengan huruf ”p” pada kata dasar tersebut dikekalkan. Contohnya
ialah ”memperbesar” (daripada kata dasar ”perbesar”), ”memperluas” (daripada
kata dasar ”perluas”) dan ”memperelok” (daripada kata dasar ”perelok”).
Yang kedua, jika kata dasar
tersebut ialah kata adjektif, bentuk meN+ yang gramatis ialah mem+ dengan huruf
”p” pada kata dasar tersebut dikekalkan. Senarai perkataan (3a-f) yang dikutip
daripada Kamus Milenium (2000:522-531) dapat membukti kenyataan ini.
(3) a. Mempedulikan
b. Mempercayai
c. Mempelbagaikan
d. Mempesonakan
e. Memperlahankan
f. Memperkasakan
g. Memeranjatkan
Daripada senarai perkataan
(3f), dapat disimpulkan bahawa bentuk yang gramatis bagi pengimbuhan meN+ pada
kata dasar ”perkasa” ialah mem+ dengan huruf ”p” dikekalkan. Oleh itu, bentuk kata
kerja transtitif aktif yang gramatis ialah ”memperkasakan”, bukannya
”memerkasakan”. Perlu juga dijelaskan bahawa suku kata ”per” dalam perkataan
”perkasa” bukan imbuhan dan ”perkasa” ialah kata adjektif. Oleh itu, kehadiran
imbuhan akhiran +kan dalam penjanaan kata
kerja transitif ”memperkasakan” adalah diperlukan. Dengan kata lain,
”memperkasa” (tanpa akhiran +kan) adalah bentuk yang tidak gramatis.
Perkataan ”memeranjatkan”
(3g) pula ialah kekecualian kerana kata dasarnya, iaitu ”peranjat”, adalah
berbeza daripada kata dasar yang lain (3a-f). Hal ini kerana kata dasar
”peranjat” tergolong dalam kata akar,
iaitu perkataan yang mesti digunakan bersama kehadiran imbuhan. Dengan kata
lain, perkataan ”peranjat” tidak boleh berdiri sendiri.
Bagi kata dasar yang terdiri daripada kata kerja dan kata
nama, sebahagiannya menerima kehadiran awalan meN+ dalam bentuk me+ sementara
sebahagian yang lain dalam bentuk mem+. Senarai perkataan (4a-g) dan (5a-i)
yang dikutip daripada kamus yang sama membukti kenyataan ini. Senarai perkataan
(4a-g) diterbitkan daripada kata kerja sebagai kata dasar sementara senarai
perkataan (5a-i) diterbitkan daripada kata nama sebagai kata dasar.
(4) a. Memelihara
b. Memeriksa
c. Memerintah
d. Memulihara
e. Mempelawa
f. Memperkosa
g. Memperonyokkan
h. Memperosokkan
(5) a. Memenjarakan
b. Memerangkap
c. Memerihalkan
d. Memeringkatkan
e. Memusakai
f. Mempelopori
g. Mempengaruhi
h. Mempelajari
Dalam hal ini, tiada panduan atau rumus tertentu yang
boleh digunakan. Oleh itu, kemahiran berbahasa amat dituntut untuk menentukan
bentuk awalan meN+ yang gramatis.
Panduan seterusnya ialah bagi kata dasar yang mengandungi
satu suku kata, bentuk meN+ yang gramatis ialah menge+ dengan huruf ”p” pada
kata dasar dikekalkan. Senarai perkataan (6a-c) yang berikut membukti kenyataan
ini.
(6) a. Mengepam
b. Mengepin
c. Mengepos
Panduan terakhir ialah bagi kata dasar yang merupakan
kata ambilan, khususnya daripada bahasa Inggeris (BI), bentuk meN+ yang
gramatis ialah mem+ dengan huruf ”p” pada kata dasar dikekalkan. Senarai
perkataan (7-h) yang berikut membukti kenyataan ini.
(7) a. Mempraktikkan
b. Memproses
c. Memprotes
d. Memplagiat
e. Mempopularkan
f. Mempolitikkan
g. Mempolemikkan
h. Mempotretkan
i. Mempamerkan
Semua kata dasar dalam (7a-i) ialah kata ambilan daripada
bahasa asing. Kata dasar dalam (7a-h) diambil daripada BI iaitu practice, process, protest, plagiarise,
popular, politic, polemic dan potrait.
Kata dasar dalam (7i) pula diambil daripada bahasa Jawa iaitu pamer.
Mesti Mengetengahkan, Jangan Mengenepikan
Ejaan yang gramatis ialah “mengetengahkan“ dan “mengetepikan“,
bukan “mengenengahkan“ dan “mengenepikan“. Hal ini kerana kata dasar yang
daripadanya dua kata kerja tersebut diterbitkan ialah “ke tengah“ dan “ke tepi“.
Huruf yang mengalami perubahan hanyalah huruf pertama, iaitu “k“ menjadi “ng“.
Huruf seterusnya, yang ketiga dalam kes ini iaitu “t“ tidak boleh mengalami
perubahan menjadi “n“.
Nota: Perkataan yang
menerima imbuhan awalan dan akhiran hendaklah dieja secara
bersambung (menjadi satu perkataan)
walaupun pada asalnya perkataan tersebut
dieja secara terpisah (dua
perkataan).
Penggunaan Imbuhan +i, +kan/+per dalam Pembentukan Kata Kerja
Penggunaan imbuhan akhiran, iaitu +i, +kan dan juga +per
dalam pembentukan kata kerja transitif ialah satu lagi aspek yang sering
mengelirukan pengguna BM. Imbuhan-imbuhan ini mempunyai fungsi dan makna
tertentu yang mempengaruhi struktur ayat, khususnya jenis objek dan subjek
ayat. Oleh itu, pemahaman mengenai fungsi dan makna imbuhan-imbuhan ini adalah
penting untuk membolehkan pembentukan perkataan dan ayat yang gramatis.
Jangan Maafkan Saya, Maafilah Saya
“Maaf“ ialah kata nama. Imbuhan +kan pada kata kerja
transitif yang diterbitkan daripada kata nama mendukung maksud sama ada “menjadikan“
(8) atau “memasukkan“ (9). Imbuhan +i pula bermaksud sama ada “menjadi“ (10)
atau “memberi“ (11).
(8) Rakyat Melaka merajakan Parameswara.
(9) Pak Mat menyekolahkan anak-anaknya.
(10) Parameswara merajai Melaka.
(11) Dia menasihati saya supaya bersabar.
Ayat (8) bermaksud “rakyat Melaku menjadikan Parameswara
raja“. Ayat (9) bermaksud “Pak Mat
memasukkan anak-anaknya ke sekolah“. Ayat (10) pula bermaksud “ Parameswara
menjadikan raja Melaku“. Seterusnya, ayat (11) bermaksud “dia memberi saya
nasihat supaya bersabar“.
Oleh itu, kedua-dua maksud “maafkan saya“, iaitu “jadikan
saya maaf“ atau “masukkan saya maaf“ adalah tidak menasabah. Sebaliknya, maksud
“maafi saya“, iaitu “beri saya maaf“ adalan menasabah. Begitu juga maksud
“izini saya“, iaitu “beri saya izin“ adalah menasabah berbanding maksud
“izinkan saya“.
Salji Memutihi, Salmi Memutihkan
“Putih“ ialah kata adjektif. Perbezaan imbuhan +kan dengan
+i pada kata kerja transitif yang diterbitkan daripada kata adjektif terletak
pada jenis subjek ayatnya. Subjek ayat bagi kata kerja transitif berimbuhan +i
ialah pemangkin (12) sementara jenis subjek pada kata kerja transitif
berimbuhan +kan ialah agen (13).
(12) Salji memutihi puncak Fuji.
(13) Salmi memutihkan kasutnya dengan kapur.
Subjek ayat (12), iaitu “salji“, ialah pemangkin
sementara subjek ayat (13), iaitu “Salmi“, ialah agen. Contoh lain bagi kata
kerja transitif jenis ini ialah “mengindahi“ (14) dan “mengindahkan“ (15).
(14) Pohon-pohon yang berbunga mengindahi taman itu.
(15) Para pekerja bandaran mengindahkan taman itu.
Beza Memberi dan Memberikan
“Memberi“ dan “memberikan“ adalah antara sebilangan kecil
kata kerja transitif dua objek. Dengan kata lain, kata kerja transitif jenis
ini memerlukan kehadiran dua objek untuk menyempurnakan maksud ayatnya.
Perbezaan antara kedua-dua kata kerja transitif ini ialah jenis objek tepat
masing-masing. Objek tepat kata kerja transitif “memberi“ ialah “penerima pemberian“
(biasanya bernyawa iaitu manusia dan haiwan) manakala objek tepat “memberikan“
ialah “benda yang diberikan“.
(16) a. Saya memberi ibu hadiah.
b. Saya
memberikan hadiah kepada ibu.
Objek tepat “memberi“ dalam (16a), iaitu “ibu“ ialah “penerima
hadiah“ manakala objek tepat “memberikan“ dalam (16b), iaitu “hadiah“ ialah “benda
yang diberikan“. Contoh lain kata kerja transitif jenis ini ialah “memberitahu“
(17a) dan “memberitahukan“ (17b) serta “mengajar“ (18a) dan “mengajarkan“ (18b).
(17) a. Dia memberitahu kami maklumat itu.
b. Dia
memberitahukan maklumat itu kepada kami.
(18) a. Encik Ali mengajar pelajar-pelajarnya subjek
Matematik.
b. Encik Ali
mengajarkan subjek Matematik kepada pelajar-pelajarnya.
Boleh Mempertemukan, Jangan Memperkecilkan
Imbuhan +kan dan +per sama sekali tidak boleh digabungkan
dalam pembentukan sesuatu kata kerja transitif. Hal ini kerana kedua-dua
imbuhan mendukung maksud yang sama iaitu “jadikan“. Misalnya “kecilkan“ dan “perkecil“
bermaksud “jadikan kecil“. Oleh itu, penggunaan kedua-dua imbuhan dalam
pembentukan sesuatu kata kerja transitif, misalnya “perkecilkan“, tidak
dibenarkan kerana ia merupakan satu bentuk pembaziran (lewah).
Kekeliruan yang sering berlaku adalah kerana kata kerja
transitif berimbuhan +kan juga boleh diterbitkan daripada kata kerja tak
transitif berimbuhan ber+. Imbuhan ber+ ini seterusnya melalui transformasi
perubahan bunyi menjadi per+ apabila menerima imbuhan meN+. Dalam keadaan ini,
imbuhan +kan tidak boleh digugurkan. Contohnya ialah “bertemu“ menjadi “mempertemukan“
(*mempertemu), “bersila“ (mempersilakan, *mempersila) dan “berjudi“
(memperjudikan, *memperjudi).
Selain itu, kata kerja transitif berimbuhan +kan juga
boleh diterbitkan daripada kata dasar yang bermula dengan suku kata (bukan
imbuhan) per+. Dalam keadaan ini, imbuhan +kan juga tidak boleh digugurkan.
Contohnya ialah “perkasa“ menjadi “memperkasakan“ (*memperkasa).
Soalan yang mungkin ditanya ialah mengapa “memperkosa“
(*memperkosakan)? Jawapannya adalah kerana “perkosa“ ialah kata kerja transitif
asal. Oleh itu, ia tidak memerlukan kehadiran +kan. Hal ini samalah dengan “merogol“
(*merogolkan).
Imbuhan +i juga sama sekali tidak boleh digandingkan
dengan imbuhan per+. Menggandingkan imbuhan +i dengan +per sama seperti
menggandingkan imbuhan +i dengan +kan. Hal ini kerana imbuhan +kan dan +per
mempunyai maksud yang sama.
Kekeliruan yang sering berlaku adalah kerana kata kerja
transitif berimbuhan +i juga boleh diterbitkan daripada kata kerja tak
transitif berimbuhan ber+. Imbuhan ber+ ini seterusnya melalui transformasi
perubahan bunyi menjadi per+ apabila menerima imbuhan meN+. Dalam keadaan ini,
imbuhan +i tidak boleh digugurkan. Contohnya ialah “beristeri“ menjadi “memperisteri“
(satu i digugurkan) dan “bersuami“ menjadi “mempersuami“.
Selain itu, kata kerja transitif berimbuhan +i juga boleh
diterbitkan daripada kata dasar yang bermula dengan suku kata (bukan imbuhan)
per+. Dalam keadaan ini, imbuhan +i juga tidak boleh digugurkan. Contohnya
ialah “percaya“ menjadi “mempercayai“ (*mempercaya).
2 ulasan:
Mohon kongsi,terima kasih
Di dalam
Catat Ulasan