Bahasa penting dalam kehidupan manusia,
masyarakat dan negara. Bahasa mampu menarik minat pelbagai golongan pengkaji
dan pemikir bahasa, malah sesiapa sahaja walaupun bukan ahli bahasa. Ahli
bahasa deskriptif hanya tertarik untuk mengkaji dan menghuraikan sistem
linguistik bahasa, mengkaji peraturan tatabahasa dan sistem fonologi tetapi mereka
kurang memberikan perhatian terhadap fungsi atau budaya dan nilai sosial bahasa
itu.
Pakar sosiolinguistik pula mengkaji fungsi
sosial bahasa. Fungsi sosial bahasa ini berkaitan dengan cara bahasa yang
digunakan setiap hari dalam masyarakat dan cara manusia membentukkan makna
berdasarkan konteks sosialnya. Dalam budaya Melayu, misalnya, terdapat fenomena
bahasa dalam budaya yang diungkapkan sebagai `budi bahasa'. Orang yang
dikatakan `tidak tahu bahasa' bererti orang itu tidak pandai berbudi bahasa,
yakni mereka tidak mengetahui adat
berbahasa menurut konteks sosialnya.
Bahasa juga boleh dikaji dari segi psikologi.
Ahli psikolinguistik atau dikenali juga ahli psikologi bahasa mengkaji proses
yang berlaku dalam minda atau otak manusia apabila seseorang itu mengeluarkan
sesuatu kata atau mengucapkan bahasa, dan memahami sesuatu bahasa itu. Kajian ini tertumpu pada
proses pemikiran yang berlaku apabila seseorang itu menggunakan bahasa. Antara
persoalan yang cuba dipastikan adalah pengaruh bahasa terhadap pemikiran
manusia dan pengaruh pemikiran manusia terhadap perkembangan bahasa.
Ahli antropologi budaya bahasa cuba mengkaji
hubungan budaya antara bahasa dengan bangsa atau kumpulan etnik yang
menggunakan bahasa. Oleh itu, mereka ingin mengetahui tahap bahasa yang
menandakan jati diri atau identiti sesuatu bangsa yang menggunakan bahasa tersebut
sebagai bahasa aslinya. Dari sini, timbul pula persoalan `nasionalisme bahasa'
yang termasuk dalam kajian sains politik.
Persoalan yang dikaji pula ialah peranan bahasa
sebagai alat politik. Misalnya, bahasa digunakan untuk membangkitkan kesedaran
bahawa bahasa penting sebagai pembentuk kesatuan politik yang disebut `negara'
atau negara bangsa'. Sering kali, `politik bahasa' ini menyebabkan sesebuah negara
menggubal dasar bahasa atau membuat undang-undang yang mewajibkan warganegaranya
menggunakan satu-satu bahasa yang dipilih sebagai bahasa rasmi negara itu. Dasar
ini terdapat di kebanyakan negara, terutama di negara yang terdiri daripada
pelbagai kumpulan etnik dan pelbagai bahasa. Sebagai contoh ialah Malaysia,
Indonesia, Thailand, dan banyak negara lain lagi, termasuk Amerika Syarikat dan
seluruh negara Eropah, Jepun, China, Korea, Australia dan New Zealand.
Salah satu nilai yang perlu ada pada bahasa
Melayu ialah nilai sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Para pengkaji
bahasa, sama ada ahli bahasa deskriptif, ahli sosiolinguistik, ahli
psikolinguistik, ahli antropologi bahasa, ahli semiotik, mahupun ahli falsafah
bahasa, walaupun mereka menggunakan kaedah kajian yang berlainan, semuanya bersepakat
tentang bahasa. Menurut pengkaji, bahasa tidak mengira apa-apa bahasa pun mempunyai keupayaan yang tidak terhad untuk
mengungkapkan fikiran bangsa yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa
utamanya. Seperti kata seorang pemikir psikologi atau kognitif bahasa, Steven
Pinter (1994), yang mencipta bahasa ialah minda manusia. Jika fikiran bangsa
atau manusia itu maju, maka akan majulah bahasanya.
Setiap orang akan berfikir tentang maksud yang
hendak dinyatakan, perkataan yang digunakan ada dalam perbendaharaan kata,
istilah baharu yang diciptakan, sama ada melalui proses peminjaman atau melalui
cara lain, berdasarkan sistem linguistik bahasa. Begitulah cara bangsa Inggeris
maju dalam bidang ilmu bukan kerana bahasa Inggeris itu dilahirkan sejak asal
sebagai bahasa yang memang sudah maju dari segi sistem linguistiknya atau
kehadiran peristilahan ilmunya. Hal ini demikian kerana bangsa mereka maju dalam
bidang ilmu kerana dua faktor. Faktor pertama, dalam kalangan bangsa Inggeris
wujud sekumpulan manusia yang kita sebut `ahli fikir' atau `ahli sains' seperti
Roger Bacon dan Isaac Newton dalam abad ke-16 dan 17.
Mereka juga memiliki sasterawan terkenal seperti
Shakespeare yang berfikir dan menulis dalam bahasa Inggeris, iaitu bahasa
ibunda mereka. Faktor kedua pula, bahasa Inggeris yang asal, iaitu bahasa
Anglo-Saxon, tidak mempunyai istilah sains untuk menyatakan konsep dan teori baharu.
Oleh itu, para pemikir dan ahli sains Inggeris terpaksa meminjam istilah yang
banyak daripada bahasa Latin dan bahasa Greek. Hari ini, tidak ada satu ayat
bahasa Inggeris dalam bidang apa-apa pun yang tidak mengandungi istilah
pinjaman. Demikianlah juga proses yang berlaku pada bahasa Melayu sejak abad
ke-15, lebih-lebih lagi sejak abad ke-16 dan abad ke-17. Para pengarang,
pemikir dan sasterawan berbahasa Melayu di rantau ini menghasilkan karya yang banyak
dalam bidang kesusasteraan, ilmu teologi, ilmu metafizik dan tasawuf serta
falsafah dalam bahasa Melayu.
Bahasa Melayu sudah berkurun-kurun lamanya
berfungsi sebagai alat penjana tamadun ilmu dan tamadun budaya tinggi di
seluruh rantau ini. Jadi, kalau hari ini ada orang yang berkata bahawa bahasa
Melayu tidak mampu menjana tamadun tinggi, tidak mampu menjadi bahasa sains dan
bahasa teknologi, rasa saya orang itu tidak membaca sejarah bahasa Melayu ini. Malah,
orang ini sengaja menutup fikirannya terhadap kepentingan bahasa ini sebagai
alat kemajuan bangsa berbahasa Melayu di rantau ini. Hari ini terbukti bahawa
tradisi yang sudah terbina sejak berkurun lamanya itu dapat disambung semula
setelah dasar negara menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
dalam sistem pendidikan kebangsaan hingga ke peringkat pengajian tinggi. Beribu-ribu
sarjana dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk antaranya beberapa pakar sains dan
perubatan, daripada semua kaum terdidik melalui sistem kebangsaan ini.
Jika dasar ini dikekalkan dan diperkukuh, pasti
nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan terus meningkat dan orang akan
terus tertarik untuk mempelajari bahasa ini kerana nilainya. Yang penting ialah
bangsa Melayu harus dikembangkan ilmunya, baru bahasa kita terus menjadi bahasa
yang kreatif dan produktif. Maksudnya, kita harus terus berfikir bahawa bangsa
kita juga akan maju dalam bahasa kita sendiri, seperti juga bangsa lain yang maju
dalam bahasa sendiri. Hal inilah yang dimaksudkan dengan peranan bahasa sebagai
alat pemikiran bangsa. Perkara ini tidak bererti bahawa kita tidak perlu
mencari ilmu yang ada dalam bahasa-bahasa lain.Dengan usaha itu, tidak mustahil suatu ketika
nanti, bahasa Melayu boleh menjadi sumber ilmu yang penting di rantau ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan