Objektif Topik
ü
Mengenal pasti FN melalui definisi
dan cirinya
ü
Mengetahui fungsinya
ü
Memahami kesalahan lazim dalam
penggunaan FN
Nota: Ayat bertanda * menunjukkan
ia tidak gramatis.
1.1 Pengenalan
Frasa nama (FN) adalah antara empat kategori frasa yang terdapat
dalam bahasa Malaysia. Ia mempunyai fungsi yang banyak dalam pembinaan frasa
dan ayat. Oleh sebab itu pemahaman mengenai frasa ini penting bagi seseorang
pengguna bahasa untuk menjana frasa dan ayat yang gramatis.
1.2. Definisi
FN ialah panggilan yang digunakan untuk manusia, haiwan, benda dan
unsur abstrak, baik dalam bilangan tunggal atau jamak, jantan atau betina. Ia
mungkin terdiri daripada satu patah perkataan sahaja ataupun sederetan
perkataan.
1.3 Ciri-ciri
FN boleh dikenal pasti melalui ciri khususnya iaitu ia boleh
didahului oleh kata bilangan dan penjodoh bilangan. Contoh FN yang didahului
oleh kata bilangan dan penjodoh bilangan ialah (1) yang berikut.
(1) a. Seorang pelajar.
b. Tiga ekor kucing.
c. Sepuluh buah rumah.
Dalam (1), FN “pelajar” (1a), “kucing” (1b) dan “rumah” (1c)
masing-masing didahului oleh kata bilangan “se”, “tiga” dan “sepuluh”, dan
penjodoh bilangan “orang”, “ekor” dan “buah”.
Ciri lain FN ialah ia boleh diikuti oleh kata tunjuk. Contoh FN
yang diikuti oleh kata tunjuk ialah (2) yang berikut.
(2) a. Pelajar itu.
b. Tiga ekor kucing
ini.
c. Sepuluh buah rumah
itu.
Dalam (2), FN “pelajar” (2a), “tiga ekor kucing” (2b) dan “sepuluh
buah rumah” (2c) masing-masing diikuti oleh kata tunjuk “itu” dan “ini”.
Mengenai kehadiran kata bilangan, penjodoh bilangan dan kata
tunjuk ini, tiga perkara perlu diberi perhatian. Pertama, kata bilangan “se”
(satu) mesti disertai oleh penjodoh bilangan (3a-c) tetapi tidak demikian
halnya dengan kata bilangan lain (4a-c).
(3) a. Seorang pelajar.
a’. *Satu pelajar.
b. Seekor kucing.
b’. *Satu kucing.
c. Sebuah rumah.
c’. *Satu rumah.
(4) a. Dua orang pelajar.
a’. Dua pelajar.
b. Tiga ekor kucing.
b’. Tiga kucing.
c. Sepuluh buah rumah.
c’. Sepuluh rumah.
Kejanggalan (3a’-c’) menunjukkan bahawa penjodoh bilangan mesti
hadir bersama kata bilangan “se” (satu) dalam pembentukan FN. Sebaliknya
kejituan (4a’-c’) menunjukkan bahawa kehadiran penjodoh bilangan hanya bersifat
opsyenal bagi kata bilangan selain “se” (satu)..
Kedua, FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan “se”
(satu) dan penjodoh bilangan tidak boleh lagi menerima kehadiran kata tunjuk
(5a-c) tetapi tidak demikian halnya dengan FN yang menerima kata bilangan lain
(6a-c).
(5) a. *Seorang pelajar itu.
b. *Seekor kucing ini.
c. *Sebuah rumah itu.
(6) a. Dua orang pelajar itu.
b. Tiga ekor kucing
ini.
c. Sepuluh buah rumah
itu.
Kejanggalan (5a-c) menunjukkan bahawa kata tunjuk tidak boleh
hadir pada FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan “se” (satu) dan
penjodoh bilangan. Sebaliknya kejituan (6a-c) menunjukkan bahawa kata tunjuk
boleh hadir pada FN yang telah sedia menerima kehadiran kata bilangan selain
“se” (satu) dan penjodoh bilangan.
Ketiga, FN yang dihitung dalam bentuk kumpulan (7a), timbangan
(7b), ukuran (7c) dan sukatan (7d) tidak boleh menerima kehadiran penjodoh
bilangan.
(7) a. Sekumpulan pelajar.
a’. *Sekumpulan orang
pelajar.
b. Sekilo daging lembu.
b’. *Sekilo ketul
daging lembu.
c. Sepuluh meter kain.
c’. *Sepuluh meter
helai kain.
d. Segantang beras.
d’. *Segantang biji
beras.
1.4 Fungsi dalam Ayat
FN mempunyai pelbagai fungsi dalam binaan ayat. Tiga fungsi
utamanya adalah sebagai subjek, predikat dan objek kata kerja transitif.
Fungsinya yang lain adalah sebagai pelengkap kata kerja tak transitif dan unsur
keterangan.
1.4.1 Sebagai Subjek
(8) Siti pergi ke sekolah.
“Siti” dalam (8) ialah FN yang berfungsi sebagai subjek ayat.
(9a-e) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai subjek
ayat.
(9) a. Abangnya juruterbang.
b. Osman penyanyi
terkenal.
c. Pukulannya sungguh
kuat.
d. Kami pelajar
tingkatan enam.
e. Ini kawasan bangunan
Parlimen.
Nota: Subjek ayat MESTI terdiri daripada FN.
1.4.2 Sebagai Predikat.
(10) Siti pelajar USM.
“Pelajar USM” dalam (10) ialah FN yang berfungsi sebagai predikat
ayat. (11a-c) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi sebagai
predikat ayat.
(11) a. Beliau Pengarah Pendidikan Negeri.
b. Ahmad guru.
c. Budak itu murid
saya.
1.4.3 Sebagai Objek Kata Kerja Transitif
(12) Siti memandu kereta.
“Kereta” dalam (12) ialah objek kata kerja transitif “memandu”.
Nota: Objek kata kerja tak transitif MESTI terdiri daripada FN
atau klausa. (13) ialah contoh objek kata kerja transitif (berhuruf tebal) yang
terdiri daripada klausa.
(13) Dia menegaskan bahawa masalah ini mesti diselesaikan dengan
segera.
1.4.4 Sebagai Pelengkap Kata Kerja Tak Transitif
(14) Siti menjadi pensyarah USM sejak 10 tahun lalu.
“Pensyarah USM” dalam (14) ialah pelengkap kata kerja tak
transitif “menjadi”. (15) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi
sebagai pelengkap kata kerja tak transitif.
(15) Hang tuah bersenjatakan keris Taming Sari.
Nota: Hanya sebilangan kecil pelengkap kata kerja tak transitif
yang terdiri daripada FN.
Pelengkap berbeza daripada objek kata kerja transitif kerana ia
tidak boleh melalui
proses pemasifan.
1.4.4 Sebagai Unsur Keterangan
(16) Mereka bermain bola di padang.
“Bola” dalam (12) ialah keterangan bagi kata kerja “bermain”.
Sebagai unsur keterangan, Kehadiran FN adalah tidak wajib. Dengan kata lain,
tanpa kehadiran “bola”, ayat (16) tetap gramatis.
(16’) Mereka bermain di padang.
(17a-c) ialah contoh lain FN (berhuruf tebal) yang berfungsi
sebagai keterangan ayat.
(17) a. Kanak-kanak itu berbaju Melayu.
b. Kegemarannya
bermain bola.
c. Mereka belajar
bahasa Jepun.
1.5 Perkara-perkara Penting mengenai FN
FN yang berfungsi sebagai predikat ayat tidak boleh menerima kehadiran
kata bilangan dan penjodoh bilangan.
(18) a. *Beliau seorang Pengarah Pendidikan Negeri.
b. *Ahmad seorang
guru.
c. *Budak itu
seorang murid saya.
Sebaliknya FN yang berfungsi sebagai predikat ayat mempunyai ciri
FK, iaitu ia boleh menerima kehadiran kala. Contohnya ialah (19a-c) yang
berikut:
(19) a. Kamu akan dewasa suatu hari nanti.
b. Siti sudah
remaja.
c. Mereka masih
suami isteri.
Satu lagi perkara penting yang perlu diketahui mengenai FN yang
berfungsi sebagai predikat ayat adalah berkenaan penggunaan kata pemeri
“ialah”. Dalam ayat yang predikatnya ialah FN (berhuruf tebal), “ialah” boleh
disisipkan antara subjek dengan predikat. Contohnya ialah (20a-c) yang berikut:
(20) a. Beliau ialah pelajar universiti.
b. Kucing ialah
haiwan kesayangan.
c. Itu ialah rumah
tradisional Melayu.
Dalam (20), “pelajar universiti”, “haiwan kesayangan” dan “rumah
tradisional Melayu” ialah FN yang masing-masing berfungsi sebagai predikat ayat
(20a), (20b) dan (20c). Oleh sebab itu, kata pemeri “ialah” boleh hadir di
hadapan FN ini. Sebaliknya satu lagi kata pemeri, iaitu “adalah”, tidak boleh
hadir dalam ayat sebegini (berpredikat FN).
(20) a’. *Beliau adalah pelajar universiti.
b’. *Kucing adalah
haiwan kesayangan.
c’. *Itu adalah
rumah tradisional Melayu.
Perkara seterusnya adalah mengenai penggunaan kata relatif “yang”
dalam pembentukan sesuatu FN. Ada kalanya kehadiran kata relatif itu adalah
wajib untuk membentukkan FN (berhuruf tebal) yang gramatis. Contohnya (21a-b)
yang berikut:
(21) a. Ikan mengandungi protein yang banyak.
b. Orang yang suka
membaca luas pengetahuan.
Dalam (21), kehadiran “yang” dalam pembentukan FN “protein yang
banyak” dan “orang yang suka membaca” adalah wajib. Tanpa kehadirannya, FN yang
dibentukkan, iaitu “protein banyak” (21a’) dan “orang suka membaca” (21b’),
adalah tidak gramatis. Sebagai akibatnya ayat yang dijana (21a’-b’) juga tidak
gramatis.
(21) a’. *Ikan mengandungi protein banyak.
b’. *Orang suka
membaca luas pengetahuan.
Ada kalanya pula kehadiran “yang” boleh menghilangkan kejanggalan
dalam pembentukan FN (berhuruf tebal). Contohnya ialah (22a-b) yang berikut:
(22) a. ?Rumah sangat besar itu tidak berpenghuni.
b. Rumah yang sangat
besar itu tidak berpenghuni.
Dalam (22), ayat (22a) agak janggal tanpa kehadiran “yang”.
Kehadiran “yang” dalam ayat (22b) dapat menghilangkan kejanggalan ini.
Ada kalanya pula penggunaan “yang” tidak mempunyai kesan dari segi
kegramatisan FN yang dibentukkan. Oleh itu FN (berhuruf tebal) dan seterusnya
ayat yang dijana tetap gramatis sama ada dengan atau tanpa kehadiran “yang”.
Contohnya ialah (23a-b) yang berikut:
(23) a. Rumah besar itu tidak berpenghuni.
b. Rumah yang besar
itu tidak berpenghuni.
Kedua-dua FN iaitu “rumah besar itu” dan “rumah yang besar itu”
adalah gramatis. Sebagai hasilnya kedua-dua ayat (23a-b) yang dijana juga
gramatis.
Walau bagaimanapun ada kalanya penggunaan “yang” akan menyebabkan
FN (berhuruf tebal) yang dibentukkan tidak gramatis. Contohnya ialah (24a-b)
yang berikut:
(24) a. Budaya suka membaca mesti dipupuk dalam masyarakat.
b. *Budaya yang suka
membaca mesti dipupuk dalam masyarakat.
Dalam ayat (24a), FN “budaya suka membaca” adalah gramatis, lalu
menghasilkan ayat yang gramatis juga. Sebaliknya ayat (24b) tidak gramatis
kerana FN “budaya yang suka membaca” tidak gramatis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan