Isnin, 2 Ogos 2010

Frasa Kerja Transitif (FKT)

FKT ialah satu daripada dua kategori frasa kerja. Satu lagi kategori frasa kerja ialah FK tak transitif (FKTT). Sementara FKTT hanya melibatkan satu pihak, iaitu subjek ayat, FKT melibatkan pihak kedua, iaitu objek ayat. Misalnya, dalam ayat “Ali tidur”, FKTT “tidur” hanya melibatkan satu pihak, iaitu subjek ayat “Ali”. Sebaliknya, dalam ayat “Ali memukul ular itu”, FKT “memukul” melibatkan dua pihak, iaitu subjek ayat “Ali” dan pihak kedua, iaitu objek ayat “ular itu. Oleh sebab FKT mempunyai objek, ia boleh dipasifkan.


“Ali memukul ular itu.”

Ular itu dipukul oleh Ali.”


Bahagian terpenting nota ini ialah perbincangan mengenai fungsi imbuhan akhiran (+kan dan +i) dalam pembentukan FK transitif. Imbuhan ini dikatakan berfungsi menyirat maksud tertentu. Oleh itu, satu bahagian dalam nota ini dikhususkan untuk membincangkan maksud yang didokong oleh imbuhan berkenaan.


Jenis/Kategori


FKT dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu:


1) Asal – frasa kerja yang sememangnya bersifat transitif.


Contoh: makan, minum, membaca, memukul (bentuk aktif)

dimakan, diminum, dibaca, dipukul (bentuk pasif)


2) Terbitan – diterbitkan daripada kategori/jenis frasa yang lain, iaitu frasa nama (FN),

FKTT dan frasa adjektif (FA) serta dua frasa sendi nama (FSN), iaitu “ke

tepi” dan “ke tengah”.


- diterbitkan daripada FN, misalnya “raja” – merajai, merajakan (bentuk aktif)

- dirajai, dirajakan (bentuk pasif)


- daripada FK tak transitif, misalnya “tidur” – meniduri, menidurkan (aktif)

ditiduri, ditidurkan (pasif)

“temu” – menemui, menemukan (aktif)

ditemui, ditemukan (pasif)

“bertemu” – mempertemukan (aktif)

dipertemukan (pasif)

“bersuami”- mempersuami, mempersuamikan

dipersuami, dipersuamikan


- daripada FA (adjektif), misalnya “indah” – mengindahi, mengindahkan

diindahi, diindahkan

- daripada FSN “ke tepi” & “ke tengah” – mengetepikan, mengetengahkan

diketepikan, diketengahkan


Makna imbuhan +i pada FKT asal


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT asal, iaitu menunjukkan perbuatan dilakukan berulang kali/bersungguh-sungguh.


Siti membacai buku cerita itu.

Maknanya ialah perbuatan “membacai” dilakukan berulang kali/bersungguh-sungguh.


Makna imbuhan +kan pada FKT asal


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +kan pada FKT asal, iaitu makna “benfaktif” (objek tepat ayat ahíla pihak yang mendapat faedah daripada perbuatan).


Siti membacakan adiknya buku cerita.


Maknanya ialah objek tepat ayat (adiknya) ialah pihak yang mendapat faedah daripada perbuatan (membacakan).


Makna imbuhan +i pada FKT terbitan (daripada FN)


Terdapat empat makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT yang diterbitkan daripada FN.


1) Menjadi


Parameswara merajai Melaka.

Maknanya ahíla “Parameswara menjadi raja Melada”.


Saya menggurui kelas ini.

Maknanya ahíla “Saya menjadi guru kelas ini”.


2) Memberi


Dia menasihati saya supaya bersabar.

Maknanya ialah “Dia memberi saya nasihat supaya bersabar”.


Dia sudah memaafi saya.

Maknanya ahíla “Dia sudah memberi saya maaf”.


3) Meletakkan/membubuh


Siti menggarami ikan.

Maknanya ialah “Siti membubuh garam pada ikan”.


Siti menggulai kopi.

Maknanya ahíla “Siti membubuh gula ke dalam kopi”.


4) Membuang


Encik Ahmad merumputi halaman rumahnya.

Maknanya ialah “Encik Ahmad membuang (mencabut, menebas, mencangkul) rumput di

halaman rumahnya”.


Siti menyisiki ikan.

Maknanya ialah “Siti membuang sisik ikan”.


Makna imbuhan +kan pada FKT terbitan (daripada FN)


Terdapat dua makna yang didokong oleh imbuhan +kan pada FKT yang diterbitkan daripada FN.


1) Menjadikan (“kausatif”)


Rakyat Melaka merajakan Parameswara.

Maknanya ialah “Rakyat Melaka menjadikan Parameswara raja”.


Dia menasihatkan supaya saya bersabar.

Maknanya ialah “Dia menjadikan “supaya saya bersabar” nasihat”.


2) Memasukkan


Hakim itu memenjarakan pesalah.

Maknanya ialah “Hakim itu memasukkan pesalah ke dalam penjara”.


Kerani itu memfailkan surat-surat tersebut.

Maknanya ialah “Kerani itu memasukkan surat-surat tersebut ke dalam fail”.


Makna imbuhan +i pada FKT yang diterbitkan daripada FK tak transitif


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +I pada FKT jenis ini, iaitu pelaku perbuatan yang disebut dalam FKT berkenaan ialah subjek ayat.


Ali menaiki bangunan itu.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “naik” ialah subjek ayat (Ali).


Ali memperisteri Aminah.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “beristeri” ialah subjek ayat (Ali).


Makna imbuhan +kan pada FKT yang diterbitkan daripada FK tak transitif


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT jenis ini, iaitu pelaku perbuatan yang disebut dalam FKT berkenaan ialah objek ayat.


Ali menaikkan bendera.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “naik” ialah objek ayat (bendera).


Aminah memperisterikan Ali dengan Siti.

Maknanya ialah pelaku perbuatan “beristeri” ialah objek ayat (Ali).


Makna imbuhan +i pada FKT yang diterbitkan daripada FA (adjektif)


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT jenis ini, iaitu subjek ayat ialah “pemangkin”, iaitu kerana sifat yang ada padanya menyebabkan pihak lain (objek ayat) juga mendapat sifat tersebut.


Pohon-pohon bunga mengindahi taman itu.

Maknanya ialah subjek ayat (pohon-pohon bunga) ialah “pemangkin” yang mempunyai sifat “indah”, dan kerana keindahannya objek ayat (taman itu) juga menjadi indah.


Bedak memutihi mukanya.


Makna imbuhan +kan pada FKT yang diterbitkan daripada FA (adjektif)


Hanya terdapat satu makna yang didokong oleh imbuhan +i pada FKT jenis ini, iaitu subjek ayat ialah “agen”, iaitu kerana usaha/perbuatan/keupayaannya menyebabkan pihak lain (objek ayat) mendapat sifat yang disebut pada FKT berkenaan.


Ali mengindahkan taman itu dengan pohon-pohon bunga.

Maknanya ialah subjek ayat (Ali) ialah “agen”, iaitu kerana usahanya menyebabkan objek ayat (taman itu) menjadi indah.


Contoh lain ayat:

Krim pencerah memutihkan mukanya.


Imbuhan +per


Satu lagi imbuhan yang dapat menerbitkan FKT ialah +per. Mengenai penggunaan imbuhan ini, dua perkara yang berikut perlu diperhatikan:


1) Imbuhan +per mempunyai fungsi dan mendokong maksud yang sama dengan imbuhan +kan. Persamaan ini terlihat dalam contoh FKT yang berikut:


Perbesar = besarkan – maknanya ialah “jadikan besar”.

Perluas = luaskan – “jadikan luas”.

Perbetul = betulkan – “jadikan betul”.


Disebabkan persamaan ini, kedua-dua imbuhan tidak boleh digandingkan untuk menerbitkan sesuatu FKT. Contoh penggandingan imbuhan +per dan +kan (tidak dibenarkan) adalah seperti dalam ayat yang berikut:


*Encik Ali memperbesarkan rumahnya.

*Memperluaskan

*Memperbetulkan


2) Imbuhan +kan dan +i tidak boleh digandingkan dalam penerbitan sesuatu FKT. Oleh sebab imbuhan +per = +kan, imbuhan +per juga tidak boleh digandingkan dengan imbuhan +i. Contoh penggandingan imbuhan +per dan +i (tidak dibenarkan) adalah seperti dalam ayat yang berikut:


*Mereka memperhalusi cadangan itu.

Mereka memperhalus cadangan itu.

Frasa Kerja (FK) & FK Tak Transitif

1.1 Pengenalan

Frasa kerja (FK) adalah antara empat kategori frasa yang terdapat dalam bahasa Malaysia. Ia mempunyai fungsi yang banyak dalam pembinaan frasa dan ayat. Oleh sebab itu pemahaman mengenai frasa ini penting bagi seseorang pengguna bahasa untuk menjana frasa dan ayat yang gramatis.

Nota ini akan membincangkan hal-hal penting berkaitan FK, perbezaan antara FK tak transitif dengan FK transitif dan ciri-ciri penting FK tak transitif. FK transitif akan dibincangkan dalam nota yang berasingan (sila rujuk nota berkenaan).

1.2. Definisi

FK ialah perkataan atau sederetan perkataan yang digunakan untuk menggambarkan perbuatan, sama ada melibatkan pergerakan atau tidak, oleh manusia, haiwan, benda dan unsur abstrak.

1.3 Ciri-ciri

FK boleh dikenal pasti melalui ciri khususnya iaitu ia boleh didahului oleh kata bantu (aspek dan ragam). Contoh FK yang didahului oleh kata bantu (berwarna hijau) ialah (1a-d) yang berikut.

(1) a. akan tidur
b. sedang menonton
c. hendak makan
d. suka membaca

Dalam (1), FK “akan tidur” (1a), “sedang menonton” (1b) masing-masing didahului oleh kata bantu aspek “akan” dan “sedang”. FK “hendak makan” (1c) dan “suka membaca” (1d) pula masing-masing didahului oleh kata bantu ragam “hendak” dan “suka”.

1.4 Jenis

FK boleh dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu tak transitif dan transitif. Perbezaan antara kedua-duanya ialah FK tak transitif (2-ac) tidak mempunyai objek sementara FK transitif (3a-c) mempunyai objek (berwarna hijau).

(2) a. Bayi itu menangis.
b. Dia sudah keluar.
c. Mereka sedang bermain.

(3) a. Ali membaca buku motivasi.
b. Siti menggulai kopi.
c. Mereka memasuki bangunan itu.

“Menangis” (2a), “sudah keluar” (2b) dan “sedang bermain” ialah FK tak transitif kerana masing-masing tidak mempunyai objek. “Membaca” (3a), “menggulai” (3b) dan “memasuki” (3c) ialah FK transitif kerana masing-masing mempunyai objek, iaitu “buku motivasi”, “kopi” dan “bangunan itu”.

Perbezaan lain ialah FK transitif boleh dipasifkan manakala FK tak transitif tidak.


1.4.1 FK Tak Transitif

FK tak transitif ialah FK yang tidak mempunyai objek. Walau bagaimanapun, sebahagiannya mempunyai pelengkap. Oleh itu, FK tak transitif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu tak berpelengkap dan berpelengkap.

1.4.1.1 FK Tak Transitif Tak Berpelengkap

FK tak transitif tak berpelengkap ialah FK yang tidak memerlukan sebarang unsur untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (2a-c), dicatat semula sebagai (4a-c).

(4) a. Bayi itu menangis.
b. Dia sudah keluar.
c. Mereka sedang bermain.

Maksud ayat (4a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menangis”, “sudah keluar” dan “sedang bermain” sudah sempurna walaupun tiada sebarang unsur mengiringi FK berkenaan.

1.4.1.2 FK Tak Transitif Berpelengkap

FK tak transitif berpelengkap ialah FK yang memerlukan kehadiran unsur pelengkap (berwarna hijau) untuk menyempurnakan maksudnya. Contohnya ialah (5a-c) yang berikut:

(5) a. Siti menjadi guru.
b. Keadaannya beransur baik.
c. Dr Ali pergi ke Pulau Pinang.

Maksud ayat (5a-c) yang mengandungi FK tak transitif tak berpelengkap “menjadi”, “beransur” dan “pergi” tidak akan sempurna tanpa unsur pelengkapnya, iaitu “guru”, “baik” dan “ke Pulau Pinang”.

(5’) a. *Siti menjadi.
b. *Keadaannya beransur.
c. *Dr Ali pergi.

Nota: Tiga jenis frasa yang boleh menjadi pelengkap FK tak transitif berpelengkap ialah frasa nama (“guru” dalam (5a)), frasa adjektif (“baik” dalam (5b)) dan frasa sendi nama (“ke Pulau Pinang” dalam (5c)).

Masalahnya ialah tiada rumus yang dapat dipegang untuk menentukan kategori frasa yang menjadi pelengkap bagi sesuatu FK tak transitif tak berpelengkap. Walau bagaimanapun, dua panduan yang berikut dapat membantu kita mengatasi sebahagian masalah ini.

Panduan: i) Sebahagian besar pelengkap FK tak transitif berpelengkap terdiri daripada frasa sendi nama.

ii) Pelengkap FK tak transitif berpelengkap berimbuhan ber+_+kan ialah frasa nama (6a-c).

(6) a. Hang Tuah bersenjatakan keris Taming Sari.
b. Keputusan itu dibuat berdasarkan cadangannya.
c. Dia tidur berbantalkan lengan.