Isnin, 27 April 2020

Soalan Esei (Laporan)


PUSAT PENGAJIAN BAHASA, LITERASI DAN TERJEMAHAN
SEMESTER II, SIDANG AKADEMIK 2019/2020

KERJA KURSUS : ESEI (30%)
KARANGAN BENTUK LAPORAN

1)         Isu alam sekitar ialah isu sejagat. Manusia akan terus bergantung pada alam sekitar untuk kelangsungan hidupnya. Akan tetapi, pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh manusia sering mengganggu dan merosakkan keseimbangan alam sekitar.

Tulis laporan tentang kegiatan manusia yang merosakkan alam sekitar dan langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk memelihara dan melestarikan alam sekitar.

2)         Revolusi Industri Keempat (RI4) sedang mengubahkan cara kita menjalani kehidupan, cara kita bekerja dan cara kita bergaul dan berkomunikasi antara satu sama lain. Hampir setiap aspek kehidupan manusia seperti pengurusan dan pentadbiran, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perdagangan menerima perubahan dan penyesuaian sebagai kesan langsung revolusi ini. Sudah bersediakah kita untuk penyesuaian dan perubahan dalam arus RI4 ini?

Tulis laporan tentang impak positif dan impak negatif RI4 terhadap kehidupan manusia secara amnya.

3)         Fenomena aliran keluar tenaga mahir dari negara asal untuk bekerja di negara lain kini menjadi fenomena global.  Kecenderungan ini mengakibatkan negara asal kehilangan tenaga profesional seperti jurutera, doktor, pakar teknologi maklumat, arkitek, ahli astronomi dan ahli akademik. Kajian menunjukkan bahawa peratusan kehilangan modal insan di Asia Tenggara sebanyak 57.1% pada tahun 2018. Keadaan ini sangat merugikan negara jika diambil kira kos pembangunan modal insan yang telah dilaburkan oleh negara. Negara kita, Malaysia, juga tidak terlepas daripada fenomena ini.

Tulis laporan tentang punca berlakunya aliran keluar tenaga mahir untuk bekerja di negara lain dan usaha yang dapat dilakukan untuk menggalakkan tenaga mahir bekerja di negara sendiri.

4)         Pandemik Covid-19 belum berakhir dan para pakar meramalkan pelbagai kesan yang akan dihadapi oleh masyarakat dan negara daripada wabak itu.

Tulis laporan tentang kesan ekonomi dan kesan sosial yang dijangkakan akan berlaku sebagai akibat wabak Covid -19.

5)         Perkhidmatan bas komuter di dalam kampus utama Universiti Sains Malaysia(USM)  ialah perkhidmatan asas untuk pengguna atau para warga universiti terutama pelajar.Kemudahan ini bertujuan memudahkan pelajar  bergerak dengan selesa dari satu lokasi ke satu lokasi lain. Lokasi tersebut ialah lokasi pusat pengajian, dewan kuliah, pusat perkhidmatan universiti seperti bangunan Hal Ehwal Pelajar, Bendahari  serta lokasi perkhidmatan awam lain seperti bank dan pejabat.   Semua bas beroperasi dari hari Isnin hingga hari Sabtu,kecuali cuti umum. Walau bagaimanapun, pelajar masih tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.

Tulis sebuah karangan laporan tentang punca-punca ketidakpuasan terhadap perkhidmatan bas komuter di dalam kampus utama USM dan cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi ketidakpuasan yang timbul dalam kalangan pengguna perkhidmatan ini.

Rabu, 15 April 2020

Pemarkahan dan Kaedah Pembentangan Lisan (25%)


1) Isi – 20%
     3-5 isi.

2) Tatabahasa – 40%
     Perkataan, struktur (ayat dan frasa), imbuhan.

3) Sebutan – 20%
    Wajib menggunakan sebutan baku.
    Disebut seperti yang dieja. Setiap huruf dibunyikan.
    Pemenggalan suku kata/imbuhan: me/ngam/bil (betul), meng/am/bil (salah)

4) Kefasihan, kelancaran dan kreativiti – 20%
     Kefasihan – tiada unsur asing (loghat daerah/negeri, bahasa asing/ibunda seperti
                         bahasa Inggeris, Cina dan India).
     Kelancaran – tiada gangguan unsur asing seperti “OK”, “so”.
                          - tidak tersekat-sekat (ayat terputus, terdiam), tergumam “mmm…”
     Kreativiti – penampilan (pakaian & dandanan).
                      - gaya bercakap dan bahasa badan (pergerakan tangan dan mata).
                      - latar belakang video dan animasi/sari kata sokongan.

Rabu, 1 April 2020

Ciri-ciri ayat yang baik dan berkesan


Objektif Topik

ü  memahami enam ciri ayat yang baik dan berkesan (pengetahuan, pemahaman)
ü  membina ayat yang baik dan berkesan (aplikasi)

Ciri-ciri ayat yang baik

Pandangan Gory Keraf (1980) dalam buku “Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia” oleh Awang Sariyan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), ada enam cir ayat yang baik, iaitu:

1.      Fokus (satu idea)
2.      Jitu
3.      Logik
4.      Bervariasi
5.      Sejajar
6.      Berpenekanan  

Nota: Ciri yang akan dibincangkan dalam nota ini empat sahaja (fokus,  logik, bervariasi dan sejajar). Ciri “jitu” tidak dibincangkan kerana ia berkaitan dengan ketepatan tatabahasa yang ada dibincangkan dalam nota bertajuk “Kesalahan Umum Tatabahasa”. Ciri “berpenekanan” tidak dibincangkan kerana ia bukanlah masalah besar dalam kursus ini.

1. Fokus (satu idea)

Satu ayat mengandungi satu idea sahaja. Ciri ini dapat memastikan ayat yang dibina tidak berjela-jela (terlalu panjang) sehingga boleh menjejaskan pemahaman pembaca.

Panduan: Sesuatu ayat seharusnya boleh habis dibaca dalam satu nafas sahaja.
                Sesuatu ayat seharusnya boleh difahami dengan sekali bacaan sahaja.

Contoh ayat yang tidak fokus (mengandungi dua idea):

“Pengaruh Barat yang kuat ialah sebab utama berlakunya
pencemaran budaya dan seterusnya hal ini  akan meracuni
jiwa anak-anak muda yang tidak dapat memahami dan
menghayati erti kemerdekaan negara ini yang sebenarnya.”

Yang betul (jadikan 2 ayat):

“Pengaruh Barat yang kuat ialah sebab utama berlakunya
pencemaran budaya. Seterusnya, hal ini  akan meracuni
jiwa anak-anak muda yang tidak dapat memahami dan
menghayati erti kemerdekaan negara ini.”

2.  Jitu

Ciri ini berkaitan penggunaan bahasa yang menepati rumus tatabahasa atau penerimaan/kebiasaan penggunaan umum (lihat nota “Kesalahan Umum Penggunaan Perkataan”, “Kesalahan Umum Struktur”, “Kesalahan Umum Imbuhan” dan “Kesalahan Umum Ejaan”).

3. Logik

Penghujahan yang baik ialah yang dapat diterima akal yang sihat, bernas dan berpada.

Contoh hujah kurang bernas (dangkal):

“Kita mesti menjaga kebersihan negara ini supaya imej kita
dipandang tinggi oleh negara luar, khususnya negara-negara barat.”

Hujah ini dianggap dangkal/cetek kerana “supaya imej dipandang tinggi” bukanlah tujuan yang utama dan penting “kita menjaga kebersihan negara”, apa lagi jika orang luar itu ialah “negara-negara barat” (bekas penjajah kita).

Hujah bernas:

“Kita mesti menjaga kebersihan negara ini supaya rakyat
dapat hidup dalam suasana sihat dan ceria.”

Contoh hujah berlebih-lebihan (tidak berpada):

“Kita mesti menjaga kebersihan negara ini untuk mencapai
matlamat Wawasan 2020.”

Hujah ini dianggap berlebih-lebihan kerana “menjaga kebersihan negara” hanyalah satu daripada banyak lagi usaha (beratus-ratus, mungkin beribu-ribu) yang perlu dilaksanakan untuk “mencapai matlamat Wawasan 2020”.

Contoh hujah palsu (tidak bernas):

Masalah pengangguran negara ini tidak serius kerana
ada negara lain, seperti Bangladesh, yang menghadapi
masalah pengangguran yang lebih serius.”

Hujah ini dianggap palsu (dusta) kerana tahap keseriusan sesuatu masalah tidak diukur dengan cara membandingkan masalah tersebut dengan masalah pihak lain. Hanya kerana ada pihak lain yang masalahnya lebih serius, tidak menjadikan masalah kita tidak serius.

Hujah kukuh (disokong data):

“Masalah pengangguran negara ini tidak serius kerana kadarnya
tidak pernah melebihi lima peratus sejak 10 tahun lalu.”


4. Bervariasi

a) Peringkat perkataan

Bervariasi bermaksud menggunakan perkataan yang sinonim (berbeza tetapi sama makna) atau berujukan sepunya (perkataan berbeza tetapi maksud/rujukannya sama). Tegasnya, jangan mengulangi perkataan yang sama sahaja dalam satu ayat, satu perenggan atau sebuah karangan. Misalnya, janganlah gunakan perkataan “faktor” sahaja dalam seluruh karangan. Manfaatkanlah perkataan yang bersinonim atau yang mempunyai rujukan sepunya. Misaalnya, sinonim bagi “faktor” ialah “sebab” dan “punca”. Rujukan sepunya bagi “Malaysia” ialah “negara ini”, “negara kita”, “negara yang sedang pesat membangun” dan sebagainya.

Contoh penggunaan perkataan yang tidak bervariasi:

Satu sebab yang menyebabkan pencemaran alam sekitar ialah …”

b) Peringkat ayat

Penggunaan pelbagai pola dan jenis ayat.


5. Sejajar

Penggunaan unsur yang sama (misalnya jenis frasa) dalam sesuatu ayat.

Contoh ayat tidak sejajar:

“Kegiatan pembinaan bahasa perlu diimbangi dengan
pengembangan bahan-bahan bahasa, penilaian terhadap
hasil pembinaan tersebut dan melakukan perubahan
strategi yang wajar.”

Ayat ini tidak sejajar kerana wujudnya pencampuran jenis frasa (dua frasa nama iaitu “pengembangan bahan-bahan bahasa” dan “penilaian terhadap hasil pembinaan tersebut”, dan satu frasa kerja iaitu “melakukan perubahan strategi yang wajar”).

Ayat Sejajar:

            “Kegiatan pembinaan bahasa perlu diimbangi dengan
             pengembangan bahan-bahan bahasa, penilaian terhadap hasil
             pembinaan tersebut dan perubahan strategi yang wajar.”

Ayat ini sejajar kerana ketiga-tiga frasa (“pengembangan bahan-bahan bahasa”, “penilaian terhadap hasil pembinaan tersebut” dan “perubahan strategi yang wajar”) adalah frasa nama.

Atau:

“Kegiatan pembinaan bahasa perlu diimbangi dengan
mengembangkan bahan-bahan bahasa, menilai hasil
pembinaan tersebut dan melakukan perubahan strategi yang wajar.”

Ayat ini juga sejajar kerana ketiga-tiga frasa (“mengembangkan bahan-bahan bahasa”, “menilai hasil pembinaan tersebut” dan “melakukan perubahan strategi yang wajar”) adalah frasa kerja.

Nota: Sebahagian besar contoh ayat yang dikemukakan adalah dari data sebenar (karangan pelajar kursus LKM400).