Selasa, 13 Mac 2018

“Belakangan” atau “Kebelakangan”?

Penggunaan imbuhan ialah kaedah yang sangat produktif dalam penerbitan golongan kata baharu, khususnya golongan kata nama dan kata kerja. Dalam penerbitan kata nama, imbuhan akhiran +an dan apitan ke+_+an adalah antara yang sangat produktif. Antara kata nama yang lumrah penggunaannya yang dijana melalui proses morfologi ini  adalah “belakangan” dan “kebelakangan”.  Lazimnya juga, dua kata nama ini digunakan secara bertukar ganti, menunjukkan kesalahfahaman umum bahawa kedua-duanya sama dari segi subkategori dan fungsi.

Pengguna umumnya menggunakan kata “belakangan” dan “kebelakangan” untuk maksud masa lalu. Yang menjadi persoalan ialah adakah benar anggapan bahawa kedua-duanya sama dan boleh digunakan bertukar ganti?

Dilihat pada binaannya sahaja dapat diagak bahawa kedua-duanya tidak sama dan tidak boleh ditukar ganti penggunaannya. Hal ini samalah dengan penggunaan pasangan perkataan lain yang sepadan dengannya seperti “masukan” dan “kemasukan”; “jatuhan” dan “kejatuhan”; “bersamaan” dan “kebersamaan” yang tidak boleh ditukar ganti.

Soalan seterusnya yang patut ditanyakan adalah tentang bentuk yang gramatis untuk maksud masa lalu –  “belakangan” atau “kebelakangan”?

Untuk meleraikan persoalan ini, terlebih dahulu perlu dipastikan kewujudan perkataan berkenaan (“belakangan” dan “kebelakangan”). Hal ini dapat dilakukan dengan menganalisis proses penerbitannya.

Imbuhan +an dapat menerbitkan kata nama daripada kata kerja (KK), kata nama (KN) dan juga kata arah.

Jadual (a): Contoh kata nama berimbuhan +an yang diterbitkan daripada KK, KN dan kata arah
Diterbitkan daripada KK
Diterbitkan daripada KN
Diterbitkan daripada kata arah
bacaan  (baca+an)
cerminan   (cermin+an)
atasan      (atas+an)
catatan (catat+an)
bayangan  (bayang+an)
bawahan (bawah+an)
kiraan   (kira+an)
rambutan  (rambut+an)
luaran      (luar+an)
ukuran (ukur+an)
durian        (duri+an)
dalaman  (dalam+an)

Untuk memastikan sama ada kata “belakang” dapat menerima imbuhan +an, perlu dipastikan dahulu kategori perkataan tersebut. “Belakang” dapat dimasukkan dalam dua kategori perkataan iaitu KN dan juga kata arah. Contoh “belakang” yang merupakan KN ialah “belakang unta” (bahagian tubuh), “belakang Ahmad” (bahagian tubuh) dan “belakang kereta” (ruang isi barang). Contoh “belakang” yang merupakan kata arah ialah “belakang rumah”, “belakang pokok” dan “belakang kebun”.

Oleh sebab KN berimbuhan +an dapat diterbitkan daripada kedua-dua kategori kata ini (KN dan kata arah), kata nama terbitan “belakangan” wujud dalam dua bentuk, iaitu;

(1)  “belakangan” yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai KN,
(2)  “belakangan” yang diterbitkan “belakang” sebagai kata arah.

Seterusnya adalah tentang imbuhan ke+_+an. Imbuhan tersebut dapat menerbitkan kata nama daripada KK, KN dan kata adjektif (KA).

Jadual (b): Contoh kata nama berimbuhan ke+_+an yang diterbitkan daripada KK, KN dan KA
Diterbitkan daripada KK
Diterbitkan daripada KN
Diterbitkan daripada KA
kebersamaan  (ke+bersama+an)
kedaerahan  (ke+daerah+an)
kesantunan      (ke+santun+an)
kenaikan      (ke+naik+an)
kemelayuan  (ke+melayu+an)
keayuan           (ke+ayu+an)
kejatuhan   (ke+jatuh+an)
keanak-anakan (ke+anak-anak+an)
kehijauan      (ke+hijau+an)
kelihatan    (ke+lihat+an)
keembunan        (ke+embun+an)
keikhlasan   (ke+ikhlas+an)
kemasukan (ke+masuk+an)
Kenyamukan (ke+nyamuk+an)
kedalaman (ke+dalam+an)

Oleh sebab “belakang” termasuk dalam kategori KN, kata “kebelakangan” dapat diterbitkan daripadanya. Dengan kata lain, “kebelakangan” yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai KN memang wujud. Walau bagaimanapun, imbuhan ke+_+an tidak dapat menerbitkan KN daripada “belakang” sebagai kata arah. Oleh itu, “kebelakangan” yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai kata arah tidak wujud. Hal ini samalah dengan tidak wujudnya KN berimbuhan ke+_+an yang diterbitkan daripada kata arah yang lain. Contoh perkataan berimbuhan ke+_+an yang tidak gramatis (kerana diterbitkan daripada kata arah) ialah “keatasan” (ke+atas+an), “kebawahan” (ke+bawah+an), “ketepian” (ke+tepi+an), “keluaran” (ke+luar+an) dan “kedalaman” (ke+dalam+an).

Perlu dijelaskan bahawa kata “keluaran” dan “kedalaman” wujud tetapi proses penjanaannya adalah berbeza. “Keluaran” diterbitkan melalui proses pengimbuhan +an pada KK “keluar” (“keluar+an” bukan “ke+luar+an”) manakala “kedalaman” diterbitkan daripada “dalam” sebagai kata adjektif (bukan dalam sebagai kata arah).

Berdasarkan analisis morfologi ini, dapat diandaikan kewujudan KN “belakangan” dan “kebelakangan”. Kata “belakangan” mempunyai dua jenis iaitu yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai KN dan yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai kata arah. “Kebelakangan” pula ada sejenis sahaja iaitu yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai KN.

Langkah seterusnya ialah menganalisis penggunaan kata “belakangan” dan “kebelakangan” dalam binaan ayat. Hal ini dapat dilakukan dengan meninjau aspek semantik iaitu maksud yang didokong oleh perkataan berkenaan.

Imbuhan +an pada perkataan yang diterbitkan daripada KN mempunyai dua fungsi dari segi semantik, iaitu;

(3)  mendokong maksud yang abstrak daripada maksud kata asalnya,
(4)  mendokong maksud yang berbeza daripada maksud kata asalnya.

“Cerminan” dan “bayangan” mempunyai maksud yang abstrak manakala perkataan asalnya iaitu “cermin” dan “bayang” mempunyai maksud yang konkrit. Perbezaan ini dapat dilihat daripada ayat (5-8) yang berikut:


Maksud konkrit

Maksud abstrak
(5)
Dia berdiri di hadapan cermin untuk mengemaskan pakaiannya.
(7)
Pemuda hari ini adalah cerminan negara pada masa hadapan.
(6)
Bayang terhasil apabila objek legap menghalang cahaya daripada menembusinya.
(8)
Bayangan kejayaannya telah dapat dilihat sejak beliau di bangku sekolah lagi.

“Rambutan” dan “durian” pula mempunyai maksud yang lain daripada perkataan asalnya (“rambut” dan “duri”) tetapi kedua-duanya mempunyai maksud yang konkrit (bukan abstrak). Hal ini dapat dilihat daripada ayat (9-12) yang berikut:


Maksud konkrit (benda)

Maksud konkrit (buah)
(9)
Rambut ialah mahkota bagi wanita.
(11)
Rambutan adalah antara buah tempatan.
(10)
Duri ialah objek keras pendek yang tajam hujungnya.
(12)
Durian ialah raja buah-buahan.

Dari aspek perubahan semantik ini, “belakangan” tidak dapat diandaikan sebagai perkataan yang diterbitkan daripada KN.  Hal ini demikian kerana perkataan itu tidak dapat mendokong salah satu atau kedua-dua maksud yang telah dinyatakan. Dengan alasan ini dapatlah dikatakan bahawa, dari aspek semantik, tidak wujud perkataan “belakangan” yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai KN.

Seterusnya, penggunaan “belakangan” yang diterbitkan daripada “belakang” sebagai kata arah perlu diandaikan sama dengan penggunaan perkataan yang diterbitkan dengan cara yang sama. Contohnya ialah “atasan” dan “bawahan”. Penggunaan dua kata nama ini sangat terhad iaitu sebagai penerang dalam pembentukan frasa nama. Contohnya ialah iaitu orang/pihak atasan dan orang/pihak bawahan. 

Oleh itu, jika “belakangan” hendak digunakan selari dengan kaedah penggunaan ini, antara bentuk yang dapat diandaikan ialah “orang belakangan”.

Siapakah “orang belakangan” ini? Yang sering disebut ialah “Di belakang kejayaan seorang lelaki (suami) ialah seorang wanita (isteri)”.  Oleh itu, frasa “orang belakangan” ini dapatlah diertikan sebagai pendorong, pendokong atau penyokong. Dicadangkan penggunaannya dalam ayat adalah seperti (13) yang berikut:

(13)  Puan Sarah ialah orang belakangan kejayaan perniagaan suaminya.

Seterusnya, KN yang diterbitkan melalui proses pengimbuhan ke+_+an pada KN sebagai kata dasarnya mempuyai dua maksud. Yang pertama mendokong maksud mempunyai sifat atau ciri yang sama atau hampir sama dengan kata asalnya. Contohnya ialah “kedaerahan”, “kemelayuan” dan “keanak-anakan” dalam ayat (14-16) yang berikut:

(14)  Kita janganlah bersikap kedaerahan.
(15)  Sifat kemelayuan Mat Dan lebih terserlah daripada orang Melayu sendiri.
(16)  Anak bongsu biasanya bersifat keanak-anakan.

Yang kedua ialah KN yang mempunyai maksud pasif. Hal ini dapat dilihat daripada perkataan “keembunan”, “ketulangan” dan “kenyamukan” seperti dalam ayat (17-19) yang berikut:

(17)  Mereka keembunan kerana terpaksa pulang lewat dinihari.
(18)  Budak kecil itu ketulangan kerana makan terlalu gelojoh.
(19)  Peserta-peserta program perkhemahan itu kenyamukan.

Ayat-ayat ini mempunyai pengertian pasif seperti yang terlihat dalam ayat berpola FN+FK (20-22) yang menjadi padanannya.

(20)  Mereka terkena embun kerana terpaksa pulang pada lewat dinihari.
(21)  Budak kecil itu tercekik tulang kerana makan terlalu gelojoh.
(22)  Peserta-peserta program perkhemahan itu digigit nyamuk.

Frasa kerja “terkena embun” (20), “tercekik tulang” (21) dan “digigit nyamuk” (22) ialah padanan pasif bagi “keembunan” (17), “ketulangan” (18) dan “kenyamukan” (19).
Berdasarkan huraian ini, dapatlah diandaikan bahawa “kebelakangan” dapat digunakan untuk maksud pasif seperti dalam ayat (23) yang berikut:

(23)  Kita akan kebelakangan jika tidak merancang masa hadapan.

Yang dapat dipadankan dengan ayat pasif berpola FN+FK (24) yang berikut:
(24)  Kita akan tertinggal jika tidak merancang masa hadapan.

Setelah memahami proses morfologi yang mewujudkan kata “belakangan” dan “kebelakangan” serta aspek semantiknya, bolehlah kita meninjau bentuknya yang gramatis dalam binaan ayat yang menunjukkan maksud masa lalu.

Jika masa lalu dapat diandaikan sebagai arah yang bersifat abstrak (dibandingkan dengan arah lokasi yang bersifat konkrit), bentuk yang gramatis ialah “belakangan”, bukan “kebelakangan”. Hal ini demikian kerana daripada kedua-dua bentuk itu, hanya “belakangan” yang dapat diterbitkan daripada “belakang” sebagai kata arah. Oleh itu, dapat diandaikan bahawa penggunaan “belakangan” untuk menunjukkan masa lalu adalah gramatis manakala penggunaan “kebelakangan” adalah sebaliknya.

Soalan seterusnya ialah sama ada “belakangan” digunakan tanpa kata sendi nama atau ia boleh digandingkan dengan kata sendi nama “sejak” dan “ke” seperti kelaziman?

Untuk menjawab soalan ini, perlu dilihat cara penggunaan dua kata sendi tersebut. “Sejak” ialah kata sendi nama untuk menunjukkan masa. Oleh sebab kata “belakangan” memang menunjukkan masa, “sejak” dapat dimasukkan sebelum kata “belakangan”.

(25) Pencapaian akademiknya meningkat sejak belakangan ini.

Hal ini samalah dengan gramatisnya penyisipan kata “sejak” sebelum frasa “minggu lalu” dalam ayat (26) yang berikut.

(26) Pencapaian akademiknya meningkat sejak semester lalu.

Seterusnya, kata sendi “ke” juga dapat digunakan untuk menunjukkan masa. Contohnya ialah penggunaan “ke” sebelum frasa “abad ke-16” dalam ayat (27) yang berikut:

(27) Filem fiksyen sejarah itu membawa penonton ke abad ke-16 iaitu semasa Portugis menyerang  Melaka.

Oleh itu, frasa “ke belakangan” dalam ayat (28) yang berikut juga dapat dianggap gramatis.

(28) Pencapaian akademiknya meningkat ke belakangan ini.

Bagaimana pula penggunaan “belakangan” tanpa kata sendi nama? Dalam sesetengah kes, penggunaan kata sendi nama untuk menunjukkan masa bersifat pilihan (tidak wajib). Oleh itu, ayat 

(29) yang berikut juga dapat dianggap gramatis.
(29) Pencapaian akademiknya meningkat belakangan ini.

Hal ini samalah dengan gramatisnya dua ayat (30-31) yang berikut:

(30) Kuliah mereka bermula sejak minggu lalu.
(31) Kuliah mereka bermula minggu lalu.

Berdasarkan huraian dari aspek morfologi (binaan perkataan), semantik (makna) dan sintaksis (binaan ayat) ini, dapat diandaikan dengan berpada bahawa penggunaan kata “kebelakangan” dan frasa “sejak kebelakangan” untuk menunjukkan masa adalah tidak gramatis. Bentuk yang gramatis ialah “sejak belakangan”, “ke belakangan” dan “belakangan”.

Tiada ulasan: